Siapakah kita di mata Tuhan?
Pembacaan Alkitab Dramatis
Galatia 4:1-31
Ayat kunci
Galatia 4:6-7
Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Anak-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, “Abba, Bapa.” Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.
Ulasan
Seorang budak kecil telah berjalan menuju ke pintu yang dikawal dengan ketat oleh askar-askar polis. Tanpa menghiraukan mereka, dia terus melalui pintu gerbang itu dan apa yang lebih menakjubkan ialah tiada polis yang menghalangnya. Kemudian dia terus masuk ke dalam rumah besar yang berwarna putih. Ramai orang yang nampaknya sangat penting sedang membuat kerja mereka. Tetapi budak kecil itu tidak menghiraukan mereka. Dia meneruskan perjalanannya untuk mencapai hasratnya. Pintu demi pintu dia buka dan masuk tetapi tidak ada seorang pun yang menghalangnya walau pun dikawal oleh pekerja-pekerja di setiap bilik. Akhirnya dia sampai ke pintu yang terakhir yang menuju ke pejabat presiden negara itu. Setiausaha memandang ke atas dan nampak budak kecil itu lalu tersenyum. Budak kecil it terus buka pintu itu dan masuk ke dalam ruang pejabat yang besar itu dan jalan menuju ketua negara itu lalu panjat ke atas pahanya. Presiden itu terus menyambut dan memeluk budak kecil itu. Mengapa? Sebab budak kecil itu adalah anaknya. Pertalian anak-bapa ini memberi budak kecil itu hak kepadanya yang tidak dimiliki oleh budak-budak lain di dunia ini. Ia membuka pintu baginya yang budak lain tidak dapat buka. Ia membolehkannya untuk duduk di atas paha presiden bila-bila sahaja dan sesuka hatinya. Itulah hak istimewa seorang anak.
Sepanjang bab 4 metafora seorang anak ketara sekali. Paulus cuba menerangkan betapa besar keistimewaan dan hak yang diberikan kepada kita yang diambil sebagai anak-anak Allah. Paulus menulis tentang hal ini dalam ayat 4-5:
Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Anak-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat, untuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak.
Oleh kerana kita telah ditebus oleh Yesus, kita mendapat hak sepenuh sebagai anak. Apakah hak sepenuh ini? Paulus meneruskan penerangannya dalam ayat 6 dan 7:
Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Anak-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, “Abba, Bapa.” Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.
Pertama, kita telah diberikan Roh Yesus yang membantu kita berseru, “Abba, Bapa” kepada Bapa Syurgawi. Hak memanggil Allah sebagai Bapa adalah suatu keintiman perhubungan yang luar biasa sekali. Kita dapat menyeru apabila kita memerlukan bantuannya dalam apa jua hal. Kita dapat minta perlindungan daripada Bapa kami apabila kita berada dalam keadaan yang bahaya. Kita dapat mengadu kepada Bapa apabila kita berada dalam kesusahan. Atau pun kita boleh hanya duduk di atas paha Allah Bapa dan rasa pelukan kasih-Nya.
Selain itu, kita memiliki perhubungan dengan Allah Tritunggal yang sungguh istimewa. Allah Bapa menjaga kita, Allah Anak menebus dan membuka jalan untuk kita balik ke pangkuan Allah manakala Allah Roh Kudus tinggal di dalam kita untuk menguduskan dan membantu kita. Bantuan yang kita terima adalah bantuan yang mutlak dan berkekalan. Ianya adalah berdasarkan janji Allah yang tidak mungkin dimungkiri-Nya. Oleh sebab itu, ayat 23 mengisytiharkan kita adalah anak perempuan merdeka yang dilahirkan kerana janji. Maka, kita boleh rasa terjamin dan selamat. Tidak ada apa-apa di dalam dunia ini yang boleh memutuskan perhubungan kita dengan Allah yang berdasarkan janji Allah yang tidak mungkin menipu.
Ramai orang dalam dunia yang semakin pantas dan padat ini, rasa seperti seekor hamster yang lari di atas roda yang berputar-putar. Banyak tindakan tetapi langsung tiada langkah maju ke depan. Hidup menjadi tidak bermakna. Bangun pagi dan terus bekerja sampai lewat malam. Bila tidur pun tidak dapat rehat seratus peratus kerana banyak yang masih berputar-putar dalam fikiran mereka. Damai sejahtera adalah suatu perasaan yang langsung tidak wujud. Malang sekali, orang Kristian juga terperangkap dalam jerat dunia ini. Umur tidak mengecualikan sesiapa pun daripada gejala ini.
Apakah penyelesaiannya? Balik kepada kasih Bapa kita. Seperti budak kecil itu, terus masuk ke dalam ruang pejabat Bapa Syrugawi kita dan duduk dengan tenteram di atas paha-Nya.
Baru-baru ini, kami menganjurkan suatu Retret Senyap untuk orang dewasa muda yang dalam lingkungan umur 20-35 tahun. Ini adalah kumpulan orang muda yang boleh dikatakan paling sibuk dan hidup dalam trek laju. Di dalam retret senyap itu, mereka diminta jangan bercakap dengan sesiapa untuk dua hari –hanya bersekutu dengan Allah Bapa dan baca Firman Tuhan.
Rata-rata selepas dua hari berada dalam kesunyian, mereka berkongsi mereka baru sedar betapa letih dan bergelut kehidupan mereka. Dalam senyap, mereka baru dapat kembali kepada persekutuan dengan Allah Bapa. Kerinduan didakap oleh Bapa yang mengasihi kita terus menjadi satu kerinduan dalam hati mereka.
Begitulah juga untuk kita semua yang terlibat dalam perlumbaan hidup didunia ini. Jiwa kita perlu mengalami penyahtoksikan daripada aktiviti demi aktiviti yang tak berhenti-henti. Kita perlu balik ke asas perhubungan kita dengan Allah Bapa sebagai anak-Nya. Adakah saudara-saudari mengalami keadaan yang sebegini. Kembalilah kepada kasih Allah.
Kedua, sebagai anak kepada Allah, kita adalah waris bersama Yesus. Ayat 7 mengatakan kita, sebagai anak telah dijadikan Allah sebagai waris-Nya. Roma 8:17 mengatakan perkara yang sama:
Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama Kristus, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak.
Ini bermaksud Yesus, sebagai Anak Allah yang tunggal, berkongsi segala kekayaan-Nya dengan kita! Malahan Efesus 2:6 mengatakan, “Allah telah membangkitkan bersama Kristus Yesus, serta mendudukkan kita bersama-Nya di syurga…” Kita berada dalam kedudukan yang mulia sebagai anak kepada Bapa Syurgawi. Kita bukan orang miskin atau orang yang diperhambakan. Kita adalah anak yang berkedudukan, berkuasa dan berwibawa. Segala yang menjadi milik Yesus, juga milik kita. Oleh sebab ini, kita boleh keluar ke dunia ini dengan perspektif yang baru. Kita boleh mengubah keadaan dalam dunia ini dan menjadi pengaruh positif kepada mereka yang di sekeliling kita. Kita mungkin budak kecil di mata orang lain, tetapi kita mempunyai Bapa Syurgawi yang Mahakuasa membantu kita. Halleluyah!
Doa
Lagu Rohani
Bapa Yang Mengasihiku -Regina Pangkerego
0 Comments on "Siapakah kita di mata Tuhan?"