August 29, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Melayani Antara Sesama

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 12:1-21

Ayat kunci

Roma 12:11 Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah; itulah ibadat yang wajar.

Ulasan

“Penyembahan.” Apakah yang terlintas dalam fikiran anda apabila anda dengar perkataan ini? Kebanyakan orang yang fikir tentang menyanyi lagu puji-pujian semasa kebaktian. Memang itu adalah satu cara untuk menyembah Allah dan beribadat. Tetapi, dalam bab ini kita akan belajar bahawa ibadat adalah kehidupan suci yang diberikan kepada Allah sebagai korban yang hidup.

1 Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah; itulah ibadat yang wajar.

Korban adalah istiadat yang banyak dilaksanakan oleh umat Allah untuk menyucikan mereka daripada dosa-dosa mereka. Itulah penyembahan mereka kepada Allah yang disertai dengan puji-pujian. Paulus menggunakan gambaran ini untuk menyeru kita untuk mempersembahkan diri kita sebagai korban yang hidup dan suci yang diterima oleh Allah sebagai ibadat yang sesuai dengan anugerah penyelamatan yang diberikan kepada kita.

Bagaimanakah kita boleh lakukan ini. Paulus menerangkan bahawa kita beribadat apabila kita melayani orang lain dengan menggunakan kurnia kita untuk memberkati mereka. Setiap orang ada kurnia yang diberikan Allah seperti yang dikatakan dalam ayat 6.

6 Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita.

Bernubuat, melayani, mengajar, menasihati, memberi, memimpin dan menunjukkan belas kasihan adalah di antara kurnia yang wujud dalam tubuh Kristus untuk saling memberkati. Kesemua kurnia ini digunakan dalam kasih untuk kebaikan orang lain, bukan untuk menarik perhatian kepada diri sendiri. Ayat 9:

9 Kasih hendaklah bersih daripada pura-pura. Bencilah kejahatan. Berpeganglah kepada kebaikan.

Kurnia yang dipakai dalam kasih mesti praktikal. Dalam kata lain ia mesti sesuai dengan keperluan orang lain. Ayat 13:

13 Berilah bantuan untuk memenuhi keperluan orang salih, dan berikan tempat menumpang.

Apabila kita hidup dalam komuniti orang yang percaya dan kita ambil berat tentang keperluan orang lain, itulah ibadat yang sejati.

Tetapi, Paulus terus mengembangkan penerangan tentang ibadat yang wajar dengan penyelamatan dengan mengaplikasikannya kepada musuh-musuh kita:

14 Pohonlah berkat bagi orang yang menganiaya kamu, dan jangan kutuk mereka. 17 Jangan balas kejahatan dengan kejahatan. Perhatikan apa yang baik di mata semua orang. 20 Oleh itu, “Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, beri dia minum; Kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya.”21 Jangan ditewaskan oleh kejahatan, tetapi tewaskanlah kejahatan dengan kebaikan.

Memberkati dan memberi kepada mereka yang menganiaya dan melakukan kejahatan terhadap kita adalah ibadat yang suci! Ini memang sesuatu korban yang sukar untuk dilaksanakan. Sifat manusiawi kita ialah untuk membalas dendam dan menghendaki musuh-musuh kita menerima balasan kerana kesakitan dan kesusuhan yang mereka berikan kepada kita. Tetapi, Paulus menyeru kita untuk menewaskan kejahatan mereka dengan kebaikan kita. Dalam kata lain, kita meneutralkan kesan negative dengan tindakan positif.

Jadi, ibadat yang suci dan diterima oleh Allah adalah kehidupan kita yang memberkati kedua-dua ahli-ahli keluarga Allah dan juga musuh-musuh Allah. Kehidupan yang sebegini tidak boleh dilaksanakan dengan kekuatan sendiri. Kasih Allah yang luar biasa adalah sumber kekuatan kita untuk mengatasi sifat mementingkan diri yang sedia ada dalam diri kita. Kita mengikut teladan Tuhan Yesus yang penuh dengan belas kasihan. Dia melayani yang sakit, yang berdosa, yang lumpuh, yang miskin dan yang dipinggiri masyarakat. Dia memberkati dan berdoa untuk musuh-musuh-Nya di kayu salib. Itulah ibadat Yesus dan itulah juga mesti menjadi ibadat kita.

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, sesungguhnya kami tidak berdaya mengasihi dalam cara yang murni seperti Tuhan Yesus. Kami memerlukan Tuhan menyalurkan sungai kasih-Mu ke dalam hati kami supaya apa yang kami katakan, lakukan dan fikirkan akan memberkati mereka yang merupakan ahli keluarga Allah, mahupun musuh-musuh Allah. Berilah kami kekuatan dan sikap yang diperlukan untuk melanayani mereka mengikut keperluan mereka. Bukalah mata kami untuk melihat keperluan-keperluan mereka dan melakukan sesuatu untuk memenuhinya. Kami berdoa segala ini dalam nama Tuhan Yesus. Amin.”

Lagu Rohani

Maya Rumantir-Tiada Lebih Indah

Share: