Pertaubatan Picture

Pertaubatan

Pembacaan Alkitab Dramatis

Kisah Para Rasul 9:1-43

Ayat Kunci

Kisah Para Rasul 9:18

Ulasan

Ketika saya masih remaja hati saya tergerak untuk mencari Tuhan. Tuhan yang tidak saya kenali, hanya mengetahui nama-Nya sahaja dengan dua kejadian penting yang dilakukan-Nya yang tercatat dalam Alkitab. Ketika di dalam gedung gereja, sedang kami memuji Tuhan,tiba-tiba saya mendengar suatu suara yang kedengaran jelas di telinga dan hati saya. Suara itu ialah suara Tuhan. Dia memberi petunjuk kepada saya bagaimana saya dapat bertumbuh dalam iman. Sewaktu saya mendengar suara-Nya, saya mengalami sesuatu yang tidak pernah saya alami. Suara itu sungguh agung, berkuasa, lemah lembut, penuh wibawa, kudus, penuh kebaikan, dan terlalu mengasihi saya.Melalui suara itu, saya tidak dapat menggambarkan betapa besar kasih-Nya, betapa mulianya Tuhan itu.Saya menjadi sangat kecil, berasa sangat berdosa, penuh kefasikan, dan tidak layak mendengar suara itu, apa lagi merasakan kasih-Nya yang ajaib itu. Keperibadian Empunya suara itu memikat hati saya. Suara yang memberi petunjuk kepada saya sekali gus memberi saya teguran yang dalam dan bererti. Saya mengalami suatu peristiwa yang tidak mungkin dapat saya lupakan iaitu PERTAUBATAN.

Ketika Saul bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?”(ayat 5), sudah tentu dia terlalu ingin mengetahui siapakah gerangan yang Empunya suara itu. Suara dan cahaya itu telah mengubah sesuatu dari dalam Saul, dia terpegun(ayat 7). Sama seperti kehidupan di dunia ini, kita mungkin sedang merancang untuk berbuat sesuatu, yang pada fikiran kita, kita sedang melakukannya untuk Tuhan, namun ternyata Tuhan mempunyai suatu rancangan besar yang lain. Mungkin ada juga yang melakukan perkara-perkara besar kerana berfikir dengan cara itu mereka dapat menunjukkan betapa mereka terlalu mencintai Tuhan, tetapi rupanya sangkaan dan tindakan itu salah pada pandangan Tuhan. Itu kerana Tuhan lebih mengetahui dan mengenal hati kita.

Terkadang kita tidak pernah berfikir sedalam-dalamnya betapa Tuhan sangat mengasihi kita. Sekali lagi, Tuhan menjawab Saul, memperkenalkan diri-Nya, dan memberi petunjuk kepadanya(ayat 5-6). Betapa besarnya kasih Tuhan itu, pada waktu kita berbuat dosa dan kesalahan, Dia malah memberikan petunjuk kepada kita supaya kita dapat diselamatkan!Pada waktu Saul dapat melihat semula (ayat 18), dia melihat Tuhan dari sudut pandang yang sangat berbeza daripada sebelum itu. Dia mengambil satu langkah penting dalam hidupnya iaitu supaya dia dibaptiskan. 1 Petrus 3:21 menyatakan bahawa baptisan bukanlah pembersihan kotoran badan (fizikal) tetapi sambutan hati nurani yang bersih terhadap Allah –melalui pembangkitan Yesus Kristus daripada kematian.

Hari ini, apakah keputusan hati nurani anda? Adakah anda ingin menyambut Kristus menjadi Tuhan dan Raja dalam hidup anda? Pertaubatan dan seterusnya menerima pengampunan melalui kasih serta kemenangan Kristus di kayu salib dan kebangkitan-Nya, memberi penyelamatan yang terlalu berharga dengan suatu janji pengharapan yang pasti!

Doa Untuk Hari Ini

” Allah Bapa kami yang di Syurga, bantulah saya supaya melakukan apa yang Engkau ingini. Ampuni saya apabila saya berfikir saya lebih bijak melakukan sesuatu untuk menyenangkan hati-Mu, padahal saya meleset dan saya berdosa. Ampuni saya kalau saya tidak sungguh-sungguh mencari Tuhan dan memohon tunjuk ajar-Mu. Terima Kasih Bapa kerana pada waktu kami masih berdosa Engkau datang menyelamatkan kami melalui Yesus Kristus. Engkau, dengan kasih-Mu yang besar, memberi petunjuk dan menuntun kami ke arah Penyelamatan yang besar. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin. “

Lagu Rohani

Share: