Kasih Tidak Akan Luput
Pembacaan Alkitab Dramatis
1 Korintus 13:1-13
Ayat Kunci
1 Korintus 13:8 – “Kasih tidak akan luput…”
Ulasan
Kebanyakan orang yang sudah kahwin apabila ditanya mengapa mereka kahwin dengan pasangan mereka akan memberi alasan bahawa mereka mengasihi dia. Jika ditanya selanjutnya mengapa mereka mengasihi pasangannya mereka akan memberi pelbagai alasan yang menyenangkan kepada diri mereka sendiri seperti, “Saya rasa dia adalah orang yang cantik / tampan,” “Dia boleh membantu saya dalam pelayanan,” “Dia boleh menjaga dan menyokong saya.” Apakah pola yang dapat diperhatikan dalam alasan-alasan ini? Yang ketara sekali ialah kasih mereka ini adalah berpusat kendiri; iaitu kasih mereka tertumpu kepada apa yang orang lain boleh berikan kepadanya. Ini tidak salah sekali tetapi kasih yang begini bukan apa yang dimaksudkan dalam Alkitab, khususnya dalam petikan kita hari ini.
Dengar sekali lagi bagaimana ayat 4-7 menjelaskan kasih Alkitabiah yang bukan berpusat kepada diri sendiri tetapi kepada orang lain:
Kasih itu penyabar (terhadap orang lain) dan penyayang (kepada orang lain). Kasih tidak iri hati (terhadap orang lain), tidak membanggakan diri (kepada orang lain), dan tidak angkuh (kepada orang lain). Kasih tidak berkelakuan biadab (terhadap orang lain), tidak memburu kepentingan sendiri (tetapi kepentingan orang lain), tidak cepat meradang (terhadap orang lain), tidak memperhitungkan kesalahan orang lain. Kasih tidak gembira dengan kejahatan (yang berlaku pada orang lain), tetapi gembira meraikan kebenaran (terhadap orang lain). Kasih tahan menderita segala-galanya (untuk orang lain), percaya akan segala-galanya (tentang orang lain), berharap akan segala-galanya (daripada orang lain), terus-menerus menanggung segala-galanya (untuk orang lain).
Ini adalah kasih yang murni, yang inginkan apa yang terbaik bagi orang yang dikasihinya.
Tetapi hakikat setiap hari ialah kita memiliki orang-orang dalam kehidupan ini yang kadang-kadang merumitkan kita mengasihi mereka. Mungkin itu seseorang yang bekerja dengan anda, mungkin itu anggota keluarga anda, atau bahkan pasangan anda. Perhubungan boleh menjadi rumit kerana kita semua adalah orang yang berdosa, maka tidak hairanlah bahawa kita kerap berdosa terhadap Allah dengan melakukan apa yang tidak baik terhadap satu sama lain. Tetapi selalu ingat ayat 8: kasih tidak akan luput atau tidak berkesudahan.
Firman Tuhan dengan jelas mendefinisikan kasih dalam 1 Korintus 13. Dikatakan bahawa kasih itu penyabar dan penyayang. Ia tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri, tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain. Dan yang terpenting, kasih tidak akan luput. Kebanyakan makanan yang diproses ada tarikh luput. Selepas tarikh luputnya, makanan itu tidak lagi sesuai untuk dipakai sebagai makanan. Bahkah ia boleh meracuni anda jika ditelan. Tetapi kasih yang dimaksudkan dalam Alkitab adalah kasih yang tiada tarikh luput. Kasih ini boleh dipakai bila-bila sahaja dan dalam apa jua keadaan. Pertimbangan kasih yang Alkitabiah ini juga berbesa kerana ianya mementingkan orang lain dan bukan diri sendiri. Ini memang berbeza dengan amalan kasih yang biasa dalam dunia ini.
Tambahan lagi, perhatikan bahawa bab tentang kasih ini sama sekali tidak berbicara tentang perasaan anda. Kasih Tuhan bukan tentang perasaan. Ianya satu pilihan. Anda boleh pilih untuk bersabar, bahkan saat anda merasa tidak sabar. Anda boleh memilih untuk bersikap baik, bahkan saat anda merasa tidak seperti bersikap baik.
Tidak peduli situasi apapun yang anda hadapi, anda boleh memilih kasih. Anda tidak pernah lebih seperti Tuhan daripada semasa anda berjalan dalam kasih. Apabila anda berjalan dalam kasih, anda tidak akan gagal kerana kasih tidak akan luput. Tidak ada tarikh luput untuk kasih yang murni sebegini kerana ia selalu sesuai diberikan kepada orang lain yang memerlukannya.
Namun begitu, kasih yang sebegini tidak mungkin datang daripada diri sendiri. Sebagai orang yang mempunyai tabii yang cenderung terhadap dosa, kita memang tamak dan memnetingkan diri. Oleh sebab itu, kita perlu kasih Allah yang dicurahkan ke dalam hati kita seperti yang dikatakan dalam Roma 5:5 –
Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.
Kasih Allah yang sebegini kita mesti kecapi sendiri dahulu. Baru kita boleh memberi apa yang sudah ada dalam hati kita dan yang telah kita betul-betul alami sendiri. Kita tidak boleh memberi apa yang kita tidak pernah alami kerana kita tidak memahami kasih yang mementingkan pihak lain. Kalau kita tidak memahami kasih yang memberi begini, tidak mungkin kita memiliki kasih yang begini dalam hati kita. Jadi, kita tidak boleh memberi apa yang kita tidak miliki. Jadi, saudara-saudari, bukalah hatimu dan terimalah kasih Tuhan hari ini! Pergi kepada-Nya dan menerima curahan kasih Allah seperti yang ditunjukkan oleh Yesus Kristus yang mengasihi kita dengan memberi nyawanya bagi kita. Itulah kasih Allah yang tidak akan luput.
0 Comments on "Kasih Tidak Akan Luput"