Rencana Tuhan
Pembacaan Alkitab Dramatis
Kisah Para Rasul 25:1-27
Ayat kunci
“Kalaulah aku bersalah, atau telah melakukan sesuatu yang patut aku dibunuh, aku tidaklah enggan mati; tetapi jika segala tuduhan mereka ke atas aku itu tidakbenar, tiada seorang pun yang boleh menyerahkanku kepada mereka. Aku hendak mengadu kepada Kaiser”(25:11).
Ulasan
Dalam perjalanan hidup kita selalunya ada rintangan yang boleh menangguh rancangan kita. Jika kita ikut kehendak kita, memang kita selalu akan cari jalan yang pintas dan pantas untuk mengatasi rintangan atau masalah itu. Tetapi dalam rencana Tuhan, apa yang kita lihat sebagai halangan, Tuhan lihat sebagai peluang untuk pertumbuhan.
Dalam KPR bab 25, kita memerhati pengalaman Paulus dalam sistem kehakiman empayar Roma. Dia telah dipenjarakan selama dua tahun tanpa bukti yang kukuh. Dalam ayat 8, beliauberkata “Satu pun tiada kesalahanku, terhadap hukum orang Yahudi, terhadap Bait Suci, atau terhadap Kaiser”. Bila Festus, gabenor Yudea, menghakiminya, dia menyedari bahawa Paulus “tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhi hukuman mati”, atau ada apa-apa tuduhan yang dia boleh mengisytiharkan untuk menghakimi Paulus.Raja Agripa juga berpendapat dengan Festus di mana kita baca di 26:32
“orang ini boleh dibebaskan, kalau tidak kerana dia hendak mengadukan halnya kepada Kaiser”.
Dari segi undang-undang Roma, Paulus memang tidak bersalah dan dapat dibebaskan. Tetapi kerana dia merayu kepada Kaiser, tempoh perjalanannya akan ditangguh selama beberapa tahun lagi.
Adakah ini masa Paulus terbazir semasa dia berada di dalam penjara apabila dia boleh meneruskan pelayanannya? Tidak. Atas sebab Paulus merayu kepada Kaiser, sewaktu pembicaraannya berlaku di mahkamah Roma, ramai orang seperti Festus, Raja Agripa, Kaiser, para pemimpin dan para askar Romaakan berpeluang untuk mendengar kisah Yesus. Tuhan akan memakai Paulus dalam waktu ini untuk meyebarkan injil-Nya antara kalangan orang terkemuka di kota Roma. Ramai orang asing di wilayah empayar Roma akan tahu siapakah Yesus dan perbuatan-Nya melalui Paulus, orang tahanan Roma. Injil Allah yang telah diberitakan di sekitar Yerusalem, Yudea, and Asia, sekarang akan dilanjutkan ke seluruh dunia di Roma.
Rencana Tuhan memang lebih tinggi daripada rencana manusia. Apa yang kita pandang sebagai halangan manusia, Tuhan akan pakai demi membangunkan kerajaan-Nya. Seringkali kita menyembah Tuhan demi memperkembangkan kerajaaan-Nya selaras dengan perencanaan kita. Tetapi, kita tidak sabar apabila terpaksa menunggu, atau kecewa apabila terpaksa melalui suatu lencongan. Kita mahu Tuhan bertindak sekarang! Kisah Paulus di sini mengajar kita bahawa Tuhan mempunyai cara-Nya sendiri.
Doa Untuk Hari Ini
Lagu Rohani
Sebab Dia Hidup – Lagu Kidung Jemaat
0 Comments on "Rencana Tuhan"