Lepas Dari Indentiti Lama
Pembacaan Alkitab Dramatis
Roma 8:1-17
Ayat kunci
Roma 8:15
15 Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa.”
Ulasan
Ada seorang anak yatim yang dibesarkan di dalam sebuah rumah anak yatim. Semasa di situ, dia dibuli oleh kanak-kanak lain di situ. Selain itu, dia tidak pernah disayangi oleh penjaga-penjaga rumah anak yatim tersebut. Dia dipaksa membuat pelbagai kerja yang orang lain tidak mahu buat. Oleh sebab itu, dia rasa dirinya adalah tidak berharga, malahan terkeji. Di menjadi seorang pendiam dan tidak dapat bermesra dengan orang lain.
Satu hari, ada sepasang suami-isteri datang ke rumah anak yatim itu untuk memberi derma. Mereka masuk ke dalam lif yang kebetulan anak yatim itu juga berada. Semasa lif itu sedang naik tiba-tiba elektrik terputus dan mereka bertiga tersekat di dalam lif itu. Mereka tidak dapat buat apa-apa kecuali mula berbual. Pada mulanya, budak itu enggan bercakap banyak tetapi kerana pasangan suami-isteri itu begitu ramah, akhirnya dia membuka diri untuk menceritakan latar belakangnya yang sungguh malang dan menyayat hati. Semasa 20 minit mereka berbual dan berkenalan. Akhirnya, bekalan elektrik disambung semula dan mereka telah diselamatkan.
Pada keesokan harinya, budak itu dipanggil oleh penjaga dan diperkenalkan kepada pasangan suami-isteri itu. Mereka telah membuat keputusan untuk mengambil dia sebagai anak angkat mereka. Setelah semua dokumen rasmi telah diuruskan, akhirnya budak itu dibawa balik ke rumah bapa dan ibunya yang baharu. Dia ditunjukkan biliknya yang besar dan serba lengkap. Dia diberikan pakaian baharu yang cantik untuk dipakai. Tetapi keesokan harinya, apabila mereka bangun, mereka jumpa budak itu tertidur di lantai di luar biliknya. Malahan, dia pakai semula pakaian lamanya dari rumah anak yatim. Apabila mereka tanya mengapa dia berbuat demikian, dia menjawab bahawa dia memang seorang anak yatim dan dia hanya layak tidur di lantai dan memakai pakaian anak yatim. Demikianlah identiti budak itu begitu terikat dengan apa yang dia alami sejak dia lahir. Itu sahaja yang dia tahu dan faham.
Ibu bapanya yang baru, terpaksa perlahan-lahan menerangkan kepadanya bahawa dia adalah anak mereka kerana mereka telah mengambilnya sebagai anak angkat mereka. Malahan, namanya telah diubah untuk menunjukkan bahawa dia adalah anak mereka. Segala yang ada dalam ruamh mereka adalah untuk dia guna pakai juga. Apa yang diberikan kepadanya adalah miliknya. Kesemua ini memang perkara yang sukar untuk dia memahami sebab sepanjang hidupnya dia tidak memiliki apa-apa dan tidak pula disayangi. Tetapi sedikit demi sedikit, melalui kasih, budak itu mula merasai kasih yang diberikan kepadanya. Dia juga memahami bahawa apa maksudnya dia adalah anak mereka.
Saudara-saudari, dahulu kita semua adalah anak yatim di dalam dunia rohani. Tetapi apabila kita menerima Yesus sebagai Penyelamat kita, maka mengikut ayat 15-17, kita dijadikan anak angkat kepada Allah Bapa di syurga.
15 Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa.”16 Roh itu sendiri memberikan kesaksian dengan roh kita bahawa kita anak Allah. 17 Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama dengan Kristus, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak.
Identiti kita bukan lagi terperangkap dengan kehidupan lama yang dikuasai oleh dosa dan sifat tabii yang berdosa. Kita sekarang adalah anak Allah dan oleh itu menjadi waris-waris Allah. Kita dibebaskan daripada kuasa dosa dan tidak perlu dengar arahan-arahan dosa. Kita mempunyai tuan yang baharu iaitu Roh Kudus yang mula memimpin, mengubahkan kita dan membantu kita dalam segala hal. Malahan dialah yang menyakinkan kita bahawa kita memang adalah anak Allah yang dikasihi. Kini kita bukan lagi orang yang miskin rohani tetapi segala kekayaan syurgawi menjadi milik kita untuk diguna pakai dalam kehidupan kita. Kita boleh panggil Allah sebagai “Abba, Bapa” Maka, dengan pimpinan Roh, kita boleh tumpukan fikiran kita dan perlakuan kita kepada apa yang diredai Allah. Ini adalah sesuai dengan identiti dan kedudukan kita yang baharu sebagai anak Allah. Kuasa Allah disalurkan dan diberikan kepada kita jika kita berpaling kepada-Nya dan memohon daripada-Nya. Sebagai Bapa yang baik, dia tentu akan bantu dan berikan kepada kita.
Seperti anak yatim dalam cerita itu, kita perlu mengubah fikiran kita yang lama dan membentuk pandangan yang baru sebagai anak Allah. Percayalah bahawa semua janji-janji Allah yang terkandung di dalam Alkitab adalah milik kita sebagai anak Allah. Bacalah Firman Tuhan dan apabila anda terbaca suatu janji Allah, catatkannya dalam sebuah buku kecil. Pakai janji Allah itu sebagai tuntutan doa yang berharga untuk dirimu sendiri dan juga untuk orang lain. Sedikit demi sedikit anda akan berubah menjadi anak Allah menurut kehendak Allah.
Doa
Lagu Rohani
Nikita -Bapa Yang Kekal (Official Video Lyric)
0 Comments on "Lepas Dari Indentiti Lama"