Bertanya Kepada Tuhan
Pembacaan Alkitab Dramatis
Kisah Para Rasul 11:1-30
Ayat Kunci
Kisah Para Rasul 11:2-4, 18
Ulasan
Pernah dahulu saya kecewa dengan keputusan yang saya lakukan. Itu semua bermula daripada jangkaan yang saya buat sendiri. Pada fikiran saya, hal itu berlaku seperti yang saya jangkakan, berdasarkan apa yang saya dengar dan fahami. Tanpa bertanya untuk mendapatkan kepastian, saya telah membuat keputusan berdasarkan pengertian sendiri, dan itu sangat tidak baik, salah dan tindakan saya tidak dapat diulang semula. Ketiadaan pengertian tentang sesuatu perkara menyebabkan kita tersasar daripada maksud sebenar perkara itu. Jangkaan dan diikuti oleh tindakan yang mendahului usaha untuk memahami dan mencari tahu hal sebenar, seringkali menyebabkan kita menyesali tindakan yang kita lakukan. Tidak mustahil juga jika tindakan tersebut telah melukai hati orang lain dan orang yang kita kasihi, apa lagi Tuhan. Alangkah pentingnya pemahaman sebenar tentang sesuatu perkara itu.
Perkara yang sama berlaku kepada orang Yahudi yang percaya kepada Yesus pada zaman Rasul Petrus. Mereka membantah perbuatan Petrus apabila menumpang dan makan bersama orang bukan Yahudi (ayat 2-3). Petrus kemudian menerangkan apa yang telah berlaku dan sebab musabah mengapa dia bertindak sedemikian. Pada ayat 18, mereka yang mendengar penjelasan Petrus akhirnya tidak lagi membantah tindakan Petrus bahkan mereka memuji dan memuliakan Tuhan kerana memberikan peluang kepada bangsa-bangsa asing untuk bertaubat dan mendapat hidup. Betapa besarnya rancangan Tuhan! Orang Yahudi pada zaman itu tidak akan mengerti rancangan dan kehendak Allah kalau Petrus tidak menerangkan apa yang telah berlaku ketika Allah menyatakan kehendak-Nya kepada Petrus melalui penglihatan dan arahan.
Hari ini, sudahkah kita bertanya kepada Tuhan, apa kehendak-Nya dalam hidup kita pada hari ini dan seterusnya? Bagaimana harus kita hadapi setiap persoalan, masalah dan cabaran hari lepas hari?Apakahpersediaan kita untuk masa akan datang? Apakah keputusan terbaik yang harus kita pilih? Dan banyak lagi pertanyaan yang memerlukan penjelasan dan jawapan. Tidak mustahil jika kita mendengar tetapi tidak faham. Oleh itu,untuk lebih berhati-hati dalam melaksanakan kehendak Tuhan dalam hidup, kita perlu komunikasi yang baik dengan Tuhan melalui doa dan Firman-Nya, kerana semua itu dapat membantu kita lebih memahami maksud dan kehendak-Nya. Pendek kata, milikilah perhubungan yang akrab dengan Bapa di Syurga. Hari ini, sudahkan anda faham atau mengetahui dengan jelas sesuatu yang perlu anda fahami?
0 Comments on "Bertanya Kepada Tuhan"