Hamba kepada Ketaatan
Pembacaan Alkitab Dramatis:
Roma 6:1-23
Ayat kunci:
Roma 6:16
16 Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati –sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada perbenaran.
Ulasan:
Pada masa kini ada pelbagai jenis penagihan yang dialami oleh orang. Ada penagihan kepada dadah, rokok, pornografi dan arak. Ini adalah penagihan yang ketara dan yang boleh membawa kesan yang jelas sekali negatif. Tetapi ada pula penagihan yang tidak begitu ketara seperti penagihan kepada gaming, media sosial dan telefon pintar. Penagihan yang seperti ini tidak begitu jelas membawa mudarat. Namun begitu, lama kelamaan semua penagihan ini akan membawa kesan yang negatif. Contohnya, mereka yang menjadi penagih gaming akan mengasingkan diri daripada semua interaksi sosial yang sihat dan meluangkan semua masa mereka untuk bermain permainan komputer.
Masalah asas kepada semua penagihan ialah orang yang terjerumus di dalamnya terperangkap sebagai hamba kepada penagihan itu sehingga dia tidak mengawal diri lagi. Biasanya perhambaan sebegini adalah suatu belenggu yang tidak baik. Namun begitu, semua orang adalah hamba kepada sesuatu. Hanya pilihlah tuan yang baik. Inilah yang dibincangkan oleh Paulus dalam petikan hari ini. Ayat 16 mengatakan:
16 Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati – sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada perbenaran.
Paulus mengatakan siapa yang kami taati, itulah yang menjadi tuan kita. Jika kita taati dosa, kita menjadi hamba kepada dosa dan penghujungnya ialah kematian. Dosa akan menuntut harga yang besar yang merupakan kerugian besar kepada kita. Dosa tidak pernah neutral. Jika kita mempersembahkan diri untuk menikmati godaan dosa, selepas itu kita perlu membayar harga bagi dosa.
Contohnya, jika kita suka minum minuman keras dan sering menjadi mabuk, akhirnya kita akan hamba kepada arak. Setiap hari, kita akan ketagih minum arak dan tidak dapat berfungsi secara normal. Wang kita dibazirkan membeli arak yang semakin hari semakin mahal. Kita akan mengabaikan kerja dan keluarga kita untuk menurut kehendak ketagihan arak itu. Lama kelamaan kesihatan kita juga akan terjejas. Apa yang menjadi kesukaan pada mulanya akhirnya menjadi tuan kita dan kita menjadi hamba kepadanya. Mudaratnya ialah kita akan mengalami kerugian dan kematian. Apa yang mati ialah kesihatan kita, kedudukan kewangan kita, perhubungan kita dengan mereka yang dikasihi, dan akhirnya hidup kita sendiri secara keseluruhan.
Paulus mengatakan kepada kita dalam ayat 5 dan 6:
5 Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. 6 Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa.
Apabila kita menerima Yesus sebagai Penyelamatdan Tuhan kita, kita telah dipersatukan dengan-Nya dalam kematian dan kebangkitan-Nya. Lantarannya, kita tidak lagi diperhamba oleh dosa. Kita adalah orang yang bebas. Namun begitu, setelah dibebaskan kita masih boleh memilih untuk mendengar arahan tuan kita yang lama.
Ada sekumpulan kelasi yang bekerja di bawah seorang kapten yang kejam. Kapten itu memaksa mereka bekerja dengan keras sekali dan kelasi-kelasi itu sangat takut kepada kapten itu. Mereka seakan-akan diperhambakan kepada kapten itu. Apa yang kapten itu mahu, mereka terpaksa turuti.
Kehidupan mereka begitu sengsara di bawah kapten itu. Seorang kelasi tidak dapat tahan lagi dan melaporkan secara sulit kepada pihak atasan tentang keadaan yang sangat teruk itu. Satu pasukan penyiasat telah diutus dan apabila didapati bahawa aduan itu memang benar, kapten itu telah dilucutkan daripada kepimpinan dan kedudukannya. Dia masih kekal di atas kapal itu sebagai kelasi biasa. Seorang lain telah diberi tugas untuk menerajui kapal itu. Namun begitu, kapten lama itu masih berlagak sebagai ketua. Dia terus mengarahkan kelasi yang lain dalam kapal itu seakan-akan dia masih kapten kapal itu. Pada mulanya, kelasi yang lain masih begitu takut kepadanya dan turut apa yang dikatakan kapten lama itu. Melihat keadaan itu, kelasi yang membuat aduan itu menghadapi kapten lama itu di hadapan semua kelasi yang lain dan mengatakan kepadanya, “Anda bukan lagi kapten kapal ini! Kami ada kapten yang baru yang kami turuti. Anda tidak ada lagi kuasa di atas kapal ini. Kami tidak perlu mengikut arahan anda lagi. Jadi, berhenti memberi arahan kepada kami!” Sejak hari itu, kelasi yang lain tidak lagi diperhambakan kepada kapten lama itu dan hidup secara bebas.
Inilah keadaan kita dengan kapten lama kita, iaitu dosa. Ramai juga orang Kristian yang masih mendengar arahan dosa mengikut tabiat lama mereka. Mereka tidak faham bahawa mereka mempunyai tuan yang baru untuk ditaati, iaitu Tuhan Yesus. Maka, Paulus mengisytiharkan ini dalam ayat 18:
18 Kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba kepada perbenaran.
Jika kita mengikut arahan tuan baru kita, iaitu Tuhan Yesus, kita akan memperolehi perbenaran. Oleh sebab itu, Paulus menyeru kita supaya jangan persembahkan bahagian-bahagian tubuh kita kepada dosa lagi tetapi persembahkanlah diri kita kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan.
Mari kita betul-betul hidup dalam kebebasan yang telah diperolehi untuk kita oleh kematian dan kebangkitan Yesus. Jangan memperhambakan diri lagi kepada dosa. Kita boleh memperolehi ini semua melalui kuasa tuan kita yang baru.
Doa
Lagu Rohani:
Ku Berserah – Veren
0 Comments on "Hamba kepada Ketaatan"