Jual Harta mu Ikut Aku
Pembacaan Alkitab Dramatis
Markus 10:1-52
Ayat kunci
Markus 10:21-22
Yesus memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, “Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.”Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta.
Ulasan
Apakah harta atau milik yang paling berharga bagi anda? Adakah sesuatu benda seperti kereta, rumah atau sesuatu seperti keluarga atau teman anda? Apakah yang menyebabkan anda begitu menghargai benda atau orang itu?
Apa jua pun, dalam petikan hari ini tentang interaksi seorang yang kaya dengan Yesus, Dia mempelawa kita untuk mendapatkan harta di syurga! Apabila orang yang kaya itu menanya soalan cepu masnya di ayat 17, iaitu,
“Wahai Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
sekurang-kurangnya dia mempunyai perspektif syurgawi. Namun begitu, fikirannya berfokus kepada apa yang dia harus BUAT, yakni, apakah yang dia perlu usahakan dengan kekuatan dan kebolehan sendiri. Ini adalah formula untuk membina orang yang bongkak dan bermegah di dalam diri sendiri. Oleh sebab itu, cabaran muktamad Yesus kepada orang kaya itu ialah untuk melepaskan semua kebergantungannya kepada kekayaan yang diperolehinya sendiri dan datang mempercayai-Nya dengan sepenuh hati.
Respon orang kaya itu jelas sekali dalam ayat 22:22
Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta.
Ketara sekali, pegangan harta duniawi ke atas orang kaya itu begitu kuat sehingga dia tidak sanggup mempercayai Tuhan Yesus. Orang yang berdiri atas pencapaian sendiri begitu angkuh di hadapan Allah sehingga dia yakin dengan keupayaan diri belum benar-benar bertaubat. Orang yang sebegini percaya kerja baik sendiri dan anggap diri sendiri orang yang baik. Itulah jerat keangkuhan manusia.
Oleh sebab itu, apabila Yakobus dan Yohanes minta Yesus dalam ayat 37 mengaruniakan hak untuk duduk di kiri dan kanan-Nya dalam kemuliaan Yesus, Tuhan Yesus cuba mengalihkan fokus mereka kepada cawan yang dia akan minum dan baptisan yang akan dia akan terima-Nya. Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus dengan cawan dan baptisan ini? Tidak lain dan tidak bukan cawan penderitaan dan baptisan kesengsaraan yang Dia akan alami di kayu salib. Inilah yang diberitahu Yesus dalam ayat 33-34 Kata-Nya,
“Dengarlah, kita sekarang pergi ke Yerusalem. Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya dan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa asing. Mereka akan mengejek-Nya, menyebat-Nya, meludahi-Nya, dan membunuh-Nya. Pada hari ketiga Dia akan bangkit semula.”
Tuhan Yesus menggalakkan Yakobus dan Yohanes supaya tidak mencari kemuliaan bagi diri sendiri tetapi merendahkan diri untuk mengorbankan diri demi kebaikan dan keuntungan orang lain. Itulah gambaran dan ajaran yang diberikan melalui kayu salib yang ditempuhi Yesus Kristus.
Kata-kata Yesus kepada orang kaya dan pengikut-pengikut-Nya ialah suatu jemputan yang sangat syurgawi dan sememangnya mencabar sekali bagi pemikiran manusia. Yesus mengaruniakan suatu peluang untuk mewarisi kehidupan yang kekal dalam Tuhan.
Harta duniawi yang dimiliki oleh kita pada hari ini bukanlah suatu jaminan bagi mendapatkan kehidupan yang kekal. Harta simpanan kita di dunia akan musnah pada suatu hari kelak, tetapi jika kita mempunyai fokus yang utama pada Tuhan berbanding dengan wang ringgit dan harta, maka kita perolehi apa yang direncanakan Tuhan dalam hidup kita. Apakah fokus kita pada hari ini? Harta benda atau Tuhan? Kini tiba masanya untuk memperbetulkan apa yang tidak betul.
Tuhan Yesus tidak pernah gagal untuk mengasihi kita. Orang kaya seperti mana dalam petikan firman ini gagal untuk memahami apa yang disampaikan oleh Yesus, ini mungkin kerana fokusnya lebih kepada harta yang telah dikumpulnya dan begituberat untuk disedekahkan kepada orang miskin. Dalam hidup kita, banyak peluang-peluang wujud untuk kita bagi membantu dan meringankan beban-beban fakir miskin (Markus 10:21) atau kepada yang memerlukannya. Melalui bantuan ini, kasih Tuhan dapat diterjemahkan. Kita pantas dan cepat dalam membantu orang lain, maka kesyukuranitu akan memuliakan nama Bapa di syurga.
Sudah tiba masanya kita fokuskan dengan mempercayai pada-Nya dan bukan meletakkan harapan kita kepada harta benda, pencapaian, pendidikan, kuasa atau pun kepujian. Tuhan mahu kita memberikan keutamaan kepada aspek kemanusiaan dan keprihatinan supaya kasih Tuhan Yesus dapat dipancarkan dalam kehidupan orang-orang yang belum mengenalinya lagi. Saya secara peribadi percaya bahawa perlakuan tindakan kita lebih tinggi maknanya daripada sekadar memberikan janji-janji itu dan ini. Janganlah hidup kita seperti orang kaya tersebut tetapi bagaikan orang yang lebih dekat dengan harapan dan hasrat Tuhan Yesus untuk hidup kita.
Akhir kata, kita berdoa kepada Tuhan dan meminta agar hidup kita diteliti semula apakah kekurangan yang ada selama ini dan berdoa agar kita mengasihi Tuhan lebih daripada hartabenda atau pun diri kita. Sesungguhnya apa yang mustahil bagi manusia adalah tidak mustahil bagi Tuhan Yesus kita.
Doa Untuk Hari Ini
Lagu penutup
Kupercaya -Lovanda Sebayan
0 Comments on "Jual Harta mu Ikut Aku"