January 4, 2021 Markus, Renungan 0 Comments

Yesus Kristus Adalah Keselamatan

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 9:1-49

Ayat kunci

Markus 9:7

Segumpal awan meliputi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!

Ulasan

Ada seorang kawan saya yang telah melaksanakan upacara pengebumiannya sebelum dia mati. Pelik kan? Dia mengatakan bahawa apabila dia sudah mati, tiada gunanya upacara pengebumian dilaksanakan untuknya kerana dia tidak dapat hadir untuk mendengar apa yang orang lain katakan tentang dia. Jadi, lebih baik dia melaksanakan upacara pengebumiannya sebelum dia mati supaya dia dapat hadir dan dengar apa yang kawan-kawannya fikir tentang dia! Ada juga hikmat di belakang amalannya itu. Apabila kita mati, apa yang berlaku di dalam dunia ini memang kita tidak hadir. Ini ialah kerana kita telah pergi ke tempat yang lain.

Tetapi pernahkah anda memikirkan apa akan terjadi pada akhir hidup anda? Ke manakah anda akan pergi? Apakah yang akan berlaku semasa anda dihakimi oleh Pencipta anda?

Semasa penjelmaan Kristus di atas sebuah gunung, dua orang dari masa Perjanjian Lama yang telah mati, iaitu Musa dan Elia telah muncul untuk bersekutu dengan Tuhan Yesus. Musa mewakili pemberi Hukum Taurat dan Elia pula mewakili nabi-nabi. Isi perbincangan mereka tidak direkodkan untuk kami tetapi perakuan dan pesananAllah diberikan dengan jelas dalam ayat 7:

“InilahAnak-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya.”

Perakuan Allah Bapa bahawa Dia mengasihi Anak-Nya yang tunggal iaitu Tuhan Yesus menunjukkan perhubungan dititikberatkan dan dihargai oleh Allah. Oleh sebab itu, pada akhir hidup kita, perkara yang maha penting ialah adakah kita memiliki perhubungan yang sedemikian dengan Allah atau tidak. Allah akan menerima kembali semua yang merupakan anak-anak-Nya.

Sebaliknya, mereka yang tidak mempunyai perhubungan kasih dengan Allah akan mengalami keadaan yang terus terpisah dariapda Allah sampai ke kekekalan. Malahan Tuhan Yesus menyatakan dengan grafik sekali dalam ayat-ayat 45-48 tempat perpisahan itu, iaitu neraka. Dia mengatakan bahawa tempat itu adalah tempat di mana

“cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.”

Sudah tentu neraka bukan tempat yang baik atau selesa, malahan adalah tempat yang menyeksakan.

Cacing yang sebegini biasanya hadir di mana ada benda yang reput dan busuk. Kejijikan keadaan sebegini tidak dapat dibayangkan kerana cacing ini tidak akan mati dan akan terus makan daging manusia di neraka. Kesengsaraan dan kesakitan yang dialami amat memeritkan. Tambahan pula terdapat api yang amat panas terus menyala di neraka. Kebahangan yang dirasai secara berterusan begitu menyeksakan. Ayat 49 mengatakan tentang penghuni neraka,

“Setiap orang akan disaluti api.” Api itu seakan-akan menjilat kulit tanpa henti-henti.

Saudara-saudari, neraka bukanlah suatu tempat yang kita mahu pergi setelah kita mati. Jangan terpedaya oleh dunia atau iblis bahawa neraka adalah tempat di mana kita boleh bertemasya setiap hari mengikut suka hati kita. Tidak sama sekali! Neraka adalah tempat hukuman dan bukan tempat berseronok.

Setelah perakuan Allah mengenai Anak-Nya, Allah memesan, “Dengarlah kata-kata-Nya” (iaitu dengarlah kata-kata Anak-Nya yang Dia kasihi.) Ini tidak bermaksud cara untuk diselamatkan berdasarkan usaha kita untuk mengikut hukum-hukum Yesus. Roma 8:3 memberitahu kita dengan jelas:

“Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa. Dengan demikian Dia menghukum dosa dalam diri manusia berdosa”.

Kelemahan tabii manusia ialah kita terlalu cenderung melakukan dosa. Kita tidak dapat mencapai standard hukum Allah. Jika kita mengharapkan diri sendiri, kita tentu jahanam pada penghujungnya. Tetapi jika kita bersandar kepada persembahan Yesus di kayu salib untuk menebus dosa kita, maka kita diberi keistimewaan menjadi anak-anak Allah. Perhubungan kita yang terpisah daripada Allah diperdamaikan, maka kita dapat menikmati perhubungan yang erat dengan Allah. Kehidupan yang bebas kini berdasarkan kasih dan kita ingin menyenangkan hati Dia yang kita kasihi. Kita mahu mendengar kata-kata-Nya sebab kita ingin mengasihi-Nya dalam perhubungan yang erat dan intim. Kita bukan lagi mendengar kata-kata-Nya untuk melayakkan diri atau untuk mengelakkan dihantar ke neraka.

Oleh itu, saudara-saudari, tetapkan di dalam hati anda hari ini untuk mengikut pesanan Allah. Mari kita mengasihi Anak-Nya, Yesus Kristus, dengan berjalan dengan erat bersama-sama-Nya. Mari kita ambil masa untuk mendengar suara-Nya supaya kita boleh mengikuti kata-kata-Nya. Mari kita memuliakan Allah dalam keluargakita, dalam pekerjaan kita dan dalam gereja kita. Apa yang kita lakukan adalah berdasarkan perhubungan kasih kita dengan Allah. Itulah keistimewaan kehidupan seorang Kristian yang mengasihi Allah-Nya.

Doa untuk hari ini

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, kami sangat bersyukur bahawa Tuhan Yesus telah mengorbankan diri-Nya supaya kita tidak perlu mengalami hukuman di neraka. Namun begitu, kami tidak hanya mahu mengelakkan hukuman Allah tetapi kami ingin mengecapi perhubungan yang intim dan erat dengan Engkau. Kami ingin kehidupan kami selalu menyenangkan hati Allah dan membawa kemuliaan kepada Engkau. Engkau sungguh baik dan kami ingin nama Tuhan disanjung tinggi di mana sahaja kami berada. Bantulah kami yang lemah ini supaya di dalam Yesus Kristus kami akan menjadi kuat. Kami berdoa segala ini di dalam nama Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kami. Amin.”

Lagu penutup

Ku Mengasihi Mu (Yesus Engkau Baik) -Priskila

Share: