Tabii Manusia Atau Roh
Pembacaan Alkitab Dramatis
Galatia 5:16-26
Ayat kunci
Galatia 5:17
Kerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan.
Ulasan
Sejak saya menjadi seorang Kristian, saya telah diajar untuk menjadi seorang yang baik menurut apa yang diajar dalam Alkitab. Jadi, saya telah berusaha untuk menjadi seorang yang salih tetapi semakin banyak saya berusaha semakin gelisah hati saya. Saya rasa saya tidak dapat berubah dan mencapai standard yang diperlukan. Jadi, saya menambahkan lagi usaha saya tetapi akhirnya saya gagal juga. Beginilah kehidupan kekristianan yang penuh pergelutan sehingga saya menemui ayat yang terdapat dalam Galatia 5:17
17 Kerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan.
Tiba-tiba saya sedar bahawa semua orang Kristian yang baik mempunyai niat untuk melakukan apa yang betul. Tetapi niat untuk melakukan apa yang betul akhirnya menyebabkan kita tidak akan dapat melakukan apa yang hendak kita lakukan kerana itu adalah bergantung kepada kekuatan sendiri, atau apa yang disebut dalam ayat ini sebagai “keinginan tabii manusia.” Itu merupakan usaha manusia dan ianya terbantut oleh keinginan tabii manusia yang cenderung terhadap dosa.
Sebab itu, sama ada ia adalah dosa ketara seperti perbuatan cabul, kemabukan atau menyembah berhala dan sihir, atau dosa yang tidak begitu ketara seperti kebencian, hasad dengki, letusan kemarahan atau iri hati, kesemua ini adalah buah tabii manusia yang bertentangan dengan buah Roh. Usaha manusia inilah yang menyebabkan Paulus begitu marah dengan jemaah Galatia sehingga dia mengkritik dengan keras di Galatia 3:2-3
2 Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Kudus kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan? 3 Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani?
Paulus menulis surat ini kepada jemaah Galatia ini untuk menjelaskan bahawa kita tidak mungkin menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani sendiri atau usaha sendiri. Kita mungkin berniat baik tetapi kerana kita berusaha dengan sendiri kita kembali kepada belenggu hukum Taurat. Ini ialah kerana kita cuba berubah dengan mendisiplinkan diri dan mengikut peraturan-peraturan dalam hukum Taurat.
Sebaliknya, buah Roh bukanlah dengan kita mendisplinkan diri kerana berniat menyempurnakan diri. Buah Roh seperti kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri adalah apa yang boleh dihasilkan dengankuasa Roh Suci sahaja, bukan dengan kuasa atau kebolehan manusia. Kalau ianya boleh dihasilkan oleh diri sendiri, Alkitab tidak akan panggilnya buah Roh tetapi buah manusia!
Maka, secara ringkas, jika kita bergantung kepada kekuatan dan usaha sendiri, kita akan gagal kerana akhirnya kita akan melakukan apa yang tabii manusia kita inginkan, iaitu dosa. Tetapi jika kita bertaubat dan tunduk kepada kerja Roh Kudus di dalam kita, buah Roh akan terhasil. Ada dua jalan sahaja untuk semua orang Kristian: sama ada kita bergantung kepada tabii manusia yang menuju ke kegagalan atau kita bergantung kepada Roh Suci yang akan menuju ke kejayaan. Sumber kebergantungan kita adalah amat penting dalam hal penyempurnaan kita. Jika kita bergantung kepada pokok anggur kita yang benar, iaitu Yesus Kristus, kita akan berhasil seperti yang dikatakan dalam Yohanes 15:5
5 Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa.
Ada suatu ilustrasi yang pernah digunakan untuk mendidik kita tentang betapa pentingnya sumber yang kita bergantung. Di dalam kita boleh dikatakan terdapat dua ekor anjing: satu anjing putih dan satu anjing hitam. Kedua-dua anjing di dalam kita ini saling bertentangan. Anjing hitam itu mewakili tabii manusia yang berkecenderung melakukan dosa. Anjing putih pula mewakili roh kita yang tunduk kepada Roh Allah. Anjing mana yang akan menang bergantung kepada satu perkara: anjing mana yang kita selalu beri makanan dan anjing mana yang kita tidak beri makanan. Anjing yang diberi makanan akan menjadi lebih kuat manakala anjing yang kebuluran akan menjadi lebih lemah dan akhirnya ia akan kalah atau mati. Begitulah dalam hidup kita: jika kita bergantung kepada kekuatan diri dan tabii manusia dengan melakukan apa yang sifat itu inginkan, kita akan berada dalam belenggu dosa. Tetapi jika kita selalu tunduk kepada Roh Allah dan biarkan Roh memimpin kita, maka buah Roh adalah hasilnya.
Maka, Paulus mengatakan dengan jelas:
24 Mereka yang menjadi milik Kristus Yesus telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya. 25J ika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga.
Biarlah kita memberi makanan kepada roh kita dan bukan kepada tabii manusia kita. Mari kita menyalib tabii manusia serta hawa nafsu dan keiningannya. Sebaliknya, mari kita tunduk kepada Roh Allah dan hidup serta berbuat segalanya dalam Roh dengan bergantung kepada Roh-Nya. Itulah caranya menjadi seorang Kristian yang kuat dan sihat.
Doa
Lagu Rohani Kristen
Ya, Roh Kudus
0 Comments on "Tabii Manusia Atau Roh"