September 5, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Tunduk Kepada Pemerintah

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 13:1-14

Ayat kunci

Roma 13:1 Setiap orang harus tunduk kepada pihak berkuasa, kerana tidak ada kekuasaan yang tidak datang daripada Allah, dan pihak berkuasa yang ada telah ditetapkan oleh Allah.

Ulasan

Saya masih ingat semasa di sekolah kami berdiri dalam barisan dan diajar menyanyi lagu patriotik. “Negaraku…”, “Bendera berkibar di angkasa…” Kami menyanyi dengan begitu bangga kerana kami sayang negara kita Malaysia. Begitulah semangat ini ditanam di dalam hati kami semasa kami masih kecil. Kami masih mentah pada masa itu dan seperti span kami menyerap apa sahaja yang disampaikan kepada kita.

Semasa kami menonton pasukan bola sepak negara kami bermain, kita bersorak dengan begitu kuat sekali walau pun sebenarnya kita tidak berada di dalam stadium tetapi hanya menonton siaran langusng dalam TV sahaja! Kami begitu bangga apabila Datuk Lee Chong Wei atau Datuk Nichol David mengangkat piala kemenangan mereka. Semangat patriotik beginilah yang ditekankan oleh Paulus dalam petikan kita hari ini.

Dalam ayat 1, Rasul Paulus menyeru pembacanya dengan jelas:

1 Setiap orang harus tunduk kepada pihak berkuasa, kerana tidak ada kekuasaan yang tidak datang daripada Allah, dan pihak berkuasa yang ada telah ditetapkan oleh Allah.

Tunduk kepada pihak berkuasa atau pemerintah adalah wajar kerana mereka telah diberi kuasa dan amanah oleh Allah untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan ikhlas. Mereka akan jawab kepada Allah sendiri untuk segala yang mereka lakukan –sama ada yang baik atau yang buruk. Bagi kita pula, tanggungjawab kita ialah menjadi rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang dan pemerintah selagi apa yang mereka laksanakan adalah sesuai dengan Firman Tuhan. Paulus memberi dua sebab kami menjadi rakyat yang patuh kepada pemerintah semasadalam ayat 4-5:

4 Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk membawa kebaikan kepadamu. Tetapi jika kamu melakukan kejahatan, wajarlah kamu takut, kerana pedang yang dibawanya tentu sekali untuk digunakan. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan pembalasan dengan menimpakan kemurkaan Allah ke atas orang yang berbuat jahat. 5 Oleh itu tunduklah, bukan hanya kerana takut dimurkai Allah tetapi juga kerana menurut hati nuranimu sendiri.

Kita tunduk kerana takut dimurkai Allah yang mengamanahkan kuasa memerintah kepada kerajaan semasa dan memberontak adalah berbuat jahat. Selain itu, kita mesti mengekalkan hati nurani yang bersih. Apabila kita memberontak dan melanggar undang-undang hati nurani kita akan menyusuk hati kita.

Secara praktikal, Paulus mengatakan bahawa rakyat yang baik harus membayar cukai. Arahannya adalah tertera dalam ayat 6-7:

6 Dengan sebab itu jugalah kamu harus membayar cukai. Pemerintah ialah penjawat yang ditugaskan Allah untuk mengendalikan hal itu. 7 Oleh itu, bayarlah apa yang wajar dibayar kepada setiap pihak: Sekiranya cukai, bayarlah cukai; sekiranya hasil, bayarlah hasil. Dan takutilah orang yang patut ditakuti, dan hormatilah orang yang patut dihormati.

Di sebalik perintah ini ialah arahan untuk menjadi pekerja yang berhasil di negara kita. Kita sepatutnya bekerja dengan gigih dan menyumbangkan apa yang boleh untuk kesejateraan dan kemakmuran negara kita. Jika kita berbuat demikian dan mendapat wang untuk pekerjaan kita, sudah tentu kita akan dikenakan cukai yang setara dengan pendapatan kita. Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang baik jangan menipu apabila mengisytiharkan pendapatan tahunan kita kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Jika Allah memberkati kita dengan pendapatan yang baik, kita patut bersyukur dan membayar cukai yang setimpal dengan hasil kita itu. Itu ialah satu cara memberi kemuliaan kepada Allah dan mengisytiharkan Allah kita adalah baik dan setia membekalkan keperluan kita.

Tetapi jika pendapatan tidak sampai ke tahap yang perlu dikenakan cukai, jangan rasa bersalah tetapi berdoa dan berusaha lagi tahun hadapan semoga kita dapat menyumbang kepada dana negara kita. Begitulah perspektif yang Alkitabiah jika kita tunduk kepada pemerintah. Bayarlah apa yang wajar dibayar kepada setiap pihak kerana sebenarnya apabila kita membayar cukai kita sedang membawa persembahan kita kepada Allah. Begitulah orang yang takut kepada Allah.

Satu lagi perkara yang penting dalam hal ini: biarlah pendapatan dan hasil kita datang dari sumber yang bersih:

12 Malam sudah hampir berlalu, dan siang hampir tiba. Oleh itu, lucutkanlah segala kerja kegelapan dan kenakan kelengkapan senjata cahaya.

Dalam kata lain, pendapatan yang datang kerana kita melakukan kerja kegelapan atau kerja yang melanggar undang-undang tidak membawa kemuliaan atau tidak diredai Allah. Kita tidak boleh melakukan kesalahan dan pada masa yang sama mengisytiharkan Allah memberi kita kejayaan kerana mendapat wang daripada kerja kegelapan. Itu adalah membawa kekejian kepada nama Tuhan. Sebagai orang Kristian, kita adalah wakil dan saksi kepada Allah. Jangan sekali-sekali nama Allah yang suci dikaitkan dengan jenayah seperti menerima atau memberi rasuah, mencuri, menipu, menyeludup, mengedar dadah dan lain-lain. Sebaliknya, kenakan kelengkapan senjata cahaya dan bersinar sebagai anak Allah yang membawa kemuliaan kepada nama Tuhan. Rakyat yang tunduk kepada pemerintah adalah anak Tuhan yang memuliakan Allah kita.

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, kami bersyukur kerana kami adalah rakyat Malaysia. Kami berdoa agar Tuhan akan terus memberkati negara kita, Malaysia, dan juga memberkati hasil usaha tangan kami agar kami dapat hasil yang cukup lumayan untuk disumbangkan kembali kepada pemerintah. Kami juga berdoa agar kerajaan semasa yang telah diamanahkan oleh Allah untuk memerintah negara kami akan menjadi hamba Engkau yang setia untuk menjalankan tugas mereka dengan bersih, cekap dan amanah. Sejahterakan negara kami agar kami dapat membantu mereka yang lebih miskin dan memerlukan bantuan.Kami berdoa semua ini dalam nama Tuhan Yesus. Amin.”

Lagu Rohani

Angel Pieters – Doa Yabes

Share: