September 19, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Terimalah Satu Sama Lain

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 15:1-33

Ayat kunci

Roma 15:7

7 Terimalah satu sama lain, sebagaimana Kristus telah menerima kita, demi kemuliaan Allah.

Ulasan

Pada suatu ketika semasa saya masih muda, saya telah melayani di atas kapal misi MV Doulos yang dikendalikan oleh Operation Mobilisation. Di atas kapal itu, lebih daripada 350 orang dari pelbagai negara hidup dan melayani bersama-sama. Orang Asia dan orang Barat, orang putih, kuning dan hitam –semua hidup di atas rumah terapung itu kerana kami ingin terlibat di dalam misi dunia. Satu perkara yang tidak dapat dielakkan ialah pendapat serta cara membuat kerja yang berbeza-beza. Ini ialah kerana kami datang daripada latar belakang, budaya dan bahasa yang berlainan. Jadi potensi berlakunya perselisihan sangat besar. Namun begitu semasa dua tahun melayani di situ, saya dapati tidak berlaku masalah besar meletus kerana salah faham walaupun memang berlaku pendapat dan cara bekerja yang bertentangan. Ini mengingatkan saya tentang ayat 7 dalam petikan hari ini:

7 Terimalah satu sama lain, sebagaimana Kristus telah menerima kita, demi kemuliaan Allah.

Paulus menggesa jemaah di Roma untuk terima mereka yang merupakan saudara dan saudari mereka di dalam tubuh Krisus. Asas penerimaan ini ialah Kristus telah menerima mereka. Ini adalah benar untuk kita semua yang percaya di dalam Yesus Kristus. Kristus menerima kita bukan hanya dalam hati-Nya atau kata-kata sahaja tetapi juga dengan perbuatan yang ketara, iaitu mati di kayu salib demi penyelamatan kita. Kristus menerima kita dengan begitu jelas sekali kerana Dia melakukan apa yang perlu demi kebaikan kita. Oleh sebab itu, Dia menunjukkan teladan yang baik untuk kita ikuti. Secara sama kita harus menerima saudara-saudari yang seiman dengan kita. Kesatuan dan persaudaraan ini harus terpapar dalam cara kita melayani bersama-sama dan ambil berat tentang kebajikan satu sama lain.

Paulus mengatakan dalam ayat 24:

24 aku berharap dapat singgah di tempatmu ketika aku ke Sepanyol dan dapat bertemu denganmu. Aku juga berharap kamu akan membantuku meneruskan perjalanan ke sana setelah sejenak aku bergembira bersamamu.

Dengan kata-kata ini, Paulus menjelaskan bahawa dia menganggap jemaah di Roma sebagai rakan-rakan semisi –rakan yang mana dia boleh mengharapkan bantuan dihulurkan dengan gembira dan ikhlas serta teman yang mana dia boleh singgah untuk mendapat penghiburan dan selingan daripada tekanan pelayanan. Inilah imbangan antara kerja dan persahabatan. Sering kali kita begitu tertumpu kepada kerja dan pelayanan sehingga kita mengabaikan persekutuan, persaudaraan dan persahabatan.

Saya dan isteri saya belajar ini semasa kami berusaha untuk memuridkan kumpulan orang dewasa yang muda. Kumpulan pertama kami, kami jumpa hanya untuk sesi pemuridan. Setiap kali kami berjumpa, suasana adalah agak formal. Walaupun kami dapat belajar Firman Tuhan dan prinsip-prinsip hidup Alkitabiah, namun begitu apabila kami menamatkan sesi pertalian itu senang menjadi pudar. Untuk kumpulan kami yang kedua, kami membuat keputusan untuk bertemu bukan sahaja untuk sesi pemuridan tetapi menjemput mereka untuk makan di rumah kami –hanya untuk menikmati masa tidak formal berkongsi kehidupan. Kami mendapati masa-masa tidak formal itu menjalin persahabatan dan pertalian dengan lebih cepat dan erat. Itulah masa di mana kami buka hati kami dan kongsi pengalaman serta pergelutan kami satu dengan yang lain. Saya fikir itulah yang diharapkan Paulus apabila dia mengatakan bahawa dia harap dapat melawat jemaah di roma untuk membenarkan mereka membantu dia meneruskan perjalanan setelah dia mengecapi kegembiraan bersama-sama mereka sejenak. Sememangnya, Paulus menghargai persahabatannya dengan mereka di Roma. Selain daripada misi mengkhabarkan Injil Kristus (ayat 19-20), cara menerima satu sama lain dengan ikhlas ialah menghulurkan bantuan amal yang praktikal. Paulus menjelaskan ini dalam ayat 25-27:

25Tetapi kini aku sedang dalam perjalanan ke Yerusalem untuk membawakan bantuan kepada orang salih. 26 Orang Makedonia dan Akhaya telah membuat keputusan turut membantu orang salih yang miskin di Yerusalem. 27 Ini dilakukan mereka dengan rela hati, malah mereka menganggapnya suatu kewajipan; kerana jika bangsa-bangsa lain telah mendapat bahagian bersama orang Yahudi dalam hal-hal rohani, maka seharusnyalah mereka berbakti kepada orang Yahudi dalam hal-hal lahiriah.

Sudah tentu dalam persekutan kita, ada orang yang mewah dan orang yang miskin. Kita menerima satu sama lain bukan berdasarkan status ekonomi orang. Kasih tidak memilih berdasarkan darjat orang. Kita menerima satu sama lain kerana kita yang miskin kerana dilanda dosa kini telah menjadi kaya di dalam Yesus Kristus. Jadi, oleh kerana itu, kami patut membantu satu sama lain terutama mereka yang memerlukan bantuan praktikal seperti mana Kristus telah membantu kita. Bantulah dengan ikhlas, dengan rela hati, dengan sukacita –menganggap itu adalah keistimewaan dan peluang untuk melayani saudara dan saudari yang mempunyai keperluan. Mari kita buka mata kita dan lihat peluang untuk membantu mereka yang lain dalam pelayanan dan dalam keperluan peribadi mereka. Begitulah caranya kita menunjukkan mereka diterima dalam Yesus Kristus, demi kemuliaan Tuhan.

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, sesungguhnya di dalam Yesus kami telah diberkati dengan penebusan daripada dosa kami, dan kini kami diterima oleh Allah sendiri. Kami berdoa agar Tuhan akan membantu kami untuk menjadi saluran berkat kepada mereka yang dalam pelayanan dan juga mereka yang mempunyai keperluan peribadi. Kami ingin menerima mereka tanpa melihat bangsa, status ekonomi atau denominasi. Sebagai ahli dalam gereja universal Allah, kami ingin lakukan apa yang terbaik untuk membawa kemuliaan kepada nama Allah. Kami berdoa segala ini dalam nama Tuhan Yesus, Tuhan dan Penyelamat kami. Amin.”

Lagu Rohani

Kasih Masih Ada -Jonathan Prawira

Share: