
Allah Berserta Mu
Pembacaan Alkitab Dramatis
Kisah Para Rasul 23
Ayat kunci
Kisah Para Rasul 23:11 “Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, “Tabahkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Yerusalem ini, begitulah kamu akan bersaksi di Roma pula.”
Ulasan
Cerita ini seakan-akan sebuah wayang gambar Hollywood –penuh dengan drama dan suspen. Seperti yang telah dinubuatkan, Paulus telah ditangkap dan dituduh oleh musuh-musuhnya. Apabila Paulus berhadapan dengan perhimpunan orang Yahudi yang terdiri daripada imam besar dan semua ahli Majlis Agama, Allah menyertainya dan memberi dia hikmat untuk berucap dengan mereka.
Dia telah memulakan ucapannya dengan kata-kata ini,
“Saudara-saudara, dengan hati nurani yang bersih aku telah melakukan segalanya di mata Allah sampai hari ini.”
Bagi semua pengikut Yesus, ini adalah satu perkara yang amat penting. Kita mesti hidup dengan hati nurani yang bersih dan melakukan segala-galanya seakan-akan di hadapan Allah setiap saat. Untuk berbuat demikian, kita mesti bersedia untuk menerima tentangan daripada manusia seperti mana Paulus menghadapi tentangan daripada pemimpin-pemimpin agama Yahudi. Ini ialah kerana persepsi dan nilai-nilai dunia biasanya bercanggah dengan kehendak Allah. Pemimpin-pemimpin agama Yahudi lebih mementingkan politik dan kedudukan daripada melakukan kehendak Allah. Oleh sebab itu, mereka telah bertindak dengan begitu keras terhadap Paulus.
Apabila Paulus diberi hikmat daripada Roh Kudus untuk membangkitkan isu tentang kebangkitan dari kematian, setengah daripada perhuimpunan itu yang terdiri dariapda orang Farisi yang percaya akan kebangkitan telah bertengkar dengan agresif dengan setengah orang Saduki yang tidak percaya akan kebangkitan. Maka pertengkaran yang besar tercetus dalam kalangan pihak pemimpin orang Yahudi. Perkelahian menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu khuatir Paulus akan diserang. Keadaan di situ sudah tentu sangat tegang dan mengancam. Reaksi para pemimpin agama ini tidak sepadan dengan kedudukan mereka sebagai pemimpin agama. Malahan kita juga telah mendengar bagaimana terdapat dalam kalangan mereka yang berkomplot untuk membunuh Paulus. Hanya perlindungan Allah yang membantu Paulus menghalang rancangan yang jahat dan keji itu.
Paulus telah memberi ciri-ciri seorang penyelia atau pemimpin gereja dalam 1 Timotius 3 dan di antaranya ialah:
Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang.
Seorang pemimpin gereja mesti seorang yang lemah lembut dan tidak melakukan kekerasan. Oleh sebab itu, Petrus telah menyeru pengikut-pengikut Yesus:
Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu dalam Kristus akan berasa malu. (1 Petrus 3:15-16)
Sudah tentu untuk respon dengan lemah lembut dan memberi jawapan dengan lembut dan hormat bukan suatu perkara yang senang untuk dilakukan terutama apabila kita diserang oleh musuh-musuh yang begitu agresif. Tetapi ada hikmat disebalik Firman Tuhan. Jika kita lawan api dengan api, keadaan akan menjadi lebih tegang dan tidak terkawal. Semua pihak akan menjadi lebih marah dan lebih agresif sehingga tidak ada orang yang boleh berbincang dengan rasional.
Oleh sebab ini, kita sebagai pengikut Yesus perlu mengikut seruan firman Allah dan menjadi saksi Yesus yang lemah lembut dan hormat sehingga kita dapat menjawab apabila ditanya asas harapan kita dengan suara hati yang murni. Barulah kita akan menjadi pengikut Yesus yang dapat membawa kemuliaan kepadanya.
Penganiayaan terhadap pengikut-pengikut Yesus semakin menjadi-menjadi di dunia sekarang, malahan ramai orang Kristian dibunuh kerana iman mereka. Perkara ini akan berterusan kerana akhir zaman sudah menjelang. Oleh sebab ini, kita perlu persiapkan diri untuk menjadi saksi Kristus yang tabah dan penuh harapan. Apabila kita menghadapi musuh-musuh yang agresif, kita boleh pegang kepada kesetiaan Tuhan yang akan menyertai kita dalam apa jua situasi. Inilah dorongan yang Paulus terima dalam situasinya:
Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, “Tabahkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Yerusalem ini, begitulah kamu akan bersaksi di Roma pula.”
Jika kita menetapkan mata kita pada Tuhan Yesus dan peka kepada suaranya, kita juga akan menerima dorongan dan sokongan Tuhan, seakan-akan Tuhan berdiri di sisi kita. Allah begitu mengasihi kita dan telah berjanji:
“Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.” (Ibrani 13:5)
Ini ialah janji Allah yang tidak akan berlalu. Saudara dan saudari boleh yakin dengan perlindungan dan bantuan Allah ini.
Doa Untuk Hari Ini
“Tuhan, Allah Bapa kami yang di syurga, penyertaan dan perlindungan Allah untuk kami sangat diperlukan di dalam dunia hari ini yang penuh dengan kejahatan dan keagresifan. Kami betul-betul memerlukan bantuan Allah untuk menjadi saksi Tuhan yang tidak takut atau gentar. Tabahkan hati kami supaya kami boleh menjawab apa sahaja situasi dengan lemah lembut dan hormat terhadap mereka yang melawan kami. Bantu kami dengan memberi kata-kata dan hikmat daripada Allah supaya kami dapat memberi harapan iman kami di dalam Yesus Kristus, satu-satunya Tuhan dan Penyelamat kami yang setia. Untuk ini, kami mengucap syukur
dan memberi segala kemuliaan kepada Allah. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus kami berdoa. Amin.”
Lagu Rohani
Wawan Yap – Tuhan Di pihak Ku (Impact Music)
Lagu Rohani
Angel Pieters & Wawan Yap – Mataku Tertuju Pada Mu
1 Comment on "Allah Berserta Mu"