Tuhan Memampukan Kita Untuk Mengampuni
Pembacaan Alkitab Dramatis
Markus 11:1-33
Ayat kunci
Markus 11:23-24
Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya.
Ulasan
Hanya ada dua jenis kehidupan di dalam dunia ini: yang diberkati Allah dan yang dikutuk Allah. Kehidupan yang dikutuk Allah adalah kehidupan yang tandus dan tidak berbuah seperti pokok ara yang dikutuk oleh Yesus dalam ayat 14,
“Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.”
Ada banyak penyebab untuk kehidupan yang dikutuk tetapi salah satu yang paling lumrah ialah tidak mahu mengampuni.
Tuhan Yesus menyeru dalam ayat 25-26:
“Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.”
Oleh kerana kita hidup dalam kalangan orang yang berdosa seperti mana kita sendiri juga berdosa, maka kemungkinan hati kita dilukai oleh kata-kata, perbuatan dan sikap orang lain adalah amat tinggi –mungkin juga setiap hari! Tetapi mengampuni orang yang bersalah terhadap kita adalah perkara yang amat susah kerana biasanya kita mahu membalas dendam. Mengampuni adalah perbuatan yang luar biasa manakala membalas dendam adalah perbuatan yang semula jadi kepadasemua orang.
Maka,untuk melakukan perkara yang luar biasa iaitu mengampuni kita perlu bantuan Allah. Kita tidak mampu lakukannya dengan kekuatan atau kebolehan sendiri. Kita perlu beriman kepada Allah seperti yang diajar oleh Yesus dalam ayat 22-24. Malahan Tuhan Yesus mengajar secara spesifik bagaimana melakukan ini:
Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya.
Cara yang disyorkan oleh Tuhan Yesus ialah maafkan sambil berdoa dengan iman. Jika hati kita terluka oleh seorang, kita cuba bayangkan luka itu sebagai satu gunung dan mengisytiharkan dalam doa, “Beralihlah dan terhumban ke laut!” Dalam kata lain, enyahkannya dari hati kita ketidakmaafan itu. Lakukan ini walaupun perasaan kita mendorong kehendak kita untuk tidak mahu mengampuni.
Dengan beriman pada Allah bahawa Dia akan membantu kita mengampuni dan mengalihkan luka dalam hati, kita lakukannya dengan sepenuh kepercayaan. Semakin lama dan semakin berulang kita lakukan ini dalam hati, kita akan dapati luka itu akan semakin sembuh. Perasaan marah, dengki dan terseksa itu akan semakin pupus.
Langkah pertama yang memerintahkan “gunung luka” itu untuk dialihkan dan dihumbankan ke dalam laut pengampunan adalah langkah yang paling penting tetapi yangpaling susah. Semasa kita menghadapi situasi itu, kita tentu akan bergelut. Perasaan kita yang bergelora mendesak kita untuk menggenggam pada keinginan untuk membalas dendam dan menyakiti kembali orang yang bersalah terhadap kami. Semasa ini, kita perlu menaruh iman kepada Allah dan rela melepaskan keadilan kepada-Nya. Jika kita menuntut keadilan, pengampunan tidak mungkin berlaku dalam hati kita. Biarlah keadilan menjadi hak dan tindakan Allah sebab dalam Ulangan 32:35, Allah mengatakan:
Akulah yang berhak membalas dan mengganjar.
Ingat,saudara-saudari yang dikasihi, Tuhan Yesus mengatakan dengan jelas bahawa jika kita tidak mengampuni, Bapa kita di syurga juga tidak akan mengampuni kesalahan kita. Ini ialah kerana perbuatan tidak mahu mengampuni adalah suatu dosa dan dosa adalah suatu belenggu. Orang yang tidak mahu mengampuni akan terus terseksa dalam hati dan luka itu tidak akan sembuh. Ia seakan-akan tindakan mengorek berulang-ulang luka yang sedang sembuh sehingga ia berdarah semula. Pelepasan tidak akan berlaku dan dosa kita akan menyebabkan kehidupan kita terkutuk oleh Allah.
Jadi, saudara-saudari, jika anda berada dalam keadaan ini, hentikan kedegilan anda. Dengan bantuan Allah, lepaskannya ke dalam tangan Allah. Jangan menyeksa diri sendiri sebab itu merupakan kehidupan yang terkutuk. Berkat Allah tidak dapat dicurahkan ke dalam hati yang tidak mahu mengampuni. Pelepasan dan kebebasan di dalam Yesus Kristus menunggu anda. Langkah pertama ialah memerintahkan “gunung luka” itu untuk dialihkan dan dihumban ke dalam laut pengampunan. Lakukannya hari ini. Lakukannya sekarang juga!
Doa Untuk Hari Ini
Lagu Penutup
Maria Shandi -Mengampuni (Featuring Jason)
0 Comments on "Tuhan Memampukan Kita Untuk Mengampuni"