
Tidak Mencari Populariti
Pembacaan Alkitab Dramatis
Markus 3:1-35
Ayat kunci
Markus 3:8b Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya.
Ulasan
Pernahkah anda idami menjadi seorang yang popular dan terkenal? Semasa saya kecil saya begitu berminat main guitar dan menyanyi. Oleh sebab itu saya pernah idami untuk menjadi seorang penyanyi yang popular.
Saya juga berminat membaca buku cerita. Jadi, saya juga pernah idami menjadi seorang penulis yang popular. Tetapi itu semua adalah idaman idealis. Realitinya, saya perlu menghadapi pelbagai cabaran untuk bekerja dalam pekerjaan yang boleh menyara hidup saya dan keluarga saya. Ini adalah hakikat hidup antara realiti dan idaman.
Apabila Yesus mula melayani mereka yang sakit dan memberitakan Injil, Dia menjadi begitu popular sekali. Mereka datang berduyun-duyun untuk menyaksikan apa yang dilakukan-Nya. Namun begitu, realitinya populariti Tuhan Yesus telah membangkitkan kedengkian musuhnya. Malahan mereka menuduh Yesus dirasuk roh jahat dan mendapat kuasanya daripada kuasa-kuasa gelap! Ada pula mereka menyebarkan khabar bahawa Yesus kurang siuman (dalam ayat 21) sehingga ibu dan saudara-saudara Yesus datang untuk mengambil-Nya pulang (dalam ayat 31-35). Begitulah realiti pertempuran rohani yang dihadapi oleh Tuhan Yesus sendiri.
Apatah lagi bagi kita, pengikut-pengikut Kristus. Sudah tentu di dalam dunia ini, kita akan menghadapi berbagai jenis tentangan dan halangan. Jika kita ingin mengejar populariti, kita akan menghadapi pelbagai jenis dugaan dan cubaan terhadap iman. Oleh sebab ini, dalam segala hal, kita perlu mengikut teladan Tuhan Yesus: hanya setia melakukan kehendak Allah. Tuhan Yesus mengatakan dalam Yohanes 4:34,
“Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia (iaitu Allah Bapa) yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.”
Oleh itu, saudara-saudari, bertekad dalam hati anda untuk setia kepada Allah dalam segala hal dan dalam semua situasi.
Populariti bukan perkara yang terpenting. Yang terpenting dalam hidup ini ialah kehidupan kita berkenan kepada Tuhan. Kita perlu membaca Firman Tuhan setiap hari, merenungkan bagaimana ia boleh dituruti dan diaplikasikan dalam hidup kita. Seterusnya, kita perlu berdoa dan bersandar kepada Roh Suci untuk melaksanakannya apa yang diarahkan dalam Firman Allah. Ini adalah suatu proses berterusan yang tak pernah berhenti. Selagi kami di dalam dunia ini, kita perlu terus dibentuk oleh Allah.
Doa Untuk Hari Ini
Mari kita berdoa, “Allah Bapa yang di syurga, sememangnya kami menghadapi banyak cubaan dan cabaran setiap hari. Kami memerlukan kekuatan dan hikmah daripada Tuhan sendiri supaya kami tidak mengejar populariti dengan mereka yang di dunia tetapi kamiakan selalu memilih untuk setia kepada Tuhan, pegang teguh pada iman di dalam Yesus Kristus dan arif membuat pilihan yang sejajar dengan kehendak Allah. Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin.
Lagu Rohani
Grezia – kutetap setia (impactmusik)
0 Comments on "Tidak Mencari Populariti"