May 28, 2020 Markus, Renungan 0 Comments

Apa Yang Menajiskan Bagi Tuhan?

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 7:1-37

Ayat kunci

Markus 7:23 Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.

Ulasan

Pernah dikatakan bahawa kekristianan pada intinya bukan agama. Mengapa? Agama mementingkan manusia mencari Allah dengan melakukan perbuatan-perbuatan baik. Kekristianan pula ialah Allah mencari manusia untuk mengubahkan hati mereka. Petikan hari ini boleh menjelaskan hal ini.

Ada pakar agama dan pengikut agama Yahudi yang tidak senang hati dengan pengikut-pengikut Yesus. Sebabnya mudah – mereka ini sangat mementingkan kebersihan luaran manakala pengikut-pengikut Yesus tidak mengambil berat peraturan-peraturan pembersihan diri serta benda yang diamalkan oleh mereka. Hal yang menjadi isu ialah kegagalan murid-murid Yesus mencuci tangan mereka seperti yang ditentukan oleh adat istiadat agama Yahudi, yang ditaati semua orang Yahudi turun temurun. Adat agama mereka itu sangat disanjung dan ditaati; sesiapa yang tidak menurut adat-adat agama mereka itu dianggapnajis.

Apakah respon Tuhan Yesus? Dia mendedahkan isu sebenar dan bagaimana pakar agama dan pengikut agama Yahudi ini telah sesat. Menurut Yesus, menghormati Tuhan dengan kata-kata yang indah dan sesuai dengan wahyu Allah tidak mencukupi. Usaha untuk beribadat kepada Allah sesuai dengan semua peraturan yang telah diberikan kepada umat Israel sia-sia sahaja jika hati mereka jauh daripada Allah dan apa yang diutamakan adalah hanya peraturan manusia dan bukannya perintah asal Allah. Yesus juga menegur mereka dan berkata bahawa apa yang diambil berat dan menjadi perkara pertelingkahan dengan murid-murid-Nya bukan sesuatu yang berkaitan dengan perintah Allah tetapi adat istiadat dan perintah buatan manusia.

Hari ini kita juga boleh tersesat seperti orang Farisi dan ahli Taurat ini jika kita mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia, yang walaupun dibuat untuk membantu orang Kristian mentaati Allah, akhirnya menjadi hukum yang membebankan dan yang meniadakan keindahan dan kekuasaan perintah Allah yang sebenar. Pastikan anda tidak mencari gaduh dengan orang Kristian lain atas sebab mereka tidak mengikut adat Kristian anda, iaitu tidak melakukan apa yang sesuai dengan amalan keagamaan kekristianan anda. Ada perbezaan besar antara tidak mentaati perintah Allah dan tidak melakukan adat istiadat agama Kristian satu-satu denominasi atau aliran. Ini lebih runcing jika adat Kristian itu membatalkan firman Allah.

Yesus meneruskan penjelasannya dengan berkata bahawa konsep najis yang diterima oleh orang pada masa itu salah. Mereka berfikir sesuatu dari luar berkeupayaan untuk menajiskan seseorang – apa yang disentuh, apa yang dimakan, apa yang terkena dengannya. Sebaliknya Yesus mengatakan bahawa apa yang keluar daripada seseorang yang menajiskannya. Merujuk kepada hukum-hukum makan orang Yahudi, Yesus cuba membantu murid-murid-Nya dengan berkata bahawa apa yang dimakan tidak dapat masuk ke dalam hati seseorang tetapi ke dalam perutnya dan kemudian keluar semula. Dengan demikian Yesus secara tidak langsung menyatakan semua makanan adalah halal! Usaha orang Farisi dan ahli Taurat mengelak apa yang dianggap najis masuk ke dalam badan mereka, kata Yesus, adalah satu usaha yang salah dan sia-sia.

Sebaliknya, menurut Yesus, apa yang menajiskan seseorang ialah apa yang dilahirkan dalam hati orang itu dan dinyatakan melalui kata-kata dan perbuatan orang itu termasuklah berbuat cabul, mencuri, tamak, berdendam, dengki dan berlagak sombong. Semuanya bermula sebagai fikiran yang jahat dari hati manusia yang tercemar. Inilah yang menajiskan seseorang manusia, inilah yang mesti dielakkan dan disingkirkan dari hati dan minda manusia. Konsep najis dipakai sehingga hari ini bagi orang Kristian tetapi ia tidak berpusat kepada jenis makanan yang tidak boleh dimakan atau apa yang tidak boleh disentuh tetapi kepada hati setiap pengikut serta perkara-perkara jahat yang timbul dari dalam hati itu. Perubahan hati dan penyucian minda adalah sasaran baru pengikut Yesus yang mahu dirinya bebas daripada kenajisan. Amsal 4:23 mengatakan:

Jagalah hatimu lebih daripada segalanya, kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan.

Ayat ini menunjukkan betapa pentingnya keadaan hati kita, bahkan dinyatakan bahawa ianya lebih penting daripada segala perkara yang lain. Mengapakah begitu? 1 Samuel 16:7 memberi kita petunjuk kepada jawapannya: 7

Tetapi firman Tuhan kepada Samuel, “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi Tuhan melihat hati.”

Sebagai manusia, kita selalu menghakimi orang berdasarkan apa yang kita lihat dari luarannya. Contohnya, apabila seorang berpakaian dengan jeans yang digunting atau pakai anting-anting di hidung, kita anggap orang itu adalah pemberontak. Atau kalau seorang tidak memandu kereta yang besar, kita anggap dia kurang diberkati Allah dan tidak layak menjadi pemimpin gereja. Banyak lagi contoh yang boleh diberi tetapi kesemuanya menunjukkan kecenderungan manusia untuk memandang rupa dan perawakan orang lain serta mementingkan penampilan lahiriah mereka.

Sebaliknya, Allah tidak berbuat demikian. Tuhan melihat hati manusia, iaitu apakah yang terkandung dalam hati mereka. Ini bermaksud, tidak ada sesuatu pun yang boleh disembunyikan daripada mata Allahyang melihat segala-galanya. Kita tidak dapat menipu Allah sebab Dia tahu motif hati kita dan apa sebenarnya yang difikirkan oleh kita. Maka, kita perlu datang ke hadirat Allah dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Jika kita ada dosa yang tersembunyi, datanglah dengan hati yang remuk dan telus. Allah sudah mengetahuinya dan Firman-Nya memberi penghiburan dalam Mazmur 51:17

Korban untuk Allah ialah hati yang hancur;hati yang hancur dan sesal, Ya Allah, tidak akan Kau remehkan.

Allah tidak meremehkan hati yang hancur dan sesal; malahan hati yang begitu dihargai Allah. Dia pasti akan mengampuni dan menyucikan daripada segala dosa dalam hati kita.

Doa Untuk Hari Ini

Mari kita berdoa: “Allah Bapa, bantulah kami faham akan konsep kenajisan mengikut FirmanMu dan bahawa Engkau melihat hati manusia dan bukannya rupa atau persembahan luaran manusia. Sucikanlah hati kami dan singkirkanlah semua kejahatan yang menetap di sana supaya apa yang keluar daripada mulut kami suci dan berkenan kepadaMu. Kami juga memohon supaya kami mentingkan apa yang keluar daripada hati kami lebih daripada apa yang di makan atau dimasukkan ke dalam diri kami. Biarlah semua yang difikirkan dan diucapkan itu berkenan kepadaMu. Bantu kami untuk terus percaya dan mengalami sendiri kuasa Yesus dalam kehidupan peribadi kami. Dalam nama Yesus kami berdoa. Amin.

Lagu penutup

Tuhan Melihat Hati – Citra Scholastika

Share: