February 26, 2021 Markus, Renungan 0 Comments

Cinta Sejati

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 15:1-47

Ayat Kunci

Markus 15:37

Yesus berseru dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir.

Ulasan

Dengan hanya satu ayat, Alkitab melaporkan peristiwayang paling penting dalam sejarahmanusia:

Yesus berseru dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir

Ayat 37 menceritakan saat-saat terakhir Yesus di kayu salib sebelum Dia meninggal dunia. Namun begitu, perjalanan Yesus ke titik ini penuh dugaan.

Membaca petikan hari ini, membuat hati saya terusik dan terganggu. Pada satu sudut hati saya pilu membayangkan kejadian yang Yesus alami ketika Dia diadili. Dewan pengadilan yang seharusnya menjadi tempat Yesus mendapatkan keadilan, sebaliknya menjadi dewan penganiayaan terhadap-Nya. Ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan palsu yang tidak dapat dibuktikan. Gabenor kerajaan Roma iaitu Pilatus sendiri mengetahui Yesus tidak bersalah dan berusaha membebaskan-Nya dengan menggunakan satu adat yang dipraktikkan untuk membebaskan seorang bersalah semasa perayaan hari Paskah. Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai untuk minta seorang lain untuk dibebaskan iaitu seorang pemberontak dan pembunuh bernama Barabas dan bukan Yesus.

Para askar pula menganiaya Yesus dengan menyindir-Nya, memukul kepala-Nya, meludahi-Nya dan mempermain-mainkan-Nya. Mereka seakan-akan menikmati apa yang mereka lakukan!

Yesus dianiaya seperti binatang yang diejek oleh sekumpulan anjing pemburu. Kelakuan kejam askar Roma seperti ini memang sudah dikenali di seluruh dunia. Tuduhan terhadap Yesus adalah Dia mengaku diri sebagai raja orang Yahudi, maka dari sudut pandangan mereka, Yesus merupakan ancaman kepada kerajaan Roma. Maka tidak hairanlah mereka mengolok-olok Yesus dan memakaikan-Nya mahkota duri dan jubah berwarna ungudan menyembah-Nya dengan pura-pura. Malahan mereka meletakkan tanda pada kayu salib Yesus dengan tulisan ini: Raja orang Yahudi.

Selain itu, dalam ayat 29, dikatakan semua orang yang lalu tempat Yesus disalib menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Tambahan lagi, ayat 32 mengatakan orang yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya.

Keadaan ini seakan-akan menggambarkan tiada orang berpihak kepada Yesus yang langsung tidak bersalah.

Walaupun hati saya pilu membaca deskripsi ini, pada sudut yang lain, hati saya terharu kerana Yesus berdiam diri dan tidak membalas -dari perbicaraan-Nya sampai ke titik akhir-Nya di kayu salib. Bahkan di Lukas 23:34, Yesus berdoa untuk musuh-musuhnya dengan kata-kata ini:

“Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.”

Perkara yang menimpa Yesus merupakan tindakan di luar perikemanusiaan. Mengapa Yesus sanggup menerima semua tindakan ini? Mengapakan Yesus sanggup melalui semua penyeksaan dan penghinaan ini, bahkan mengampuni mereka yang melakukan ketidakadilan terhadap-Nya? Hanya satu sebab yang ketara: kasih! Semuanya adalah kerana kasih! Yesus datang untuk melayani dan menyelamatkan manusia berdosa. Dia rela menerima semua ini demi tujuan yang agung tersebut.

Kita dapat mencontohi Yesus yangmengasihi musuh-musuh iman kita. Yesus pernah mengajar di dalam Matius 5:43-44:

“Kamu telah mendengar ajaranyang berikut: ‘Kasihilah sesama manusia dan bencilah musuhmu.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu.”

Sepanjang peristiwa yang sungguh menyayat hati ini, Yesus mengamalkan apa yang Dia telah mengajar. Segalanya memang dimotivasikan oleh kasih-Nya yang sungguh besar dan menakjubkan. Namun begitu, ini adalah ajaran yang berat sekali dan memang sukar untuk dipraktikkan. Bagaimanakah kita mungkin mengamalkannya?

Pertama sekali, kita perlu ingat bahawa kita dahulunya juga adalah musuh Kristus. Kita juga terlibat dalam penyaliban-Nya! Dengan cara ini, kita tidak melihat musuh kita sebagai musuh sahaja, melainkan melihat mereka sebagai orang yang perlu diampuni dan dikasihi sama seperti diri kita sendiri.

Kedua, doakanlah musuh-musuh kita. Walaupun pada mulanya kita tidak ingin berdoa untuk mereka, namun semakin banyak kita berdoa agar Allah memberkati mereka, hati kita akan berubah dan menjadi lebih lembut.MintalahAllah mencurahkan belas kasihan dan anugerah kepada mereka, iaitu anugerah yang sudah kita sendiri terima daripada-Nya.

Ketiga, ketika kita menyatakan kasih itu dengan tindakan kita maka Allah dapat menggunakan perbuatan kita untuk memenangi jiwa-jiwa musuh kita. Bahasa cinta adalah cara yang berkuasa sekali untuk memenangi hati manusia.

Kasih Yesus menjadi inspirasi bagi kita. Daripada permulaan pelayanan-Nya sampai dia menghembus nafas-Nya yang terakhir, segala-gala digerakkan oleh kasih. Betapa besarnya kasih Yesus terhadap kita semua!

Doa penutup

Mari kita berdoa,“Tuhan Yesus yang sangat mengasihi kami, kami bersyukur kepada Mu, kerana kasih-Mu yang besar sehingga Engkau sanggup diseksa sebagai ganti dosa kami, sehingga kami menerima pengampunan dan menjadi suci serta layak dihadapan-Mu. Tuhan,ajar kami untuk memiliki kasih seperti kasih-Mu dalam tingkah laku, perkataan dan fikiran kami, agar dunia melihat bahawa Engkau ada di dalam hidup kami, dan kami dapat bersaksi tentang kasih-Mu yang besar sehingga dapat menyelamatkan kami, orang yang berdosa. Ini doa kami, dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Amin.”

Lagu Rohani

Share: