Adakah manusia sebelum zaman Yesus Kristus selamat?
Pembacaan Alkitab Dramatis
Roma 2: 1-29
Ayat kunci
Roma 2: 11
Allah tidak menghakimi berat sebelah.
Ulasan
Saya pernah dihakimi seorang pemimpin gereja secara berat sebelah. Oleh kerana syarat yang dikenakan tidak mungkin dapat dipenuhi, saya dan isteri saya membuat keputusan untuk meninggalkan gereja itu dalam masa 24 jam dan kembali ke gereja asal kami untuk mengelakkan gereja itu retak. Selepas kami tinggalkan gereja itu, pengumuman telah dibuat secara berat sebelah tentang kami secara umum kepada jemaah dan beberapa kawan kami melaporkan tentang hal itu. Walaupun hati kami rasa begitu sakit, namun begitu kami mendiamkan diri sahaja. Penghakiman dan hukuman berat sebelah memang sukar untuk diterima.
Berdasarkan pengalaman ini, saya sangat bersyukur apabila saya membaca ayat 11:
Allah tidak menghakimi berat sebelah.
Apabila Allah menghakimi, hukuman-Nya adalah adil. Begitulah dikatakan dalam ayat 5. Bagaimanakah hukuman Allah boleh adil jika bukan semua orang di dunia mempunyai peluang yang sama untuk mendengar Injil keselamatan Kristus? Inilah soalan besar yang ramai orang yang tidak percaya menuduh Allah. Jawapan yang diberikan dalam bab 2 Roma ini adalah senang sahaja:
Manusia tidak dihakimi Allah berdasarkan apa yang mereka tidak ketahui tetapi berdasarkan apa yang mereka lakukan dengan apa yang mereka ketahui. Saya mengulangi pernyataan yang cukup penting ini: Manusia tidak dihakimi Allah berdasarkan apa yang mereka tidak ketahui tetapi berdasarkan apa yang mereka lakukan dengan apa yang mereka ketahui.
Oleh sebab ini, terdapat tiga kategori manusia. Yang pertama ialah mereka yang tidak pernah dengar tentang hukum Taurat Allah. Untuk golongan ini, ayat 12a menyatakan:
12 Sekalian yang telah melakukan dosa tanpa mengenal hukum Taurat akan binasa tanpa hukum Taurat.
Ayat-ayat yang seterusnya menerangkan bahawa mereka akan dihakimi berdasarkan hukum yang tersurat dalam hati mereka sebagaimana yang dinyatakan oleh suara hati sendiri. Semua orang mempunyai suara hati yang akan membisikkan kepada mereka apa yang betul dan apa salah. Masalahnya ialah semua manusia mempunyai kecenderungan untuk tidak mengendahkan suara hati mereka. Kesalahan yang mereka buat dan melanggar hukum yang tersurat dalam hati mereka inilah yang akan menghukum mereka. Kita tahu bahawa semua orang pernah melakukan kesalahan yang sebegini dan akan dihukum setimpal dengan kesalahannya.Mereka tahu apa yang patut dibuat tetapi tidak pula dilakukannya.
Kategori yang kedua ialah mereka yang pernah dengar hukum Taurat Allah yang terkandung dalam Firman Allah. Ayat 12b menyatakan tentang golongan manusia ini:
Sekalian yang melakukan dosa sedangkan mereka mengenal hukum Taurat akan dihakimi menurut hukum Taurat.
Mereka mengenal hukum Taurat Allah tetapi masalahnya ialah mereka tidak terdaya untuk melakukan kesemuanya dengan sempurna. Maka, mereka akan dihakimi Allah menurut hukum Taurat-Nya. Penerangan tentang kehampaan golongan ini akan kita pelajari dengan lebih mendalam pada bab-bab yang menyusul nanti. Tetapi, buat masa ini, sudah mencukupi kita memahami bahawa bukan orang yang mendengar dan mengetahui hukum Taurat yang akan diselamatkan tetapi mereka yang melakukannya. Ayat 13 menjelaskan ini:
13 Sebabnya orang yang benar di mata Allah bukanlah mereka yang mendengar hukum Taurat, tetapi mereka yang mengamalkan ajarannya.
Tambahan lagi, ayat 28-29 menerangkan perkara yang amat penting tentang cara Allah menghakimi golongan ini:
28 Seseorang dikira Yahudi bukanlah berasaskan keadaan lahiriah; dan persunatan bukanlah bergantung pada keadaan jasmani. 29 Seseorang dikira orang Yahudi berasaskan keadaan batiniah; dan persunatan adalah dalam hati dan bersifat rohani bukan mengikut hukum yang tersurat dalam Taurat. Orang sedemikian mendapat pujian bukan daripada manusia tetapi daripada Allah.
Allah menghakimi bukan secara luaran tetapi secara dalaman, iaitu Dia menghakimi isi kandungan hati kita. Paulus menegaskan di sini bahawa orang yang dikira sebagai umat pilihan Allah bukan berdasarkan keadaan lahiriah mereka sebagai orang Yahudi atau berdasarkan istiadat persunatan yang kononnya menjadikan mereka orang Yahudi. Secara sama, kita tidak boleh bergantung kepada keahlian dalam sebuah gereja, atau dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian, atau berdasarkan apa jua istiadat yang penting dalam gereja seperti pembaptisan atau pengesahan untuk penyelamatan kita.
Saudara-saudari, Paulus menyeru kita semua dalam bab 1 supaya jangan tolol. Kemurkaan Allah terhadap segala kedurjanaan dan kefasikan manusia adalah nyata. Jangan bergantung kepada ilusi bahawa kita yang lahir dalam keluarga Kristian secara automatis menjadi anak Allah dan memiliki penyelamatan. Kita semua mesti serius dengan perkara ini kerana ianya menentukan destinasi kita pada akhirnya –kekal dengan Allah atau kekal dalam neraka. Allah tidak menghakimi berat sebelah. Apa yang kita telah ketahui, itu yang sepatutnya kita lakukan. Tetapi kebongkakan manusia yang menghalang kita menerima hakikat bahawa kita sebagai manusia yang berdosa tidak berdaya melakukan atau mencapai standard sendiri, apatah lagi standard Allah. Kita tidak boleh sembunyi di belakang gereja yang kita hadiri, atau istiadat yang kita amalkan. Kesemua ini tidak mungkin menyelamatkan kita daripada penghakiman dan hukuman Allah.
Kedua-dua golongan orang yang telah dipertimbangkan setakat ini mempunyai satu perkara yang sepunya. Mereka tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan kalau mereka kekal dalam kedua-dua golongan manusia ini. Ini ialah kerana mereka tidak boleh melakukan taurat Allah atau taurat yang tersurat dalam hati mereka dengan sempurna. Mereka tidak dapat mencapai standard kebaikan yang mereka sendiri percaya adalah betul.
Apakah golongan yang ketiga? Golongan ini ialah mereka yang menerima hakikat bahawa mereka tidak dapat mengerjakan penyelamatan mereka. Merekalah yang dikatakan oleh Paulus dalam Roma 1:17 –
17 Kerana di dalamnya perbenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Orang benar akan hidup dengan iman.”
Inilah orang yang diperbenarkan Allah kerana iman mereka di dalam Yesus Kristus. Perkara ini akan diperjelaskan dengan lebih lanjut dalam bab-bab yang akan datang. Memadailah untuk masa ini kita terima bahawa kita perlu keluarkan diri daripada golongan mereka yang tahu hukum Taurat Allah atau mempunyai hukum yang tersurat dalam hati kita oleh suara hati kita tetapi tidak mematuhinya. Mari kita mula berpaling kepada Allah untuk menyeru rahmat dan kasih kurnia-Nya di dalam Yesus Kristus.
Doa
Fandy Santoso – Hanya Kau
0 Comments on "Adakah manusia sebelum zaman Yesus Kristus selamat?"