Adakah kita perlu beramal untuk diselamatkan?
Pembacaan Alkitab Dramatis
Roma 4:1-25
Ayat kunci
Roma 4:16
16 Oleh yang demikian, janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Abraham; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Abraham, bapa kepada kita semua.
Ulasan
Seorang pemuda terperangkap di tingkat 40 sebuah bangunan tinggi yang terbakar. Asap yang tebal menyelibungi kawasan itu sehingga dia tidak dapat lihat apa yang sedang berlaku di bawah. Tiba-tiba dia mendengar suara ahli bomba katakan kepadanya, “Hai pemuda, lompatlah! Kami akan menangkap anda di bawah sin!”Tetapi pemuda itu terlalu takut untuk melompat kerana dia tidak dapat lihat siapa di bawah dan bagaimana dia akan ditangkap oleh mereka. Walaupun ahli bomba untuk menggesanya beberapa kali, pemuda itu enggan lompat.
Tiba-tiba suatu suara yang lain bergema dari bawah melalui pembesar suara, “Anak, ini bapa. Jangan khuatir. Saya ada di bawah sini dengan ahli-ahli bomba memegang jaring untuk menangkap anda. Lompatlah!” Mendengar suara yang dia kenal itu dan berdasarkan janji bapanya, pemuda itu pun melompat dan terselamat daripada api yang menjilat bangunan tinggi itu. Apakah yang mendorong pemuda itu untuk melompat? Iman terhadap bapanya yang dia kenal dan janjinya bahawa dia akan menangkapnya.
Begitulah juga dalam petikan hari ini. Kita diselamatkan kerana iman kita terhadap Allah Bapa yang menyeru kita untuk percaya kepada-Nya. Inilah yang dikatakan Paulus dalam ayat 5:
5 Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak membuat kerja amal tetapi percaya kepada Allah yang telah memperbenar orang yang mungkar, imannya diperhitungkan sebagai perbenaran.
Contoh yang Paulus gunakan dalam petikan ini ialah Bapa Abraham. Abraham adalah bapa leluhur yang sangat penting dan terkenal dalam kalangan orang Yahudi dan secara tidak langsung kepada kita orang Kristian. Dialah orang yang pertama menerima perjanjian Allah untuk umat-Nya semasa dia berumur 75 tahun seperti yang dinyatakan dalam Kejadian 12:1-3. Tetapi apa yang sangat penting dalam hal ini ialah dia menjadi contoh ketara bahawa kita diselamatkan oleh iman bukan dengan kerja amal. Ini ialah kerana Abraham diperhitungkan perbenaran melalui janji yang Allah berikan kepadanya pada umur 75 tahun itu, iaitu sebelum dia disunat pada umur 99 seperti yang dijelaskan dalam Kejadian 17:1-14. Maka, Abraham diselamatkan oleh imannya terhadap kasih kurnia Allah yang menjanjikan penyelamatan.
Persunatan itu adalah materai perbenaran seperti yang diterangkan dalam ayat 11:
11 lalu dia menerima tanda persunatan, materai perbenaran yang didapatinya melalui iman semasa dia masih belum bersunat. Dengan demikian, dia menjadi bapa kepada semua orang yang beriman tanpa bersunat, supaya perbenaran juga diperhitungkan kepada mereka
Perbenaran yang diperolehi Abraham tidak datang melalui kerja amalnya atau amalan persunatan. Perbenaran jelas dinyatakan datang melalui iman. Paulus mengaplikasikan Kejadian 15:6 dalam ayat 3:
3 Apakah yang tersurat dalam Kitab Suci? “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.i”
Bagaimanakah iman dapat selamatkan kita? Sebenarnya bukan sebarangan iman yang boleh menyelamatkan kita. Hanya iman di dalam Yesus yang menjadi korban untuk menebus dosa kita yang boleh menyelamatkan kita. Inilah berita baik atau Injil seperti yang dirumuskan oleh Paulus dalam ayat 24-25:
Allah akan menerima kita sebagai orang yang benar, kita yang beriman terhadap Dia yang telah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian. 25 Dia telah diserahkan kepada kematian kerana dosa kita dan dibangkitkan semula kepada kehidupan untuk pembenaran kita.
Kita diterima sebagai orang yang benar bukan kerana usaha kita tetapi berdasarkan kerja penebusan oleh Yesus. Dia membayar hutang dosa kita supaya kami dibebaskan daripada hukuman dosa. Rekod kesalahan kita dihapuskan dan perbenaran Yesus diperhitungkan kepada kita. Dengan cara inilah kita boleh menjadi orang yang diisytiharkan benar. Maka, kita tidak boleh membanggakan diri. Kesemua yang kita miliki adalah pemberian atau hadiah kepada kita yang beriman dan percaya kepada Allah. Dalam kata lain, penyelamatan adalah usaha dan inisiatif Allah, bukan usaha dan inisiatif kita.
Perkara ini sangat sukar untuk kita yang diajar sejak kecil kita mesti berusaha untuk mencapai sesuatu. Kita diajar oleh ibubapa kita mesti belajar dengan gigih untuk lulus peperiksaan dan mendapat sijil kelayakan. Kita didorong oleh majikan untuk berusaha mencapai sasaran kita dan ganjaran akan diberikan kepada kita pada penghujungnya. Kita diberitahu menjadi orang baik dan melakukan kerja amal supaya kami akan diterima oleh Allah. Kita digesa untuk pergi menghadiri kebaktian supaya Allah berkenan kepada kita. Namun begitu, pendekatan ini tidak boleh dipakai dalam hal keselamatan. Dalam hal keselamatan, apa yang penting ialah apa yang Allah lakukan untuk kita bukan apa yang kita lakukan untuk Allah. Perkara ini menghancurkan semua keangkuhan manusia. Kita menjadi seakan-akan pengemis dalam dunia ini yang perlu minta sedekah daripada Allah –dan itulah sebenarnya keadaan kita –pengemis yang dibelenggun dosa. Kita perlu diselamatkan dan perlu pemberian kasih Allah. Kita hanya boleh harapkan janji Allah yang ditepatinya. Maka, ayat 16 sangat sesuai untuk merumuskan renungan kita hari ini:
16 Oleh yang demikian, janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Abraham; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Abraham, bapa kepada kita semua.
Doa
Lagu Rohani
Sabian -Kuserahkan Hidupku
0 Comments on "Adakah kita perlu beramal untuk diselamatkan?"