Kukuh Dalam Iman

Pembacaan Alkitab Dramatis

2 Tesalonika 2:1-17

Ayat Kunci

2 Tesalonika 2:2 – “Janganlah kamu mudah keliru atau goyah jika orang berkata hari Tuhan sudah tiba kerana kononnya kami yang mengatakan begitu melalui nubuat, ajaran atau surat.”

Ulasan

Ramai orang takut tentang masa depan. Sebab itu, menilik dan membaca horoskop menjadi amalan yang diminati ramai orang. Ada orang yang membaca horoskop sebagai perkara yang mesti dilakukan sebelum mereka melangkah keluar dari rumahnya, seakan-akan mereka lebih tersedia untuk menghadapi apa yang akan berlaku pada hari itu. Ini semua adalah amalan yang karut dan boleh dianggap merbahaya.

Namun begitu, mengetahui perkara yang akan datang bukanlah suatu perkara yang berdosa. Malahan di dalam Alkitab, kita menganggap ajaran-ajaran tentang kedatangan Yesus kali kedua sebagai satu kepercayaan yang penting sekali. Tetapi, malang sekali, ramai orang Kristian terpedaya dan takut serta bingung dengan peristiwa dan topik kedatangan Yesus kali kedua yang menakjubkan ini.

Keadaan seperti inilah yang juga berlaku di gereja Tesalonika sehingga memaksa rasul Paulus menegur dan memberi sedikit penjelasan tentang kemunculan Yesus yang dinanti-nantikan ini. Pada ketika itu, terdapat khabar angin disebarkan bahawa kononnya rasul Paulus telah bernubuat bahawa Yesus atau hari Tuhan sudah berlaku melalui ajaran-ajaran dan surat-suratnya. Respon rasul Paulus jelas sekali: jangan mudah keliru, jangan cepat goyah dan jangan diperdayakan!

Pada hari ini, keadaannya masih sama. Dari semasa ke semasa akan muncul nabi-nabi palsu yang mengisytiharkan tarikh kepulangan Yesus. Malahan pada bulan September tahun 2017, mereka telah mengheboh-hebohkan nubuatan yang sebegini. Tetapi semua itu adalah karut sama sekali! Ajaran-ajaran tentang hari Tuhan seperti ini menimbulkan kegelisahan dan rasa takut dalam jemaah. Umat Kristian tidak membantu keadaan ini apabila mereka sendiri membantu menyebarkan pelbagai maklumat dan artikel yang memperdayakan orang tentang kedatangan Yesus kali kedua. Kita mesti bijak apabila menghadapi semua ajaran-ajaran palsu tentang kedatangan Yesus yang kedua, lebih-lebih lagi menyebarkan ajaran-ajaran palsu sebegini. Kredibiliti kita sebagai umat Allah terjejas dengan ramalan-ramalan palsu yang tentu tidak akan menjadi kenyataan.

Ingatlah teguran rasul Paulus –jangan sekali-kali membiarkan sesiapa memperdayakan kamu sehingga kamu menjadi keliru atau goyah. Nilai setiap nubuatan, teliti setiap ajaran dan jangan cepat percaya apa yang dibaca, apalagi macam-macam berita atau ajaran palsu di dalam Internet!

Sebenarnya, kata rasul Paulus, banyak yang perlu berlaku sebelum Yesus muncul semula di bumi ini. Satu hal penting yang perlu berlaku menurutnya dalam ayat 3 ialah kemunculan manusia leluasa yang juga dipanggilnya anak kebinasaan. Siapa peribadi ini dan bilakah masanya dia akan timbul tidak dinyatakan oleh Paulus. Walaupun begitu,Paulus memberi beberapa petunjuk dan pengharapan kepada orang Kristian.

Pertama, dia mengatakan bahawa peribadi ini akan tampil pada waktunya yang dibenarkan Tuhan(ayat 6). Selagi masa yang sesuai untuk anak kebinasaan ini muncul belum lagi tiba, Allah berjanji untuk menahan orang itu. Ini menujukkan dengan ketara Allah kita masih berkuasa dan walaupun ada peribadi jahat seperti ini yang akan datang, dia masih di bawah kawalan Allah.

Kedua, apabila manusia leluasa ini datang dan mula mempengaruhi manusia sejagat, kita diberitahu bahawa dia akan dibantu oleh Iblis dan usahanya merupakan usaha Iblis sendiri untuk menipu manusia. Ini dilakukannya dengan tanda-tanda yang ajaib dan dengan penyataan kuasa yang luar biasa. Kuasa ini datang daripada Iblis sendiri. Keajaiban yang ditunjukkannya diselar palsu oleh rasul Paulus dan kita diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tipu helahnya. Walaupun begitu, hakikatnya, ramai orang akan tertipu dan disesatkannya. Waswas selalu apabila anda melihat manusia melakukan sesuatu yang ajaib dan menunjukkan kuasa yang luar biasa melalui perbuatan-perbuatannya. Jangan pakai ini sebagai lesen untuk mempercayai bulat-bulat apa yang diajar oleh mereka. Ujilah ajaran-ajarannya supaya selaras dengan apa yang terkandung di dalam Firman-Nya. Jika ianya bercanggah dengan ajaran-ajaran dalam Alkitab, tolak orang itu walaupun dia menunjukkan pelbagai tanda dan mukjizat.

Mengapakah kita sepatutnya jangan gelisah dan takut dengan manusia leluasa ini dan iblis? Ini ialah kerana janji Allah dalam ayat 8 mengatakan dengan muktamad bahawa “manusia leluasa itu akan ternyata dan Tuhan Yesus akan membunuhnya dengan hembusan nafas dari mulutnya dan membinasakannya dengan sinar gemilang kedatangan-Nya.” Inilah satu sebab mengapa orang Kristian tidak sabar melihat kedatangan Yesus buat kali kedua kerana apabila Yesus muncul, kegemilangan-Nya yang luar biasa akan memusnahkan anak kebinasaan itu. Inilah penghiburan yang menunggu semua orang yang akan bersama Yesus apabila Dia kembali ke dunia ini. Sebab itu kita tidak patut gelisah atau takut dengan masa depan kita.

Kedatangan Yesus juga tidak harus membuat kita risau atau takut kerana status kita sebagai anak-anak Tuhan memastikan yang indah, baik dan istimewa bagi kita ketika Penyelamat kita kembali. Rasul Paulus mengingatkan jemaah di Tesalonika, dan juga secara tidak langsung kepada kita, dalam ayat 13 bahawa kita dikasihi Tuhan dan akan dikasihi-Nya selama-lamanya. Dia mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa kita harus tidak lupa bahawa Allah telah memilih kita untuk diselamatkan-Nya. Dalam kalangan semua manusia di dunia ini, kita merupakan pilihan-Nya. Jika dua sebab ini tidak cukup, dia juga mengingatkan kita dalam ayat yang sama bahawa kita sudah disucikan oleh Roh Kudus, satu perbuatan Roh Allah yang ajaib dan istimewa hanya bagi mereka yang diselamatkan Allah. Selain daripada itu, orang percaya diingatkan bahawa mereka telah dipanggil melalui Injil yang diisytiharkan dan diterima dengan iman. Akhirnya, janji Allah ialah apabila Yesus kembali, kita yang bersama dengan-Nya akan mendapat kemuliaan Yesus, kemuliaan yang hilang apabila kita berdosa dan kini diterima kembali sepenuhnya.

Mari kita berdiri kukuh dalam masa-masa yang sukar hari ini dan pada masa yang akan datang. Mari kita berpegang teguh pada ajaran-ajaran Kristian yang benar yang sudah kita terima secara lisan dan yang dibaca. Jadikanlah amalan biasa anda untuk menyemak apa yang anda ada melalui khutbah, seminar, Internet dan termasuk melalui siaran ini. Anda mesti menjadi seperti orang Berea dalam Kisah Para Rasul 17:11 –

Orang Yahudi di situ lebih mulia rohaninya daripada yang di Tesalonika kerana mereka menerima firman Allah dengan amat sukacita dan menyelidik Kitab Suci untuk memastikan setiap kebenaran yang dikatakan Paulus.

Jangan leka, jangan lalai, jangan mudah terpedaya tetapi jadilah pelajar Firman Tuhan yang tekun dan bertanggungjawab.

Doa Untuk Hari Ini

“Bapa syurgawi, kami memohon supaya kami tidak keliru dan goyah apabila mendengar khabar tentang kedatangan Yesus tetapi sebaliknya berjaga-jaga dan bijak menilai semua khabar yang kami dengar atau baca. Bantu kami ingat siapa kami di dalam Yesus dan berdiri kukuh dalam iman serta berpegang teguh kepada ajaran yang benar sesuai dengan Firman-Mu. Semoga Allah yang mengasihi kami menetapkan hati kami dan meneguhkan harapan baik yang kami ada selama-lamanya. Berilah kepada kami perangsang dan kekuatan untuk berbuat dan menyatakan yang baik. Dalam nama Yesus kami berdoa, amin!”

Lagu Rohani

Share: