June 30, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Beban Terhadap Bangsamu

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 9:1-33

Ayat kunci

Roma 9:2-4

Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku. Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada Kristus untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku. Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di Bait Suci, dan janji-janji.

Ulasan

Apabila saya tinggal di luar negara semasa belajar, saya tidak pernah rasa seperti negara itu adalah tempat tinggal saya. Setelah melawat beberapa gereja, akhirnya kami menetap di sebuah gereja yang mempunyai sebilangan orang yang sebangsa dengan kami. Begtulah lumrahnya bagi kita manusia. Kita memang rasa lebih dekat dan serasi dengan mereka yang sebangsa dan sebahasa dengan kita. Oleh sebab itu, tidak hairanlah apabila kita memiliki beban untuk menjangkau bangsa kita sendiri demi keselamatan mereka.

Walaupun Paulus adalah rasul untuk orang yang bukan Yahudi, namun begitu dia tetap mempunyai beban yang besar untuk mereka yang sebangsa dengannya, orang Yahudi. Beban itu begitu luar biasa sehingga dia sanggup menggadai keselamatannya demi mereka. Dalam ayat 2-4 dia mengatakan dengan penuh perasaan:

2 Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku. 3 Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada Kristus untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku. 4A Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di Bait Suci, dan janji-janji.

Ini bukan kata-kata omong oleh Rasul Paulus. Hatinya begitu sakit melihat bangsanya yang menolak Penyelamat yang dia kenal, iaitu Yesus Kristus. Semasa dia melayani Allah dalam ladang misi, dia dapat melihat buah dalam kalangan mereka yang bukan Yahudi. Untuk itu, sudah tentu dia bersukacita.

Tetapi, beban untuk menjangkau orang Yahudi yang sebangsa dengannya tidak pernah luntur. Di mana sahaja dia pergi, dia akan melawat orang-orang Yahudi yang tersebar di seluruh empayar Rum. Dia akan mencari saumaah atau kumpulan orang Yahudi yang berkumpul untuk beribadah. Tetapi biasanya, orang Yahudi akan mengeraskan hati mereka dan menolak berita baik Injil. Pengalaman ditolak oleh orang yang sebangsa ini yang menyebabkannya menulis ayat 2-4. Dia begitu sedih dan gundah dalam hatinya sehingga dia rasa seperti mahu tukar tempat dengan mereka –dia yang diberkati kerana mengenal Yesus bertukar dengan mereka yang terkutuk kerana mereka menolak Kristus.

Sememangnya orang Yahudi adalah umat pilihan Allah. Destini mereka memang untuk pengangkatan sebagai anak Allah, untuk kemuliaan ilahi, untuk menuntut semua perjanjian dan janji-janji Allah yang membawa berkat, dan untuk menikmati keistimewaan beribadat dalam hadirat Allah. Tetapi penerimaan oleh Allah bukanlah automatis. Oleh kerana ramai orang Yahudi menolak Mesias mereka, maka mereka tetap terkutuk oleh Allah.

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Yesus Kristus, begitulah untuk kita yang lahir dalam keluarga Kristian. Kita tidak boleh anggap kita diselamatkan kerana dilahirkan dalam keluarga Kristian dan telah diberi keistimewaan untuk mendengar Injil sejak kecil lagi. Penyelamatan bukanlah automatis. Allah tidak mempunyai cucu –hanya anak sahaja. Ini ialah kerana kita perlu sendiri insaf, bertaubat dan berpaling daripada kehidupan berdosa yang memberontak terhadapnya. Apa yang penting ialah perhubungan kita dengan Allah yang terasing oleh dosa perlu diperdamaikan. Sudahkah saudara atau saudari berbuat demikian secara peribadi? Apakah anda hanya bersandar kepada kematian dan penebusan dosa oleh Yesus Kristus untuk keselamatan anda?

Bagi anda yang telah menerima berkat penyelamatan, adakah anda memiliki beban untuk menjangkau bangsa anda untuk Yesus Kristus. Ramai yang anggap mereka sebagai Kristian tetapi sebenarnya tidak memiliki penyelamatan. Mereka juga dilahir Kristian dan anggap diri sebagai Kristian. Tetapi mereka belum membuat pilihan untuk menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamat mereka secara peribadi. Mereka adalah seperti orang Yahudi yang Paulus begitu terbeban. Dalam ayat 31-32 dia menerangkan masalah mereka:

31 Sebaliknya orang Israel, yang mengejar perbenaran berasaskan hukum, tidak dapat mencapainya. 32 Mengapa tidak? Kerana mereka mengejarnya bukan dengan iman, tetapi seolah-olah dengan mengamalkan kerja amal. Mereka tersandung pada batu sandungan.

Mereka mengejar bukan berdasarkan iman tetapi berdasarkan usaha sendiri mengamalkan kerja amal. Dalam kata lain, mereka bergantung kepada diri sendiri, bukan pada Yesus Kristus. Mereka melakukan kerja amal bukan untuk memuliakan Allah tetapi untuk melayakkan diri untuk diselamatkan, iaitu untuk kemuliaan sendiri. Merekalah yang perlu anda ceritakan Injil Penyelamatan dalam Yesus Kristus sahaja. Andalah orang yang paling sesuai untuk menjangkau bangsa anda kerana anda memiliki budaya dan Bahasa yang sama. Oleh itu, senang untuk menjalin perhubungan yang saling mempercayai. Tidak banyak halangan budaya dan bahasa yang menjadi rintangan untuk mereka mendengar dan menerima Injil Kristus.

Tetapi kalau ada orang yang lain bangsa yang anda kenali, anda masih boleh seperti Rasul Paulus menjangkau mereka juga dengan merentas budaya dan bangsa. Anda mungkin perlu berusaha lebih banyak untuk mengatasi rintangan yang wujud. Tetapi dengan kasih, ianya boleh terjadi. Jadi, saudara-saudari terus berdoa untuk beban membawa Injil kepada mereka yang berada di sekeliling anda setiap hari. Merekalah ladang misi anda yang tidak patut diabaikan.

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, Engkau menunjukkan belas kasihan kepada kami dengan mencelikkan mata rohani kami untuk melihat keadaan dosa kami. Terima kasih kerana menunjukkan rahmat dan kasih kurnia, untuk memberi penyelamatan kepada kami. Kini, berilah kami beban yang boleh dipikul bersama-sama Engkau untuk menjangkau mereka yang sebangsa dengan kami. Sesungguhnya ramai yang masih berusaha untuk diselamatkan dan perlu disedarkan tentang Injil Penyelamatan yang sebenar. Bukalah mata rohani mereka, Tuhan dan biarlah kebangunan rohani berlaku dalam kalangan mereka yang sebangsa dengan kami. Biarlah juga mereka yang daripada bangsa lain dalam negara kami, Malaysia, dijangkau oleh Injil tentang Yesus, Penyelamat kami semua. Segala ini kami berdoa ini hanya dalam nama Tuhan Yesus yang berkuasa. Amin.

Lagu Rohani

Welyar Kauntu -RencanaMu Indah

Share: