Apakah Status Imanmu?
Pembacaan Alkitab Dramatis
Markus 14: 1-72
Ayat Kunci
Markus 14:71 Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang yang kau katakan itu!”
Ulasan
Adakah anda setia kepada Yesus?
Kebiasaan setiap manusia gemar menabur janji terhadap sesama, dengan harapan penerima janji akan menerima atau menikmati bukti dari janji-janji yang telah diucapkan. Namun, setiap kali janji telah diucapkan, maka bermulalah satu cabaran untuk menggenapi janji-janji tersebut. Jangan terkejut, jika banyak yang gagal setia untuk menepati janji-janji tersebut.
Oleh sebab itu orang boleh terluka oleh perbuatan tersebut. Perkara ini sudah sering kali kita alami dari berbagai-bagai pihak, sehingga ada pepatah dalam Bahasa Inggeris mengatakan, “Promises are made to be broken” atau dalam Bahasa Melayu, “Janji-janji dibuat untuk dibatalkan atau tidak dipenuhi.”Inilah yang membuatkan dunia kita pada hari ini semakin remuk. Keluarga yang remuk, perhubungan dan komunikasi yang remuk, dan banyak lagi. Kesemua ini hancur kerana sikap ini: “Tidak Setia.”
Peristiwa yang dialami Petrus mengingatkan kita supaya menilai hati diri sendiri tentang kesetiaan masing-masing terhadap Tuhan kita Yesus Kristus. Para murid Yesus mungkin tidak sedar keadaan hati mereka ketika Yesus menceritakan kepada mereka bahawa Dia akan menghadapi kematian-Nya yang sebenarnya merupakan misi utamanya. Hanya daripada kematian-Nya terdapat harapan pengampunan dosa manusia.
Yesus tahu bahawa kejadian yang akan menimpa-Nya akan sangat menyakitkan. Namun Dia tahu tujuan-Nya ialah untuk melaksanakan kehendak Bapa, dan setia terhadap misi tersebut. Oleh kerana itu, dari teks ini kita dapat belajar bahawa kesetiaan tidak berlaku secara semulajadi, malah memerlukan persediaan dan proses sehingga KESETIAAN itu dibentuk.
Tuhan Yesus mempersiapkan diri dengan berdoa pada menjelang hari penyaliban-Nya. Pada waktu itu Yesus juga mengajak Petrus, Yakobus dan Yohanes bersama-sama Dia ke Taman Getsemani. Setibanya mereka di situ Yesus berdoa sendiri kepada Bapa dan berpesan supaya murid-murid-Nya juga berjaga-jaga dalam doa. Namun ketika Yesus kembali, didapati murid-murid-Nya sedang lena tidur, dan Yesus berkata
“Simon, kamu tidurkah? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga
(Markus 14: 38-AVB)
Peristiwa di atas berlaku tiga kali ketika Tuhan Yesus menjumpai mereka sedang tidur. Petrus yang begitu yakin dengan dirinya, bahawa dia tidak akan meninggalkan Tuhan Yesus walaupun murid-murid yang lain meninggalkan-Nya (bahkan dia berani mati untuk Tuhan Yesus), didapati tertidur pada saat-saat yang genting ini dan tidak mampu berjaga dan berdoa.
Bukankah perkara ini tidak jauh berbeza dengan kehidupan anak-anak Tuhan saat ini yang merasa diri sudah yakin dengan kekuatan diri sendiri, sehingga menjadi leka dan tidak mahu berdoa? Tuhan Yesus mengingatkan dalam ayat 38,”Berjaga dan berdoalah, takut kamu nanti tergoda. Memang rohani rela,tetapi jasmani lemah.”Petrus bersandar kepada kekuatan sendiri, berjalan menurut kehendak dan fikirannya sendiri. Keadaannya mungkin berbeza jika dia bersandar kepadaTuhan dan bukan pada diri sendiri sahaja.”
Mengabaikan disiplin doa akan membawa kita semakin jauh dari Tuhan, bahkan dapat menyebabkan kita meninggalkan Tuhan sama sekali. Ketika Tuhan Yesus ditangkap, murid-murid-Nya meninggalkan Dia kerana ketakutan. Demikian juga Petrus yang telah cakap besar seolah-olah dia begitu kuat imannya. Mari kita baca apa yang berlaku kepada Petrus.
Ketika Tuhan Yesus dibawa menghadap Imam Besar, ayat 54 mengatakan
“Petrus mengikuti Dia dari jauh, turut masuk dalam laman dalam rumah imam besar “.
Mengapa Petrus menyusul Yesus dari jarak yang jauh? Sudah tentu dia takut dikaitkan dengan Yesus yang telah ditangkap. Bukankah ini Petrus yang memberi gambaran bahawa dia tidak akan meninggalkan Tuhan Yesus ,dan berani mati bersama Tuhan Yesus?
Di sana beberapa orang mula mengesyaki bahawa dia adalah pengikut Yesus kerana mereka mengecam mukanya. Sebelum ayam berkokok dua kali, Petrus sudah menyangkal Yesus tiga kali bahkan sampai ayat 71 mengatakan dia “…mengutuk dan bersumpah:
“Aku tidak kenal orang yang kau katakan itu!'”
Bagaimana dengan anda? Apakah anda setia kepada Tuhan atau anda sudah menyangkal Yesus melalui perbuatan tanpa anda sedari? Jika anda ditawarkan kedudukan atau kewangan untuk menyangkal Tuhan Yesus, adakah anda lakukannya? Jika seorang yang lain agama datang untuk melamar anda, adakah anda bersedia menggadaikan Tuhan Yesus demi cinta? Jika ada orang menawarkan wang untuk berkompromi, adakah anda akan menjualkan Tuhan Yesus untuk jumlah wang sogokan itu?
Bagi anda yang telah menyangkal Yesus dalam apa jua perbuatan pun, peluang masih ada untuk kembali ke pangkal jalan. Bertaubatlah dan minta ampun daripada Allah Bapa kita. Bagi mereka yang belum, jangan bermegah pula. Lebih baik mengikut apa yang Paulus katakana dalam 1 Korintus 10:12-13
Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri tegap, berhati-hatilah supaya tidak jatuh. Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.
Dalam kata lain, lebih baik rendah hati dan berwaspada. Selalu lihat kepada Allah untuk memberi bukan sahaja jalan keluar daripada godaan tetapi ketaatan untuk mengambil jalan tersebut. Tetapi apa jua pun jangan menyangkal Tuhan Yesus. 2 Timotius 2:12 mengatakan,
“jika kita tabah, kita juga akan memerintah bersama-Nya. Jika kita menyangkal-Nya, Dia juga akan menyangkal kita.”
Jadi, saudara-saudari janganlah sampai kita disangkal oleh Yesus apabila hari penghakiman kita tiba.
0 Comments on "Apakah Status Imanmu?"