April 17, 2020 Markus, Renungan 0 Comments

Yesus Tuhan atas Segalanya

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 1:1-45

Ayat kunci

Inilah permulaan Injil tentang Yesus Kristus, Anak Allah (ayat 1).

Ulasan

Apabila saya membuka sampul surat daripada kerajaan Malaysia, saya lompat dengan gembira kerana saya telah diberi biasiswa untuk keluar negeri me nyambung pelajaran saya. Itu adalah berita baik bagi saya.

Jika kita membuka Injil Markus dan membacanya, kita juga sepatutnya lompat dengan gembira kerana ia mengandungi Injil atau berita baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah. Berita baik ini bukan sekadar kata-kata sahaja tetapi disertai dengan kuasa dan perbuatan seperti yang dibuktikan oleh Yesus.

Yesus dikatakan mengkhabarkan Injil daripada Allah sambil menyeru mereka untuk bertaubat daripada dosa-dosa mereka dan percayabahawa Dia dapat menyelamatkan mereka daripada hukuman dosa (ayat 14-15). Dalam ayat 15, Yesus,

“Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!”

Dia juga mengajar dengan penuh wibawa kerana kata-katanya menusuk hati pendengarnya. Ayat 22 mengatakan,

“Mereka kagum dengan ajaran-Nya kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.”

Selain itu, Yesus memerintahkan dengan dramatis roh-roh jahat yang merasuk manusia untuk keluar dari tubuh mereka dan roh-roh itu terpaksa keluar dengan serta merta (dalam ayat 25-27,34). Tambahan lagi, Yesus menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit –penyakit yang biasa seperti demam (dalam ayat 31) dan penyakit yang tenat seperti penyakit kusta (dalam ayat 42).

Dengan ini, Yesus membuktikan bahawa dia memang adalah Anak Allah yang berkuasa dan berwibawa. Sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang luar biasa.

Apa yang Yesus telah lakukan untuk mereka pada masa dahulu, dia mampu lakukan untuk anda juga hari ini. Apakah keperluan anda sekarang? Adakah anda perlu dibebaskan daripada beban dosa atau daripada belenggu roh-roh jahat? Adakah anda perlu penyembuhan daripada penyakit? Adakah anda mempunyai keperluan kewangan? Adakah anda memerlukan ketenangan dalam jiwa anda?

Apa sahaja keperluan anda, datanglah kepada Yesus, Anak Allah, yang berkuasa dan berwibawa. Datang dengan penuh iman dan berdoa kepada-Nya. Nescaya Dia akan menjawab mengikut kehendak-Nya dan masa-Nya yang terbaik. Inilah Injil tentang Yesus Kristus, Anak Allah, yang tiada tolok bandingnya.

Doa Untuk Hari Ini

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, sememangnya kami adalah manusia yang mempunyai banyak keperluan tetapi tiada yang lebih penting daripada menerima keselamatan dan pengampunan dosa daripada Allah melalui Yesus Kristus, Anak-Mu yang tunggal. Biarlah hari ini menjadi suatu pembaharuan kepada kami melalui Injil keselamatan Kristus. Dengan ini, kami yakin dan beriman bahawa segala keperluan kami yang lain Tuhan sudah pun mengetahuinya. Jawablah doa keperluan kami sesuai dengan kehendak-Mu yang terbaik bagi kami. “

Lagu Rohani:

Yesus Tuhan dan Allah Kami – Niko Njotorahardjo

Share: