Garis Akhir
Pembacaan Alkitab Dramatis
Kisah Para Rasul 22
Ayat kunci
Kisah Para Rasul 22:11
“Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.”
Ulasan
Saya ingin tanya saudara-saudari satu soalan penting, “Mengapakah anda seorang Kristian?” Mungkin soalan yang lebih tepat ialah: “Mengapakah anda MASIH seorang Kristian?” Seperti Rasul Paulus, anda boleh memulakan jawapan anda dengan, “Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.”
“Mengapakah saya MASIH seorang Kristian?” Implikasi pertama soalan ini ialah anda pernah membuat pilihan untuk menjadi seorang Kristian. Seorang mungkin lahir ke dalam sebuah keluarga Kristian tetapi itu tidak bermaksud dia seorang Kristian dalam hatinya. Paulus tidak lahir dalam keluarga Kristian tetapi sebuah keluarga Yahudi. Malahan dalam kesaksian Paulus dia begitu benci dengan pengikut-pengikut Kristian sehingga dia mengaku bahawa dia “pernah menganiaya pengikut jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan” (ayat 4).
Hanya satu pertemuan peribadi dengan Tuhan Yesus yang dramatis semasa dia dalam perjalanan ke Damsyik telah mengubah arah hidupnya dengan mendadak. Apa pun, semua orang yang percaya di dalam Yesus Kristus mesti ada pertemuan peribadi dengan Yesus. Kita tidak boleh menumpang iman ibubapa kita sepanjang hidup kita. Kita mesti sendiri sedar, seperti mana Paulus sedar, bahawa kita salah kerana dosa yang kita lakukan dalam kehidupan kita dan masalah itu telah memisahkan kita daripada Allah. Halangan dosa itu hanya boleh diselesaikan jika kita bertaubat daripada keangkuhan kita yang fikir kita cukup baik kerana usaha dan amalan baik kita. Seperti yang digambarkan dalam Yesaya 64:6: 6
Kami semua seperti orang bernajis,dan segala kebenaran kami seperti kain yang tercemar.Kami semua layu seperti daun,dan kesalahan-kesalahan kami menerbangkan kami seperti angin.
Jika kita berani mengaku bahawa kita adalah orang bernajis yang tercemar dengan dosa dan tidak dapat menyelamatkan diri sendiri daripada hukuman dosa, barulah kita berada dalam keadaan yang bersedia untuk menerima bantuan Allah. Paulus begitu angkuh dengan kedudukannya sebagai seorang pemimpin agama tetapi pertemuan peribadi dengan Allah yang suci menyebabkannya insaf akan keadaannya yang sebenar: seorang yang penuh dengan kebencian dan dosa. Inilah titik perubahannya dan dia merendahkan diri dan menerima Yesus sebagai penyelamat dan Tuhannya.
Bagaimana dengan saudara dan saudari sendiri? Soalannya bukan sama ada anda dilahirkan dalam keluarga Kristian tetapi pernahkah anda insaf akan keadaan dosa anda dan rendahkan diri untuk memohon Tuhan Yesus menyelamatkan anda secara peribadi? Jika belum pernah, pada anda boleh lakukannya sekarang. Ananias telah mendorong Paulus dengan kata-kata ini, “Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk dibaptiskan dan minta dihapuskan segala dosamu sambal menyeru nama-Nya” (iaitu nama Yesus). Lakukannya sekarang juga.
Implikasi kedua soalan, “Mengapakah saya MASIH seorang Kristian?” ialah keimanan Kristian bukan hanya satu peristiwa yang pernah berlaku dalam detik masa tetapi ia adalah satu proses yang mesti sampai ke penghujungnya. Ini berlaku dalam kehidupan Paulus juga. Dalam ayat 17, Paulus mengatakan,
“Setelah aku pulang ke Yerusalem…”
Inilah permulaan hidupnya yang baharu di dalam Yesus Kristus. Perubahan yang berlaku dalam hidupnya begitu ketara sekali. Dia mula bersaksi untuk Tuhan Yesus dan sedia membawa berita baik Injil Kristus sampai ke hujung bumi. Seperti yangkita telah renungkan kelmarin, ancaman terhadap hidupnya tidak dapat menghalang Paulus membawa Injil kepada kawasan-kawasan yang begitu genting seperti Yerusalem di mana terdapat musuh-musuhnya yang menunggu peluang untuk menghapuskannya.
Apa yang penting bukan bagaimana kita memulakan perjalanan rohani kita tetapi bagaimana kita meneruskan dan menamatkan perjalanan kita. Di dalam Matius 10:22, Yesus mengatakan dengan jelas:
Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahanhingga ke akhir akan diselamatkan.
Sekali lagi, Yesus menekankan dalam Matius 24:13
Namun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan.
Kita semua patut mengikut teladan Rasul Paulus seperti yang dikatakannya dalam 2 Timotius 4:7
Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman.
Bertahan hingga ke akhir adalah perjuangan mulia kita semua. Jangan biarkan godaan dunia, jerat kebendaan, kesibukan kerja atau apa jua pun untuk menyebabkan anda tersandung dalam perjalan hidup anda. Jika ada tanda-tanda yang sebegitu, baliklah ke pangkal jalan. Kembali kepada Tuhan Yesus kerana Dialah yang terpenting dalam perjuangan mulia kita. Setia dalam iman sehingga ke garis akhir. Itulah yang penting.
Doa Untuk Hari Ini
Lagu Rohani
HAMBA YANG SETIA Stancey Natania (Bahtera Ministry)
0 Comments on "Garis Akhir"