February 6, 2021 Markus, Renungan 0 Comments

Perintah Yang Terpenting

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 12:1-44

Ayat kunci

Markus 12:29-31

Yesus menjawab, “Yang terutama antara semua perintah ialah: ‘Dengarlah, wahai umat Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.’ Inilah perintah yang terutama. Perintah yang kedua ialah: ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini.”

Ulasan

Di dalam dunia yang semakin pantas kehidupan manusia, soalan yang sering ditanya ialah: Apakah yang terpenting? CEO yang sibuk tidak ada masa duduk mendengar laporan yang panjang –mereka hanya mahu tahu perkara yang terpenting dan paling signifikan sahaja sebelum membuat keputusan. Untuk ibubapa yang perlu bekerja sepanjang hari, mereka mesti memilih perkara yang paling penting untuk dibuat setiap malam apabila mereka balik ke rumah. Untuk pelajar-pelajar pula mereka perlu memberi keutamaan kepada kerja rumah atau tugasan yang terpenting dan paling mendesak dahulu.

Maka, tidak hairanlah apabila seorang ahli Taurat yang banyak mengkaji dan meneliti Alkitab tiba-tiba tanya Tuhan Yesus soalan ini dalam ayat 28,

“Perintah manakah yang terutama?”

Sememangnya, Alkitab mengandungi banyak perintah Allah yang digolongkan dalam Hukum Taurat. Oleh kerana itu, adalah mustahil untuk seseorang cuba mematuhi semua hukum dengan sempurna. Jadi, ahli Taurat ini ingin mengetahui pendapat Yesus hukum mana yang perlu diberi keutamaan.

Jawapan Yesus adalah penting, tetapi kita perlu pertimbangkan jawapan-Nya secara menyeluruh. Asas jawapan-Nya ialah ini:

“Dengarlah, wahai umat Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa.”

Apakah maksud ini? Ramai orang menginterpretasi ayat ini secara salah apabila mereka mula cuba membuktikan Allah adalah satu. Ini bukan maksud sebenar ayat ini. Maksud pernyataan ini ialah: Allah kita adalah satu-satunya Allah. Tiada yang lain di samping-Nya. Allah adalah lain daripada yang lain –unik sekali.”

Maka, perintah yang terpenting ialah kita perlu mengakui bahawa Tuhan Yesus adalah satu-satunya Allah kita dan seluruh hidup kita perlu hidup sesuai dengan kedudukan-Nya sebagai Allah esa kita. Dengan asas ini, barulah kita faham tentang huraian yang diberikan oleh Yesus tentang perintah yang terpenting.

Huraian yang pertama ialah: Kasihilah Tuhan Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu dan dengan sepenuh kekuatanmu.” Dalam kata lain, jika Yesus adalah satu-satunya Allah kita, maka wajarlah kita mengasihi Allah dengan segala yang kita ada.

Bagaimanakah kita dapat mengasihi Allah dengan cara ini? Jika kita mengasihi Allah, kita akan rindu untuk meluangkan masa dengan-Nya setiap hari untuk mendengar suara-Nya, berbual dengan-Nya dalam doa, dan menyenangkan hati-Nya dengan mematuhi kehendak-Nya. Jadi, menetapkan masa setiap hari untuk beribadah kepada Allah adalah cara yang baik sekali untuk mengasihi-Nya. Inilah tujuan renungan yang kita sediakan setiap hari dalam program ini. Tujuannya bukan sekadar penghiburan tetapi lebih daripada itu, ia bertujuan membantu saudara-saudari untuk menemui Tuhan Allah kita.

Selain itu,kita perlu bersandar kepada Allah untuk hidup sebagai orang yang saleh. Seorang bapa akan rasa gembira apabila anak kecilnya datang kepadanya dan minta bantuan melakukan sesuatu kerja. Begitu juga, Bapa kita di syurga gembira menghulurkan bantuan kepada kita, anak-anak-Nya. Kita mengasihi Allah dengan bergantung kepada-Nya dalam seluruh kehidupan kita: dalam kerja kita, dalam pelayanan kita, dalam keluarga kita.

Oleh sebab itu, huraian Yesus tentang perintah yang terpenting adalah lanjutan daripada huraian yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Ada orang yang tidak dapat mengasihi diri sendiri. Mereka rasa diri sendiri serba kekurangan berbanding dengan orang lain. Ini adalah suatu pandangan yang mesti dikikis. Mazmur 139:14 mengatakan:

Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan;sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku.

Kita perlu faham dan menerima hakikat bahawa Allah telah mencipta setiap orang mengikut rancangan-Nya yang terbaik. Setiap orang adalah unik, kerana Kejadian 1:26 menyatakan bahawa kita dicipta mengikut gambaran dan rupa Allah yang unik. Tiada orang lain yang seratus peratus seperti anda di dalam dunia ini. Allah telah membentuk anda dengan khas dan istimewa –malahan Firman Tuhan mengatakan anda adalah “mengagumkan dan menakjubkan.”Jadi, jangan bandingkan diri dengan orang lain tetapi terima diri sendiri seperti mana Allah mencipta anda sedia kala.

Hanya selepas kita dapat mengasihi diri sendiri dengan cara ini, barulah kita mampu mengasihi orang lain dengan cara yang sama. Kita dibebaskan dantidak perlu selalu menumpu perhatian kepada keperluan atau keinginan sendiri sahaja. Kita kini boleh mula mempertimbangkan keperluan dan kepentingan orang lain. Mengasihi orang lain bermaksud kita peka terhadap keperluan mereka dan berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu mereka demi kebaikan mereka.

Inilah perintah yang terpenting dan sesiapa yang mematuhinya akan hidup dengan sukacita. Saudara-saudari yang dikasihi di dalam Yesus Kristus, jadilah anak Tuhan yang tahu bagaimana mengasihi Allah, mengasihi diri sendiri dan mengasihi orang lain dengan sebaik-baiknya.

Doa untuk hari ini

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, kami mengisytiharkan bahawa Allah adalah satu-satu Allah dalam hidup kami. Tiada Allah lain yang kami mengasihi dan mengikuti kecuali Yesus. Bantulah kami menjadi orang yang dapat mengasihi diri sendiri supaya kami dibebaskan untuk mengasihi orang lain serta melayani mereka mengikut keperluan mereka. Maka, dengan ini, kami dapat membawa kemuliaan kepada nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus kami sudah berdoa.

Amin.”

Lagu Rohani

Lagu Rohani Kristen – Aku Mengasihi Engkau Jesus

Share: