Menginjil Dengan Kasih

Menginjil Dengan Kasih



Pembacaan Alkitab Dramatis

1 Tesalonika 2:1-20

Ayat Kunci

1 Tesalonika 2:11 – “Kamu tahu betapa kami menasihati, menggalakkan, dan menyeru kamu seperti bapa terhadap anak-anaknya.”

Ulasan

Di Sudan, penganiayaan terhadap orang Kristian adalah satu budaya hidup yang sudah biasa dan mereka yang mengkhabarkan Injil sedar bahawa nyawa mereka selalu terancam tetapi mereka masih setia menginjil. “Orang yang menganiaya kamu, dia tidak datang dengan penuh simpati,” kata seorang Kristian. “Dia di sana untuk menyingkirkan kamu, membunuh kamu, untuk melakukan apa sahaja supaya kamu lumpuh. Tujuan utamanya ialah untuk menghalang Injil dari merebak.”

Dalam bab ini, rasul Paulus menyentuh tentang pengalamannya menyampaikan Injil di kota Tesalonika, apa yang mendorong dia melakukannya dan cara dia bercakap semasa menyampaikan Injil. Banyak sekali yang kita boleh pelajari daripada pengalaman dan penerangan rasul Paulus tentang penginjilan.

Terlebih dahulu, rasul Paulus menyatakan bahawa dia memperolehi pertolongan Allah untuk menginjil dan pertolongan ini melahirkan keberanian untuk menyampaikan Injil (ayat 2). Banyak kali kita takut dan gagal menginjil kerana bersandar pada kekuatan dan hikmat sendiri. Untuk semua usaha penginjilan, kita mesti terlebih dahulu mencari dan mendapatkan pertolongan Allah. Saya juga yakin satu berkat nyata menerima pertolongan Allah ialah adanya keberanian untuk mengongsikan Yesus. Oleh itu, cari Tuhan dalam doa terlebih dahulu dan terima pemberkatan-Nya yang akan memberi anda keberanian untuk menginjil.

Sesudah itu, rasul Paulus mendedahkan motivasinya – apa yang mendorong dia untuk membawa Injil kepada mereka yang diam di kota Tesalonika. Dia berkata dia tidak ada niat yang jahat mahupun keinginan untuk memperdayakan mereka (ayat 3). Niat kita untuk menginjil mestilah selalu bersih dan apa pun teknik yang dipakai tidak harus ada elemen memperdayakan pendengar kita. Ada usaha penginjilan yang gagal kerana motivasinya tidak baik dan kata-kata serta taktik yang dipakai mempunyai unsur ketidakjujuran. Periksa hati anda dan kenal pasti  tujuan sebenarnya anda menginjil.

Dalam ayat 5, rasul Paulus menekankan bahawa dia tidak ada niat tersembunyi ketika menginjil dan dia juga tidak melakukannya untuk mendapatkan keuntungan sampingan bagi dirinya sendiri. Ada orang yang pergi menginjil semata-mata usaha mereka itu akan membawa pulangan lumayan bagi mereka. Ada yang akan mendapat keuntungan kewangan, kedudukan tinggi dalam komuniti ataupun kemajuan dalam karier. Apakah anda akan terus menginjil walaupun tidak mendapat  apa-apa keuntungan yang nyata untuk diri sendiri?

Akhir sekali, janganlah pergi menginjil kerana mahu dipuji orang yang mengenali anda ataupun yang tahu apa yang anda lakukan. Rasul Paulus dalam ayat 6 berkata,

“Saya tidak berusaha mendapatkan pujian manusia baik daripada kamu mahupun orang lain.”

Jangan kecil hati jika orang tidak mengambil peduli tentang usaha anda untuk menginjil, tidak ada orang mengucap terima kasih kerana anda telah susah payah menginjil apatah lagi jika usaha anda tidak diiktiraf dan tidak ada hadiah menunggu anda apabila kembali daripada menginjil. Yang penting ialah anda telah mengkhabarkan Injil dan Allah berkenan dengan anda.

Kata rasul Paulus, seorang penginjil ialah ‘orang yang dipandang layak oleh-Nya untuk memegang amanah menyampaikan Injil’ (ayat 4). Jadi ingatkan diri anda setiap kali anda menginjil bahawa anda sudah dianggap layak untuk menginjil dan oleh itu anda telah diamanahkan Tuhan untuk menyampaikan Injil kepada orang lain!

Apabila menyampaikan Injil, ikutlah teladan rasul Paulus yang menyampaikan Injil dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang sebagaimana seorang ibu menjaga anak-anaknya (ayat 7-8). Inilah perspektif kendiri yang perlu anda ambil apabila menginjil – seorang ibu yang mengasihi anaknya sehingga sanggup melakukan apa sahaja supaya anaknya selamat dan pada masa yang sama dengan lemah lembut serta penuh sukacita, menceritakan rancangan penyelamatan Allah dengan sungguh-sungguh. Sesungguhnya pendorong utama setiap orang Kristian haruslah kasih.

Akhir sekali, apabila menginjil, lakukan tiga hal ini: menasihati, mendorong dan menyeru. Dalam ayat 11, rasul Paulus berkata dia melakukan tiga hal ini sebagaimana seorang bapa terhadap anak-anaknya. Beliau mengubah metaforanya tetapi ideanya masih sama – penginjilan adalah daripada perspektif  perhubungan kasih, dilakukan kerana yang diinjili dipandang sebagai anak yang dikasihi yang mesti diselamatkan. Ubah cara anda berfikir tentang penginjilan dan pandangan anda terhadap yang diinjili dan lihatlah apa yang akan berlaku!

Doa Untuk Hari Ini

“Bapa syurgawi, terima kasih kerana Engkau menganggapku layak dan telah mengamanahkan Injil kepadaku untuk dikongsi kepada semua manusia. Aku memohon bantuan-Mu untuk mengkhabarkan Injil kepada semua bangsa di seluruh dunia, lebih-lebih lagi kepada mereka yang di sekelingku setiap hari – ahli keluarga, rakan-rakan di tempat kerja dan dalam lingkungan pergaulanku. Singkirkan semua rasa takut dan semua niat yang salah. Sebaliknya isi hatiku dengan kasih-Mu dan ubah perspektifku tentang mereka yang diinjili. Pakailah aku menjadi saksi-Mu yang berkesan. Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa, amin.”

Lagu Rohani



Share: