Mengapa Yesus harus menjadi korban?
Pembacaan Alkitab Dramatis
Roma 3:1-31
Ayat kunci
Roma 3:24
24 Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus.
Ulasan
Cuba bayangkan dunia anda tanpa peraturan atau hukum. Apakah akan terjadi di jalan raya jika semua pengguna memandu sesuka hati tanpa apa-apa peraturan? Sudah tentu akan berlaku banyak kemalangan jalan raya! Bagaimanakah permainan-permainan boleh dilaksanakan tanpa peraturan yang telah dipersetujui? Sudah tentu pergaduhan dan pertikaian akan sering tercetus. Apa pula suasana di tempat kerja jika tidak ada peraturan yang telah ditetapkan untuk membuat kerja dalam sebuah syarikat? Sudah tentu operasi akan tergendala dan produktiviti akan terjejas. Oleh sebab ini, peraturan adalah suatu keperluan untuk dunia ini berfungsi dengan baik dan lancar. Begitu juga di dalam dunia rohani, peraturan adalah amat perlu.
Namun begitu, peraturan tidak akan menjamin kejayaan. Kalau kita ikut semua peraturan di jalan raya, ianya tidak menjamin kita akan sampai ke destinasi kita dalam jangka masa yang terpendek ataupun dengan selamat. Kalau kita bermain mengikut semua peraturan sesuatu permainan, itu tidak bermaksud kita akan mencapai kemenangan ke atas pasukan lawan kita. Kalau kita ikut semua peraturan dalam sebuah syarikat, itu tidak bermakna kita akan mencapai pangkat yang tertinggi. Begitulah Paulus memberitahu kita dalam ayat 20 tentang peranan sebenar hukum Taurat:
20 Oleh itu, tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa.
Ini bermaksud hukum Taurat bukanlah untuk kita mencapai perbenaran dengan usaha sendiri. Hukum Taurat sebenarnya adalah untuk menyedarkan kita bahawa kita adalah orang yang berdosa. Perkara ini tidak sukar difahami. Jika kita cuba mengikuti sesuatu hukum seperti jangan cakap bohong, tidak lama kemudian kita akan berbohong juga kerana tabii melakukan dosa kita. Jadi, hukum Taurat tidak akan memperbenarkan kita; malahan ianya akan menuduh dan mengutuk kita. Hukum Taurat adalah seperti sinar-X –ianya boleh menunjukkan masalah keretakan tulang di dalam badan kita tetapi ia tidak boleh menyembuhkan kita.
Oleh sebab ini, semua agama dalam dunia ini yang mengamalkan kaedah hukum dan peraturan untuk mencapai perbenaran akan berakhir dalam kegagalan. Maka, Paulus menggunakan ayat daripada Mazmur 14:1-3 untuk mengisytiharkan dalam ayat 10 bahawa, “Tiada yang benar, seorang pun tidak.” Dia menegaskan ini sekali lagi dalam ayat 23, “Keran semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah.” Kemuliaan Allah adalah kesucian yang tidak bercela, yang sempurna, yang langusng tidak bercacat, walau sedikit pun.
Jadi, apakah kaedah alternatif untuk kita semua? Jawapannya ialah kita perlu bantuan Allah untuk menyelamatkan kita daripada akibat dosa kita. Kalau kita meneruskan ketiga-tiga ilustrasi yang kita guna pakai pada awal renungan kita, kita perlu pihak lain untuk membantu kita mencapai kejayaan. Contohnya, kita perlu pihak polis untuk mendahului kita dan membuka jalan untuk kita sampai ke destinasi dengan cepat dan selamat. Selain itu, kita perlu seorang pemain bertaraf dunia yang mahir sekali untuk menyertai pasukan kita untuk mencapai kejayaan ke atas pasukan lawan kita. Juga, kita perlu pemilik syarikat untuk memihak dan menyokong kita untuk naik pangkat.
Namun begitu, semua ilustrasi ini tidak dapat menyamai apa yang sebenarnya berlaku dalam alam rohani, iaitu apa yang Tuhan Yesus lakukan untuk kita. Paulus mula memperkenalkan berita baik Injil dalam ayat 24:]
24 Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus.
Dalam pada ini, Paulus telah menggunakan satu perkataan yang menyampaikan metafora yang kita mungkin kita tidak begitu biasa. Perkataan itu ialah “penebusan.” Perkataan ini digunakan untuk menerangkan apa yang berlaku apabila seorang membayar harga untuk seorang abdi. Wang itu diberikan untuk membeli kebebasan seorang yang menjadi hamba kerana dia berhutang dengan orang lain. Apabila hutang yang dia tidak mampu bayar dilangsaikan oleh seorang lain, maka kita katakan orang lain telah menebus hamba itu.
Hutang dosa kita adalah terlalu banyak dan terlalu besar untuk kita langsaikan. Dalam Roma 6:23, Paulus menjelaskan bahawa “ganjaran dosa ialah kematian.” Kita perlu membayar hutang dosa kita dengan nyawa kita sendiri. Tetapi bayaran sebegini hanya merugikan kita sahaja. Kita tidak mempunyai harapan –hukuman sahaja yang menunggu kita semua. Kita semua berada dalam keadaan yang sama.
Oleh sebab itu, kita perlu seorang yang mampu langsaikannya untuk kita semua. Inilah yang Paulus mengisytiharkan dalam ayat 25:]
25 Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka.
Yesus ialah korban pendamaian, iaitu pembayaran yang dapat melangsaikan hutang dosa kita supaya kita dapat dibebaskan daripada hukuman Allah. Inilah Injil keselamatan yang ditawarkan kepada semua orang yang berdosa. Bantuan yang diberikan oleh Yesus jauh lebih besar dan lebih agung daripada bantuan yang boleh diberikan oleh polis, pemain bertaraf dunia atau pemilik syarikat. Tambahan lagi, dialah satu-satunya yang dapat membantu kita kerana dalam hal hutang dosa, kita semua berada dalam keadaan muflis yang sama. Tiada manusia lain yang dapat membantu kita sebab semua manusia adalah bankrap dan tidak boleh menjamin orang lain. Mari kita bersyukur kepada Tuhan Yesus yang merupakan korban pendamaian kita yang sempurna.
Doa
Lagu Rohani
Fandy Santoso -PengorbananMu (Official Music Video)
0 Comments on "Mengapa Yesus harus menjadi korban?"