Politik dalam gereja
June 12, 2021 Galatia, Renungan 0 Comments

Politik dalam gereja

Pembacaan Alkitab Dramatis

Galatia 2:1-21

Ayat kunci

Galatia 2:12

Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan. 

Ulasan

Main politik di dalam gereja adalah salah satu masalah yang rumit sekali di dalam gereja. Biasanya masalah ini berlaku kerana terdapat pemimpin-pemimpin gereja yang ingin menonjolkan diri atau rancangan mereka dalam gereja. Apabila ini berlaku kesatuan gereja akan terancam dan jemaah akan berada dalam kedudukan yang sukar. Mereka terpaksa membuat pilihan tentang pihak mana yang mereka akan sokong. Tetapi gereja bukan tempat untuk main politik atau menonjolkan personaliti tertentu. Di gereja hanya terdapat satu Raja dan satu Tuhan sahaja.

Paulus berkongsi pengalamannya apabila dia terpaksa menentang mereka yang main politik dalam gereja. Keadaan itu menjadi lebih runcing lagi apabila isunya bukan sahaja melibatkan personaliti tertentu tetapi juga asas doktrin penyelamatan. Konfrontasinya adalah dengan tidak lain dan tidak bukan Rasul Petrus, yang terkenal, dihormati dan berkedudukan tinggi dalam kalangan jemaah gereja. Beginilah Paulus ceritakan keadaannya dalam ayat 11-13:

11Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah. 12Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan. 13Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu.

Paulus menuduh Petrus sebagai munafik! Ini ialah kerana dalam kalangan orang Kristian bangsa asing sahaja dia makan dengan mereka secara bebas. Tetapi apabila rombongan yang dihantar daripada Yakobus, pemimpin gereja di Yerusalem, dia berundur dan mengasingkan diri daripada mereka kerana takut dituduh bercampur dengan mereka yang boleh dianggap tercemar dan belum ditahirkan. Secara spesifik, Kristian bangsa asing itu belum disunat untuk menjadi orang Yahudi dan mengikut fahaman rombongan bersunat ini, orang yang belum bersunat belum memperolehi penyelamatan. Bukankah ini main politik dalam gereja?

Amalan munafik Petrus menular dan mempengaruhi orang Kristian Yahudi yang lain di Antiokha. Mereka juga mula mengasingkan diri daripada saudara mereka yang berbangsa asing apabila tiba masa makan. Paulus tidak tahan menyaksikan pertunjukan kemunafikan golongan ini. Lebih-lebih lagi apabila teman sepelayanannya Barnabas juga terpengaruh.

Jadi, Paulus mengambil tindakan untuk berkonfrontasi dengan Petrus secara umum. Dia berkongsi dalam ayat 14:

14Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, “Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?”

Paulus mengambil pendiriannya di depan semua jemaat kerana ini adalah isu tentang kebenaran Injil penyelamatan. Dia tidak mahu orang Kirstian bangsa lain rasa mereka adalah jemaah kelas kedua kerana belum disunat untuk menjadi orang Yahudi. Dia tidak mahu penyelamatan yang hanya berdasarkan perbenaran oleh iman dalam Yesus Kristus dicemari dengan apa jua pengerjaan hukum Taurat. Malahan Paulus menyatakan dengan tegas sekali dalam ayat 16:

Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat.

Bagi dia, itu cukup jelas dan tidak boleh ada kompromi walau sedikit pun dalam hal kepercayaan asas ini. Penyelamatan langsung tidak bergantung kepada usaha manusia untuk mengikut hukum Taurat. Jadi, dia tidak membenarkan orang main politik di dalam gereja walau pun orang itu ialah Petrus sendiri atau rombongan berkedudukan tinggi daripada pusat gereja di Yerusalem.

Pelajarannya adalah jelas. Main politik di dalam gereja adalah penyakit barah yang membunuh gereja. Kita mesti hentikan amalan ini yang meninggikan manusia sehingga mereka menjadi lebih besar dan lebih penting daripada Allah sendiri. Mari kita hentikan amalan munafik yang anggap ada hirarki atau kategori orang Kristian mengikut bangsa, mengikut status sosial, mengikut nama keluarga, atau apa jua pun. Seperti yang dikatakan oleh Paulus dalam ayat 6, “Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa.” Maka, kita juga tidak boleh pilih kasih dan main politik dalam gereja. Ini tidak memuliakan nama Allah yang suci, malahan memburukkan nama-Nya. Biarlah kita berada pada paras yang sama di bawah naungan Tuhan Yesus, Raja dan Penyelamat kita.

Doa untuk hari ini

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, sememangnya amatlah menyedihkan apabila umat-Mu main politik di dalam gereja dan pilih kasih dalam kalangan mereka. Ampunilah kami yang juga ada kecenderungan ini. Bantulah kami untuk memiliki hati yang murni untuk mengasihi semua orang dalam gereja walau pun kami mungkin sangat berbeza. Kekalkan kesatuan dalam gereja dengan Yesus sebagai Raja kami yang mutlak. Belakangkan semua manusia dan biarlah Yesus yang menjadi lebih besar dan semua manusia menjadi lebih kecil. Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin.”

Lagu penutup

Keluarga Allah

Share: