January 4, 2021 Markus, Renungan 0 Comments

Keyakinan Orang Percaya

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 8:1-38

Ayat kunci

Markus 8:35 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu.

Ulasan

Markus bab 8 bermula dengan satu lagi kisah Yesus melakukan mukjizat untuk memastikan orang ramai yang mengikut Dia mempunyai makanan secukupnya. Kali ini tujuh buku roti dan beberapa ekor ikan kecil digandakan Yesus sehingga cukup untuk memberi makan kepada empat ribu orang dengan sisa sebanyak tujuh buah bakul.

Apakah yang mendorong Yesus melakukan mukjizat ini? Belas kasihan. Yesus prihatin dengan keadaan mereka yang mengikut Dia dan belas kasihan Dia mendorong Dia mencukupkan apa yang mereka perlukan. Saya yakin hari ini, Yesus masih prihatin dengan keadaan dan kekurangan anda dan belas kasihan-Nya akan mendorong Dia melakukan yang ajaib supaya keperluan akan dicukupkan sehingga berlebihan.

Walaupun begitu, anda harus berwaspadasupaya tidak menjadi seperti orang Farisi yang berjumpa dengan Yesus di daerah Dalmanuta. Mereka mahu Yesus melakukan mukjizat sebelum mereka menerima dan percayakepada-Nya. Janganlah kita mencari mukjizat untuk alasan supaya percaya tetapi marilah kita percaya kepada Yesus dan melihat Dia melakukan yang ajaib dalam hidup kita.

Di Betsaida pula, Markus merekodkan bagaimana Yesus menyembuhkan seorang yang buta. Apayang menarik dalam kisah ini ialah walaupun orang buta itu disembuhkan Yesus, penglihatannya samar-samar. Orang yang kini tidak buta lagi berkata bahawa manusia yang dapat dilihatnya adalah seperti pokok yang berjalan.

Yesus sekali lagi meletakkan tangannya ke atas orang itu dan penglihatannya menjadi terang sekali. Boleh disimpulkan di sini bahawa ada masanya proses penyembuhan Yesus tidakberlakuserta-merta dan sempurna. Ada kalanya Yesus perlu menyentuh kita buat kedua kalinya supaya penyembuhan itu lengkap dan sempurna. Yang pasti, kerja baik yang sudah dimulakan Yesus, akan Dia sempurnakan; ada kalanya serta-merta ada kalanya berperingkat-peringkat.

Kemudian Yesus dan murid-murid-Nya lanjutkan perjalanan mereka ke Kaisera Filipi. Di sini Yesus bertanya kepada mereka satu soalan dalam ayat 27 berbunyi seperti berikut:

Menurut orang, Aku ini siapa?

Murid Yesus mempunyai banyak jawapan tetapi secara ringkasnya ramai orang berfikir Yesus seorang nabi, besar kemungkinan seorang nabi Perjanjian Lama yang hidup kembali.

Hari ini, ramai orang memberi jawapan yang sama. Mereka cepat mengaku Yesus seorang nabi, sehebat nabi-nabi yang tertera dalam Perjanjian Lama. Yesus tidak membuat apa-apa komen kepada jawapan murid-murid-Nya. Sebaliknya dia bertanya sekali lagi, soalan yang hampir sama bunyinya: Menurut kamu, Aku ini siapa? Soalan umum Yesus diperibadikan untuk mencabar iman murdi-murid-Nya.

Apakah jawapan Petrus, seorang daripada murid-Nya?

”Engkau ialah Kristus.”

Kristus bermaksud ‘dia yang telah dilantik Tuhan sebagai Penyelamat’ atau dalam bahasa Yahudi, Mesias. Ini juga ialah pengakuan semua orang Kristian sehingga hari ini: Yesus ialah Kristus, iaitu Dia yang telah dilantik Tuhan sebagai Penyelamat. Yesus ialah satu-satunya Penyelamat pilihan Allah dan inilah pengakuan kita orang-orang Kristian.

Setelah isu identiti-Nya telah diselesaikan dan Dia diterima sebagai Mesias, Yesus mula mengajar murid-murid-Nyabahawa Dia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat dan agama, dibunuh tetapi tiga hari kemudian Dia akan bangkit. Ini secara ringkas ialah inti pati Injil dan kepercayaan asas orang Kristian. Ia bukan sesuatu yang dibuat manusia beratus-ratus tahun sesudah Yesus tetapi merupakan ajaran berbentuk ramalan daripada mulut Yesus sendiri yang kemudiannya ternyata benar melalui apa yang dilakukan-Nya di kayu salib. Adakah anda juga percaya bahawa Yesus ditolak, dibunuh tetapi tiga hari kemudian bangkit dari kubur?

Apabila hal ini kali pertama diberitahu Yesus, Markus menyatakan bahawa Petrus tidak dapat menerima penyataan Yesus itu,malahandia terus menegur Yesus!Apakah respons Yesus kepada teguran Petrus yang tidak dapat menerima kenyataan-nya? Dalam ayat “Pergilah dari sini, Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.” Yesus mengatakan perbuatan dan pendapat sedemikian adalah seakan-akan perbuatan jahat iblis sendiri.

Ingatlah ini lain kali anda bertemu dengan orang yang tidak percaya dan menegur anda kerana anda percaya Yesus dibunuh dan hidup tiga hari kemudian. Orang seperti ini menurut Yesus ialah orang yang berfikir secara manusia, menghadkan fahamannya kepada logik dan apa yang manusia mampu buat. Orang seperti ini memang susah mahu menerima kematian dan kebangkitan Yesus sebagai satu peristiwa sejarah yang benar.

Sesudah itu Yesus mengajar mereka bahawa mereka perlu bersedia menyangkal diri malah sedia mati kerana hendak mengikut Dia. Pengorbanan diri untuk mengikut Yesus diajukan sebagai sesuatu yang menguntungkan dan sangat baik. Dalam huraiannya di ayat 34, Yesus membentangkan tiga tuntutan atas semua orang yang akan mengikut Dia: melupakan kepentingan diri sendiri, memikul salib dan mengikut Dia tanpa memandang ke belakang. Pilihan untuk mengikuti Yesus mesti mengambil kira dengan serius penyataanYesus ini. Panggilan Yesus untuk ikut Dia adalah panggilan untuk berkorban apa sahaja demi Yesus kerana hanya hidup yang dikorbankan untuk Yesus akan diselamatkan. Yesus mengakhiri ajaran-Nya dengan mengingatkan murid-murid-Nya supaya jangan malu mengakui-Nya di hadapan orang supaya bila Dia kembali buat kali kedua, Dia tidak akan malu mengakui mereka di hadapan Bapa Syurgawi.

Saya harap anda sudah menimbang dengan serius tuntutan-tuntutanYesus ini dan telah memilih untuk mengutamakan Yesus dalam hidup anda walaupun ini bermaksud anda mungkin perlu mengorbankan diri demi Yesus dan mengakui Dia di hadapan mereka yang boleh mencedera atau membunuh anda sesuai dengan pengakuan yang anda buat. Apabila Yesus memanggil kita mengikut Dia, Dia memanggil kita untuk mati, iaitumati kepada keinginan sendiri, mati kepada ancaman dunia, dan jika perlu mati dibunuh kerana kita yakin mengorbankan hidup kita untuk Yesus dan Injil-Nya adalah keuntungan bagi kita sampai ke kekekalan.

Doa Untuk Hari Ini

Mari kita berdoa. “Bapa di syurga, terima kasih kerana Yesus prihatin akan keadaan kami dan dalam belas kasihan-Nya, Dia selalu menghulurkan tangan-Nya untuk memberkati, membebaskan dan menyembuhkan. Kami berdoa supaya kami sentiasa menjadi penerima berkat daripada Yesus yang berbelas kasihan. Kami yakin Yesus adalah Penyelamat pilihanMu dan berdoa supaya penyelamatan daripada Yesus kami akan alami setiap hari dalam pelbagai situasi. Akhirnya, kami bersyukur dan terus mengisytiharkan bahawa Yesus telah ditolak, dibunuh dan sesudah itu dibangkitkan. Inilah kepercayaan dan pengakuan kami pada setiap masa. Bantulah kami mengutamakan Yesus yang luar biasa ini, baik dalam perkataan mahupun perbuatan seharian kami. Dalam nama Penyelamat kami Yesus Kristus, kami berdoa.Amin.”

Lagu penutup

Mike Mohede – Tetap Setia

Share: