Tabiat Mengucap Syukur
Pembacaan Alkitab Dramatis
2 Tesalonika 1:1-12
Ayat Kunci
2 Tesalonika 1:3 – “Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi.”
Ulasan
Adakah anda menganggap orang di sekeliling anda sebagai berkat atau sebagai kutukan? Dua perkara yang menyebabkan interaksi kita dengan manusia menjadi rumit. Pertama, manusia begitu unik dan berbeza sekali. Cara kita bercakap dan bergerak, apa yang kita suka makan atau lakukan, cara kita berpakaian dan sebagainya. Walapun perbezaan boleh menjadi berkat, namun ianya juga boleh memisahkan dan mengasingkan kita. Tetapi, perkara yang kedua yang merumitkan interaksi kita ialah kita semua adalah orang berdosa dan berkecenderungan melakukan apa yang salah dan boleh menyakitkan hati satu sama lain. Bagaimanakah kita boleh menghadapi hakikat ini? Dalam surat Paulus ke Tesalonika yang kedua, dia telah menunjukkan satu amalan yang boleh membantu kita, iaitu bersyukur.
Ada banyak sebab untuk kita bersyukur apabila terkenang seseorang yang telah menerima berkat Tuhan atau telah menjadi berkat Tuhan kepada kita. Apabila rasul Paulus menulis kepada orang Kristian di kota Tesalonika, dia menyebut enam hal yang dia bersyukur kepada Allah yang dilihatnya dalam kehidupan ahli-ahli jemaah itu. Ini terkandung dalam ayat 3 hingga 7.
Pertama sekali, dalam ayat 3, dia bersyukur bahawa iman mereka bertambah teguh. Setiap orang Kristian yang bertambah kuat dalam imannya kepada Yesus selalu menghasilkan rasa gembira bagi semua yang mengetahuinya. Adakah iman anda bertambah teguh setiap hari?
Rasul Paulus juga bersyukur kerana orang Kristian di Tesalonika semakin kasih-mengasihi seperti dalam ayat 3. Oh betapa indahnya dan menyenangkan hati apabila melihat orang Kristian dalam satu jemaah saling mengasihi dan membuktikannya melalui berbagai amalan baik. Adakah anda mengasihi dan dikasihi saudara Kristian yang lain?
Seterusnya, dalam ayat 4 Paulus bersyukur untuk kesabaran dan iman kuat yang ditunjukkan oleh jemaah Tesalonika dalam menanggung penganiayaan dan kesengsaraan yang melanda mereka sekian lama. Adakah anda menanggung kesengsaraan hidup dengan penuh kesabaran dan keyakinan dalam Tuhan? Jika jawapan anda ‘ya’, ketahuilah bahawa contoh anda menghibur hati orang Kristian lain yang mengetahui atau mengalami situasi anda.
Satu lagi hal yang menjadi bahan bersyukur yang disebut oleh Paulus dalam ayat 5 ialah kebenaran bahawa pembaca suratnya sudah dikira layak untuk masuk ke dalam Kerajaan Allah. Semua orang yang percaya kepada Yesus sudah diterima masuk ke dalam Kerajaan Allah, layak menjadi warganegara Kerajaan Tuhan yang luar biasa. Tahukah anda pada ketika anda percaya kepada Yesus, anda sudah dipindah masuk ke dalam Kerajaan Allah dan ini satu perkara yang sangat menggembirakan ramai orang?
Merujuk kepada kesengsaraan yang mereka sedang alami setelah dianiaya, Paulus juga bersyukur dalam ayat 6 kerana keadilan Allah adalah pasti. Dia yakin mereka yang melakukan kejahatan ke atas orang percaya di Tesalonika akan dibalas dengan adil oleh Bapa di syurga. Pengetahuan ini menghibur hatinya. Adakah anda juga bersyukur kerana semua perbuatan jahat yang dilakukan ke atas anda tidak terlepas pandang oleh Allah dan Dia akan membalas dengan adil semua pelaku jahat itu?
Akhirnya, dalam pengenalan surat ini, rasul Paulus bersyukur dalam ayat 7 bahawa Allah akan memberi kelegaan kepada umat Kristian yang sedang dianiaya dan apabila Yesus kembali kali keduanya, mereka akan mengalami kelegaan yang kekal. Tahukah anda bahawa dalam kesemua kesengsaraan anda, Allah akan memberi kelegaan dan penghiburan? Bersyukurlah kerana inilah Allah yang anda sembah, Allah yang mempedulikan anda semasa susah dan menyalurkan penghiburan syurgawi untuk anda.
Membentuk tabiat untuk mengucap syukur adalah sesuatu yang amat baik. Di dalam kehidupan ini sudah tentu pelbagai perkara yang menyedihkan dan mengganggu ketenteraman kita akan melanda kita. Kesemua ini tidak dapat dielakkan dan menjadi perkara lumrah yang di luar kawalan kita. Tetapi apa yang kita boleh kawal ialah bagaimana kita respon terhadap kesusahan malahan terhadap penganiayaan yang mendatangi kita. Kita boleh membuka hati kita kepada Allah, sama seperti Paulus yang mengucap syukur untuk sebarang kekuatan iman, setiap kasih yang dicurahkan, sebarang kesabaran yang mengajar serta membentuk kita, untuk setiap janji Allah kepada kita untuk penyelamatan, keadilan dan penghiburan yang akan Dia bekalkan bagi kita.
Kesemua ini menjadi lebih menghiburkan apabila kita percaya bahawa apa jua kesusahan yang kita hadapi, ianya tidak akan kekal selama-lamanya. Apabila Tuhan Yesus datang untuk kali yang kedua, Dia akan membawa keadilan di bumi. Inilah janji dalam ayat 10 yang kita patut pegang dan boleh kita mengucap syukur:
“Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh murid-murid-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami antara kamu.”
Marilah kita sentiasa mencari perkara-perkara yang kita boleh mengucap syukur khususnya janji-janji Allah yang tak akan pudar. Praktikkan disiplin mengucap syukur walaupun keadaan mungkin tidak berubah tetapi hati kita yang tetap akan berubah dan diperkuatkan. Lebih-lebih lagi, sikap kita terhadap orang lain juga akan akan berubah dengan kasih Allah. Itulah yang paling penting.
0 Comments on "Tabiat Mengucap Syukur"