GPS Roh Kudus
Pembacaan Alkitab Dramatis
Galatia 3:1-26
Ayat kunci
Galatia 3:3
Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani?
Ulasan
Satu sistem rekaan abad ini yang amat berguna ialah alat GPS yang telah diguna pakai sebagai suatu APP di dalam telefon pintar.Dengan APP seperti Google Maps atau Waze ini, kita boleh dibimbing ke tempat yang kita tidak tahu lokasinya oleh suatu suara yang kita tidak kenali! Secara iman kita belok ke kiri atau ke kanan mengikut arahan yang diberikan. Akhirnya suara itu akan beritahu, “Anda akan sampai ke destinasi anda dalam beberapa saat lagi…” Sebelum wujud APP ini, kita mesti beli peta, cari tempat yang ingin ditujui, mengkaji dan membuat keputusan jalan-jalan yang ingin diambil, dan kemudian cuba ikut perjalanan yang telah ditetapkan dengan membaca peta dan selaraskan dengan nama jalan-jalan yang dilalui. Cara yang lama ini adalah dengan usaha sendiri, bukan dengan iman.
Secara sama, kehidupan kekristianan boleh dialami dengan dua cara: dengan iman bergantung kepada GPS Roh Kudus atau dengan usaha sendiri. Inilah yang menyebabkan Paulus bergelut dengan jemaah di Galatia khususnya apabila dia tanya dalam ayat 2-3:
2Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Kudus kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan? 3Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani?
Hukum Taurat boleh diibaratkan sebagai peta untuk kita kaji, tetapkan perjalanan dan cuba ikut dengan usaha sendiri. Inilah cara hidup kekristianan yang Paulus menentang dengan keras. Walhal dia mengatakan cara hidup kekristianan begini adalah terlaknat dan dalam ayat 1 dikatakan seakan-akan orang yang telah disihirkan atau dipukau! Kita perlu sedar bahawa apa yang Paulus maksudkan di sini bukan berkaitan bagaimana memperolehi keselamatan tetapi bagaimana hidup sebagai seorang yang percaya SELEPAS memperolehi keselamatan.
Oleh sebab itu, dia mengatakan, “Setelah bermula dengan Roh (iaitu semasa menerima penyelamatan), sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani (iaitu setelah menerima penyelamatan)?”
Menurut Paulus, penerimaan Roh Kudus semasa menerima penyelamatan adalah ketara sekali bukan dengan usaha sendiri, iaitu mengerjakan hukum Taurat tetapi dengan percaya Injil yang dikhabarkan. Dia menegaskan perbezaan ini sekali lagi dalam ayat 5:
5Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat dalam kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan?
Pada asasnya, Paulus menegaskan bahawa penyelamatan adalah secara iman dengan mempercayai berita Injil Yesus. Jadi, setelah itu, jangan balik kepada amalan yang tidak alkitabiah iaitu bergantung kepada usaha sendiri semula untuk mencapai penyempurnaan.
Perkara ini begitu penting sehingga Paulus bergegas menghantar surat ini kepada jemaah di Galatia untuk mendidik mereka untuk menolak ajaran-ajaran yang menyesatkan mereka dan yang mendorong mereka untuk bergantung kepada usaha sendiri melaksanakan hukum Taurat bagi tujuan penyempurnaan. Sebaliknya, Paulus menerangkan bahawa sebagaimana kita diselamatkan oleh iman, kita mesti juga hidup dengan iman. Dalam ayat 11, dia menulis:
11Jelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di mata Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, “Orang yang benar akan hidup dengan iman.”
Saudara-saudari, ramai orang Kristian hidup sebagai orang yang dibelenggu dan memikul beban keagamaan. Ada sebahagian berusaha untuk mencapai penyelamatan dengan mengikut hukum-hukum atau mengamalkan istiadat-istiadat keagamaan. Jangan! Penyelamatan adalah secara iman di dalam pengorbanan Yesus bagi kita orang yang berdosa dan perlu diselamatkan. Terima sahaja dengan iman dan jangan menambah kepada Injil Kristus.
Sebahagian orang Kristian pula hidup terkongkong oleh beban agama kerana mereka fikir untuk berkenan kepada Allah, mereka perlu mengikut semua hukum Allah dengan sempurna. Mereka berada dalam keadaan serba salah kerana mereka takut Allah akan menghukum mereka untuk setiap pelanggaran tetapi pada masa yang sama mereka tidak berdaya melakukan semua hukum Allah dengan sempurna. Inilah orang Kristian yang terbelenggu dengan dosa dan tidak hidup secara bebas di dalam Yesus Kristus. Jangan! Kita sepatutnya hidup sebagai orang yang bebas dan bukan orang yang terbeban! Nanti dalam bab 5, kita akan belajar bagaimana hidup sebagai orang Kristian yang bebas. Tetapi di sini, ingat pakai GPS Roh Kudus bukan peta hukum Taurat.
Menurut ayat 24, kita diperbenar oleh iman. Lebih-lebih lagi, menurut ayat 26, kita menjadi anak Tuhan melalui iman. Itu adalah suatu keistimewaan yang diberikan kepada kita yang percaya. Jangan cuba melayakkan diri menjadi anak Tuhan dengan usaha sendiri. Itu adalah usaha yang sia-sia. Sebaliknya, hidup seperti anak Tuhan yang mengasihi Allah Bapa mulaui sekarang!
Doa
Lagu Rohani
Roh Allah yang hidup
0 Comments on "GPS Roh Kudus"