Peka Terhadap Perlakuan Dosa
Pembacaan Alkitab Dramatis
Roma 7:1-25
Ayat kunci
Roma 7:15
15 Aku tidak mengerti apa yang kulakukan. Apa yang kuhendaki, tidak kulakukan, sebaliknya aku melakukan apa yang kubenci.
Ulasan
Apabila kita mahu bekerja di taman, biasanya kita akan memakai baju lama supaya apa sahaja kekotoran yang terkena pada pakaian kita tidak akan menjadi masalah. Dalam keadaan begini, kita tidak kisah jika ada lumpur yang terpercik atau tanah hitam yang meninggalkan kesan pada pakaian kita. Kita buat kerja yang mengotorkan itu tanpa mempedulikan kekotoran yang ditempuhi.
Tetapi, jika kita menghadiri suatu perkahwinan di taman, dan memakai pakaian yang serba putih termasuk kasut dan stoking yang putih, kita akan sangat sensitif kepada keadaan sekeliling yang kotor, apatah lagi jika pada hari itu ada hujan yang melembabkan tanah di taman itu. Kita akan berjalan dengan berhati-hati supaya lumpur dan kekotoran tidak terkena pada pakaian kita yang serba putih itu.
Saya fikir Paulus adalah seperti orang yang berpakaian serba putih ini dan berjalan di dalam dunia yang penuh dengan kekotoran apabila dia berkongsi pergelutannya dengan dosa dalam petikan Alkitab hari ini. Oleh kerana dia telah dibebaskan daripada hukuman dosa melalui pengorbanan Yesus Kristus, Roh Kudus telah mengenakan padanya tabii yang baru. Pembaharuan yang dia terima menjadikannya sangat sensitif kepada dosa.
Sebagai seorang Kristian yang telah lahir semula dan diperbaharui, kita juga akan rasa pergelutan ini yang dikongsikan oleh Paulus dalam ayat 15,18-19:
15 Aku tidak mengerti apa yang kulakukan. Apa yang kuhendaki, tidak kulakukan, sebaliknya aku melakukan apa yang kubenci.
18 Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu yang baik dalam hidup diriku, iaitu dalam sifat tabiiku yang berdosa. Kerana aku hendak melakukan apa yang baik, tetapi aku tidak mampu melaksanakannya.19 Kerana yang kulakukan bukanlah kebaikan yang hendak kulakukan; tidak, kejahatan yang tidak hendak kulakukan –itulah yang kulakukan terus-menerus.
Sebagai orang Kristian, kita sememangnya ingin menjadi orang yang saleh. Kita ingin melakukan apa yang baik dan mengelakkan daripada melakukan dosa. Namun begitu, wujudnya perang saudara yang berlaku di dalam diri kita. Kita ingin melakukan yang baik tetapi kita tetap melakukan dosa. Adakah ini normal bagi seorang Kristian yang dikatakan telah lahir semula?
Apabila kita lahir semula, roh kita diperbaharui dan itulah bahagian di dalam diri kita yang menjadi ciptaan baharu. Kita menjadi anak Allah yang menjadi ahli baharu di dalam keluarga Allah yang besar. Kita telah diperdamaikan dengan Bapa kita yang di syurga dan memulakan perhubungan yang baharu dengan-Nya.
Namun begitu, jiwa kita tetap sama seperti sedia kala. Emosi, fikiran dan kehendak kita masih sama seperti dahulu. Inilah bahagian di dalam kita yang perlu diperbaharui atau dikuduskan. Pembaharuan jiwa kita bukan automatis seperti pembaharuan roh kita. Oleh sebab itu, sering kali orang yang lahir semula pada mulanya rasa pembaharuan di dalam diri mereka. Tetapi selepas beberapa masa, mereka mula sedar bahawa pergelutan mereka dengan dosa-dosa lama kembali dan mengejutkan mereka. “Bukankah saya sudah diperbaharui?” mereka tanya dengan perasaan yang risau. Kemungkinan besar juga pergelutan mereka dengan dosa boleh menyebabkan mereka bingung dan khuatir bahawa mereka belum dilahir semula.
Inilah pergelutan dengan dosa yang dikongsikan oleh Paulus di sini. Dia ingin melakukan yang baik dan suci, tetapi dia tidak terdaya. Sebaliknya, apa yang tidak baik dan berdosa, itulah yang dia lakukan. Oleh sebab, dia memang telah diperbaharui oleh Roh, maka dia amat sensitif dan sedar apabila dia melakukan dosa. Itulah tanda utama seseorang itu telah diperbaharui oleh Roh dan lahir semula –dia amat sensitif kepada dosa, seperti seorang yang memakai pakaian serba putih didalam taman yang basah dan berlumpur. Seorang yang belum lahir semula tidak akan kisah dengan dosa dan akan melakukannya tanpa rasa apa-apa pergelutan yang ketara. Oleh itu, jika saudara atau saudari menghadapi pergelutan yang sama seperti yang Paulus hadapi, jangan ragu akan penyelamatan anda. Itulah tanda pertama anda sudah lahir semula, iaitu anda sensitif kepada dosa.
Jiwa kita yang sudah wujud pola-pola dosa di dalam fikiran, kehendak dan perasaan kita sejak kami lahir di dalam dunia ini, memerangi roh kita yang ingin menurut kehendak Allah. Inilah perang saudara yang berlaku di dalam diri kita. Paulus mengeluh dalam ayat 22-24:
22 Kerana dalam jiwaku aku suka akan hukum Allah 23 tetapi aku melihat hukum lain bertindak dalam anggota-anggota tubuhku, memerangi hukum jiwaku dan membuat aku terpenjara dalam hukum dosa yang bertindak dalam anggota-anggota tubuhku. 24 Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini?
Jiwa kita perlu diperbaharui dan itu merupakan suatu proses yang akan diterangkan oleh Paulus dalam bab 8 surat kepada jemaah di Roma ini. Apa yang penting ialah kita sedar bahawa pengharapan dan kemenangan memang dijanjikan oleh Allah. Paulus menjawab soalannya sendiri dengan pengisytiharaan ini dalam ayat 25:
25 Syukur kepada Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita! Oleh itu, dalam jiwaku aku mengabdi kepada hukum Allah, tetapi dalam sifat tabii yang berdosa aku mengabdi kepada hukum dosa.
Kemenangan kita datang bukan dari diri kita sendiri tetapi melalui Yesus Kristus, Tuhan kita! Apa yang Yesus lakukan untuk kita di kayu salib adalah titik permulaan kemenangan kita. Tetapi, itu permulaan sahaja. Kita akan dapat memenangi perang saudara yang berleluasa di dalam diri kita jika kita pelajari rahsia kuasa yang dijanjikan Allah untuk kita dalam kehidupan kekristianan ini.
Doa
Lagu Rohani
JPCC Worship -Bejana-Mu -ONE Acoustic (Official Music Video)
0 Comments on "Peka Terhadap Perlakuan Dosa"