April 18, 2020 1 Tesalonika, Renungan 0 Comments

Hidup Dalam Kesucian



Pembacaan Alkitab Dramatis

1 Tesalonika 4:1-18

Ayat Kunci

1 Tesalonika 4:7 – “Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul tetapi agar hidup dalam kesucian.”

Ulasan

Apabila Cindy bertemu Rob, dia sedar bahawa Rob tidak berkongsi pandangan yang sama tentang isu perhubungan seks luar nikah, walaupun mereka menghadiri gereja yang sama. Rob berfikir ia tidak salah – malahan baik untuk pasangan yang berdating untuk melakukannya – dan Cindy pula percaya ia salah dari perspektif Kristian. Akhirnya mereka terlibat dalam debat yang hangat yang memaksa mereka memandang semula isu ini. Cindy mendalami fahamannya tentang kebenaran ini dan Rob terpaksa berhadapan dengan dusta yang dia percayai selama ini.

Apa yang tidak dapat dinafikan ialah sebagai pengikut Yesus, kita dituntut untuk mengamalkan satu cara hidup yang diredhai Allah. Kita tidak bebas memilih gaya hidup sendiri, terasing daripada perintah-perintah Allah dan dikutip daripada ajaran dan amalan hidup orang yang tidak mengikut Yesus. Di dalam Alkitab, daripada kisah-kisah dalam Perjanjian Lama dan Baru, perintah-perintah Allah serta nasihat para rasul, kita boleh mengetahui petunjuk-petunjuk yang disediakan Tuhan untuk bagaimana kita harus hidup. Adakah anda mengamalkan cara hidup yang berkenan kepada Allah? Adakah pilihan-pilihan hidup anda sepadan dengan petunjuk-petunjuk dalam Alkitab? 

Petunjuk Allah jelas – Dia mahu kita hidup suci dan menjauhi perbuatan cabul iaitu apa-apa amalan seks yang bercanggah dengan hukum-hukum Allah. Untuk hidup bebas daripada perbuatan cabul, rasul Paulus dalam ayat 4 berkata bahawa kita mesti masing-masing tahu bagaimana mengawal tubuh kita dan bagaimana untuk hidup dalam kesucian dan kehormatan. Arahan ini membuat dua andaian yang menarik. Pertama, anda boleh tahu bagaimana mengawal tubuh anda dan keinginannya. Ini adalah sesuatu yang boleh dipelajari dan memerlukan pengetahuan akan diri sendiri dan cara-cara mengawal diri. Bagaimana dengan anda? Sudahkah anda mengetahui cara-cara terbaik mengawal tubuh anda dan keinginannya dengan berkesan?

Andaian kedua ialah bahawa anda boleh mengurus keinginan tubuh dan mengejar kesucian hidup dengan berjaya. Ini bermula dengan fahaman bahawa adalah kehendak dan panggilan Allah kepada kita supaya hidup suci, iaitu dengan sengaja memilih untuk menjauhkan diri daripada apa sahaja yang tidak berkenan kepada Allah dan sebaliknya mempersembahkan diri kepada Allah untuk menyenangkan Dia dan melakukan kehendak-Nya sahaja. Hal pertama dalam tulisan Paulus untuk dilakukan jika anda mahu suci ialah dengan sengaja tidak lagi hidup berpandukan arahan hawa nafsu anda, seperti mana yang dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. Jika sahabat-sahabat anda meneliti hidup anda, adakah mereka akan melihat satu perbezaan besar antara budaya hidup anda berbanding dengan budaya hidup mereka yang tidak kenal Tuhan?

Hidup suci, khususnya dari aspek seksual, adalah satu tuntutan utama dalam Firman Allah. Dalam surat ini, rasul Paulus sangat tegas tentang isu ini. Dia berkata bahawa amaran sudah diberi dan patut diendahkan supaya Tuhan tidak menimpakan balasan atas orang yang melakukan kesalahan cabul. Bukan itu sahaja, dia berkata bahawa sesiapapun yang menolak ajaran ini – untuk hidup suci dan mengelak percabulan – bukanlah sekadar menolak manusia tetapi menolak Allah. Wah, ini isu yang berat dan amarannya mesti diambil berat. Harapan saya, mulai hari ini, kesucian seksual akan anda utamakan dan anda akan berusaha sungguh-sungguh untuk mengawal diri dan menjauhkan diri daripada amalan-amalan seks yang tidak disenangi Allah.

Sebaliknya, apakah seorang Kristian harus lakukan jika dia mahu hidup bebas daripada dosa percabulan? Nasihat rasul Paulus ialah supaya orang Kristian itu terus membuka diri untuk diajar Tuhan bagaimana untuk mengasihi satu sama lain dan kemudiannya dengan aktif mempraktikkan kasih persaudaraan. Rasul Paulus berkata bahawa ini ialah kasih yang diamalkan oleh jemaah Tesalonika terhadap saudara-saudara seiman di serata daerah Makedonia. Sesuai dengan seruan rasul Paulus, saya juga menggalakkan anda untuk terus kasih-mengasihi mereka yang seiman di mana pun anda berada. Bukalah hati anda kepada Tuhan, mohon supaya Dia mengajar anda mengasihi dan kemudiannya pergi dan mula mengasihi melalui perkataan dan perbuatan kepada mereka yang sesama iman.

Akhirnya, rasul Paulus memberi beberapa petunjuk praktikal bagaimana anda boleh hidup berkenan kepada Allah – berusaha untuk hidup tenang, jangan jaga tepi kain orang dan cari nafkah hidup anda sendiri. Dengan erti kata lain, dia berkata urus diri anda terlebih dahulu dengan baik. Perhatikan apa yang anda boleh lakukan untuk menyenangkan hidup anda. Jangan menyibuk dengan urusan orang lain. Buat apa yang perlu untuk menjana wang bagi menampung keperluan hidup anda. Semua ini juga menyenangkan Allah, memberkati anda dan akan membuat orang lain menghormati anda.

Doa Untuk Hari Ini

“Allah, Bapa kami di syurga, bantulah saya untuk mengamalkan satu budaya hidup yang berkenan kepada-Mu, sesuai dengan petunjuk-petunjuk dalam Firman-Mu. Ajarlah saya untuk menguasai tubuh saya dan menjauhkan diri daripada percabulan. Ampunilah saya untuk setiap kegagalan saya untuk hidup suci dan terhormat. Isilah hati saya dengan kasih-Mu dan bantulah saya mengasihi sesama manusia sepertimana Yesus telah mengasihi saya. Semua ini saya doakan dalam nama Penyelamat saya, Yesus Kristus.  Amin.”

Lagu Rohani



Share: