November 11, 2022 Renungan, Yakobus 0 Comments

Sabar Dan Tabah Dalam Kesengsaraan

Pembacaan Alkitab Dramatis

Yakobus 5:1-20

Ayat kunci

Yakobus 5:10

Saudara-saudaraku, ingatlah nabi-nabi yang bersabda dengan nama Tuhan. Teladanilah kesabaran dan ketabahan mereka menanggung kesengsaraan.

Ulasan

Semua orang akan mengalami kesengsaraan semasa dia hidup di dunia ini. Tidak ada manusia yang bebas daripada musibah dan kesusahan. Daripada raja kepada petani, orang kaya hingga yang miskin, pelbagai peristiwa dan pengalaman menyuntik kesengsaraan yang pedih dalam hidup mereka. Bagi orang kaya, kekayaannya mungkin reput dan pakaiannya dimakan gegat. Kata Yakobus dalam ayat 2, emas dan perak orang kaya akan karat dan pengakhirannya adalah tangisan dan ratapan. Dalam sekelip mata api boleh memusnahkan semua yang dimiliki dan perompak bukan hanya mencuri harta tetapi ada masanya mencabut nyawa.

Orang miskin pun tidak terlepas daripada kesusahan dan kesengsaraan. Ramai di antara mereka tidak menerima upah yang sepatutnya bagi kerja keras yang dilakukan di bawah terik matahari. Nasib mereka tidak terbela, tanah mereka dicerobohi dan yang tidak bersalah ditangkap dan dihukum. Terlalu banyak cerita orang miskin diabai dan dieksploitasi orang yang kaya dan berkuasa sehingga yang nyata suara mereka telah sampai ke telinga Tuhan alam semesta. Mereka bersuara kerana mereka yakin Allah mengambil peduli keadaan mereka.

Penghiburan bagi orang Kristian ialah bahawa kesengsaraan ini akan berakhir apabila Yesus datang lagi. Keyakinan ini membantu mereka menanggung semua duka dengan penuh sabar. Kata Yakobus, seorang peladang menunggu dengan sabar untuk tanamannya berhasil. Bagi kita yang pernah menanam padi atau pokok buah-buahan, kita tahu bahawa kesabaran diperlukan sementara menunggu buahnya. Semasa menunggu, banyak cabaran dan kesusahan yang boleh dihadapi tetapi kerana yakin akan ada hasil pada hujungnya, kita terus bertani, sabar menunggu hasil yang pasti datang. Demikian juga kita yang mengalami kesusahan sekarang. Yesus akan datang dan musim kesusahan akan berakhir. Sabar menanggung. Sabar menanti.

Ambil kira dorongan Yakobus dalam ayat 8:

Demikian jugalah kamu harus bersabar. Tabahkanlah hatimu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah hampir tiba.

Seterusnya, apabila kesusahan melanda, janganlah bersungut-sungut! Memang senang meluahkan rasa tidak puas hati dan marah apabila kesusahan mengganggu hidup tetapi amalan ini hanya akan mengeruhkan situasi dan mengundang hukuman Allah. Ingat bani Israel yang selalu merungut semasa mereka berhijrah ke Tanah Perjanjian -tidak habis-habis mereka bersungut. Adakah perbuatan mereka itu membawa kebaikan dan menyenangkan hati Tuhan? Tidak! Oleh itu marilah kita sabar menanggung kesengsaraan yang menimpa kita, seperti yang dilakukan nabi-nabi lama.

Nabi-nabi Perjanjian Lama yang bernubuat dalam nama Tuhan banyak kali mengalami kesusahan yang luar biasa. Penulis surat Ibrani dalam bab 11:36-37 menyenaraikan beberapa daripada kesusahan mereka:

Setengah-setengahnya pula menghadapi dugaan dengan diejek, dipukul, dirantai dan dipenjarakan. Mereka direjam dengan batu, digergaji putus dua dan dibunuh dengan pedang. Mereka merayau-rayau berpakaian kulit kambing dalam keadaan papa, menderita, terseksa.

Walaupun begitu, kita berkata mereka orang yang diberkati kerana mereka tabah menanggung kesengsaraan. Kita harus meneladani mereka dan mengingatkan diri bahawa setiap kesusahan dan kesengsaraan ialah peluang untuk mengamalkan kesabaran dan ketabahan. Dua sifat ini adalah kunci untuk memperolehi berkat semasa melalui kesusahan dan caranya untuk menjadi lebih daripada penakluk, tidak kira apa yang melanda. Itulah sebabnya dalam ayat 10, Yakobus memberi arahan ini:

Teladanilah kesabaran dan ketabahan mereka menanggung kesengsaraan.

Bercakap tentang menghadapi kesengsaraan dengan sabar dan tabah, nama Ayub mesti disebut kerana dia ialah contoh agung yang boleh memberi iktibar bagi setiap orang percaya yang sedang mengalami kesusahan. Jika anda belum membaca buku Ayub dalam Perjanjian lama, ambillah masa sekarang untuk membacanya. Jika anda sudah tahu kisahnya, harapan saya ialah anda akan selalu ingat kesabaran Ayub dan bagaimana pada akhirnya Tuhan memberkatinya. Kesengsaraan yang anda alami akan berakhir. Bersabarlah dan tabahkan diri. Tuhan penuh dengan kasih dan belas kasihan. Dia akan campur tangan dan akhirnya akan memberkati.

Respon terbaik ketika mengalami kesusahan ialah berdoa. Dalam ayat 13, Yakobus mengingatkan pembacanya untuk menghadapi kesusahan dengan berdoa. Jika kesusahan itu melibatkan penyakit, nasihat Yakobus ialah supaya orang Kristian itu memanggil

“para tua-tua jemaah untuk mendoakannya dan menyapukan minyak padanya dengan nama Tuhan.”

Adakah anda susah kerana sakit hari ini? Panggillah pemimpin-pemimpin gereja anda untuk berdoa supaya anda sembuh. Kesembuhan boleh dialami orang percaya melalui doa iman yang dilafazkan. Dengarlah kesaksian Yakobus sendiri dalam ayat 15:

Doa yang dilafazkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya, dan dosanya akan diampunkan.

Oleh itu jangan segan mendoakan satu sama lain ketika mengalami kesusahan. Jangan pula berkata saya hanya manusia biasa, apakah boleh sesuatu terjadi apabila saya berdoa? Yakobus mengingatkan kita bahawa nabi Elia juga hanya manusia biasa seperti kita tetapi dia berdoa bersungguh-sungguh dan Tuhan melakukan mukjizat bukan sekali tetapi dua kali. Kita sudah dibenarkan Allah dan diberi kuasa dalam nama Yesus. Hadapi setiap kesusahan dengan sabar dan penuh ketabahan. Berseru kepada Tuhan dalam doa dengan sungguh-sungguh dan nantikan mukjizat yang anda perlukan. Tuhan maha penyayang dan penuh belas kasihan. Dalam masa kesusahan anda, Dia akan campur tangan dan memberkati.

Doa

Mari kita berdoa, “Bapa kami yang di syurga, banyak kali kesusahan dan kesengsaraan melanda kami. Ampuni kami jika kami bersungut dan hilang semangat. Berikanlah kami keupayaan untuk bersabar dalam masa-masa kesusahan dan kuatkanlah hati kami supaya kami tabah menanggung apa sahaja kesusahan yang menimpa. Bapa, kami memohon supaya Engkau akan memberkati kami sesudah melalui setiap kesusahan, membawa penghiburan dan sukacita. Bagi mereka yang menderita sakit, dalam nama Yesus kami memohon Engkau menyembuhkan mereka dan memulihkan kesihatan. Tuhan, lakukanlah mukjizatMu untuk semua anak-anakMu yang mengalami kesusahan. Dalam nama Yesus kami berdoa, Amin.”

Lagu Rohani

Sanip Yesaya -Sabar Dalam Susah Sukarmu

Share: