Teladan Picture
March 19, 2020 Renungan 0 Comments

Jadilah Teladan!

Pembacaan Alkitab Dramatis

1 Tesalonika 1:1-10

Ayat Kunci

1 Tesalonika 1:2 – “Kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu semua dan menyebut nama-namamu dalam doa kami.”

Ulasan

Seorang penulis laman sesawang telah mengkaji 40 kertas penyelidikan tentang sikap dan amalan bersyukur dan telah mengenal pasti 31 faedah yang akan dialami oleh sesiapa yang selalu bersyukur. Antaranya ialah menjadi lebih gembira dan sihat, menguatkan emosi dan membentuk keperibadian yang disukai orang, membantu tidur dengan nyenyak dan juga meningkatkan kesihatan rohani.  Tidaklah hairan Allah, melalui rasul Paulus, memberi arahan ini:

Bersyukurlah dalam segala keadaan kerana inilah yang dikehendaki Allah daripadamu dalam Kristus Yesus (1 Tesalonika 5:18).

Dalam suratnya kepada Jemaah di Tesalonika, rasul Paulus bermula dengan mengucap syukur untuk Jemaah ini. Dia menyatakan bahawa dia serta rakan-rakannya selalu bersyukur kepada Tuhan apabila mengingat mereka dan apa yang sudah dilakukan mereka. Di dalam hidup anda, siapa mereka, yang apabila diingat, akan membuat anda mengucap syukur kepada Tuhan dengan hati yang penuh sukacita? Jika ada orang seperti ini dalam hidup anda, ambillah sedikit masa untuk memberitahu mereka tentang kesan baik yang mereka ada dalam hidup anda. Saya pasti mereka pun akan bersyukur kerana perkongsian anda.

Apakah sebenarnya yang telah dilakukan jemaah Tesalonika sehingga mencetus rasa bersyukur yang tidak putus-putus di hati rasul Paulus? Dalam ayat 3 rasul Paulus mendedahkan tiga hal: mereka bekerja dalam iman, berusaha dengan kasih dan bersabar dengan penuh harapan. Saya yakin apabila anda melakukan tiga hal ini, akan terlahir rasa bersyukur dalam hati setiap orang yang tahu apa yang telah anda lakukan. Oleh itu berusaha melakukan semua kerja anda dengan iman, yakin bahawa apa yang anda lakukan adalah kehendak Tuhan dan walaupun belum nampak, kesannya baik dan menyenangkan hati Allah Bapa.

Kedua, biarlah motivasi untuk setiap usaha anda kasih. Dalam 1 Korintus 13, rasul Paulus menggunakan beberapa soalan yang mencabar untuk membuktikan satu hal: jika semua perbuatan-perbuatan hebat anda bukan kerana kasih, ia hanya bunyi yang bising, tidak bererti dan langsung tidak berguna.

Akhir sekali, bersabarlah dengan penuh harapan kerana inilah caranya semua hamba Tuhan yang agung bersabar, dengan penuh harapan. Apakah itu harapan? Dalam Alkitab, definisi harapan ialah menantikan sesuatu yang pasti berlaku tetapi belum dengan penuh sukacita. Harapan orang Kristian dipenuhi kepastian. Harapan orang Kristian menjanjikan sukacita apabila yang dinantikan diterima dan dialami. Apakah sikap anda apabila bersabar?

Rasul Paulus juga bersyukur kerana jemaah di Tesalonika telah mengikut teladan dia dan juga teladan Tuhan. Kita diseru Tuhan untuk meneladani mereka yang telah berjaya dalam iman dan telah melakukan apa yang baik dan memuliakan Tuhan. Sesungguhnya rasul Paulus layak diteladani dan dia bersyukur kerana hidupnya layak diteladani dan telah diteladani. Keyakinan rasul Paulus ini didasarkan atas perbuatannya sendiri meneladani Yesus. Di 1 Korintus 11:1, Paulus menyeru pembaca-pembacanya, “Teladani aku, sebagaimana aku meneladani Kristus.” Ini juga harus menjadi sasaran hidup kita: meneladani Tuhan Yesus dengan berjaya supaya hidup kita baik diteladani oleh orang percaya lain. Untuk ini berlaku, anda mesti dengan sengaja dan serius, mulai hari ini, meneladani cara hidup Yesus yang dijelaskan dalam kesemua empat Injil.

Apakah anda menjadi teladan yang baik kepada saudara seiman anda? Adakah anda menujukkan diri sebagai seorang yang berintegriti dan disegani di tempat kerja anda? Adakah ahli keluarga anda senang hati dengan sikap dan perlakuan anda di rumah? Marilah menjadi lebih seperti Yesus dalam segala hal dan membawa kemuliaan kepada Tuhan.

Doa Untuk Hari Ini

“Bapa di syurga, saya berterima kasih  untuk semua saudara-saudara seiman yang telah memberkati hidup saya sehingga tiada respons lain kecuali bersyukur setiap kali saya teringat akan mereka. Bapa, bantu saya untuk menjadi seorang Kristian yang akan mencetus kesyukuran dalam hati dan di bibir semua yang mengenal saya. Semoga usaha, kasih dan kesabaran saya memberi inspirasi dan hidup saya menjadi teladan yang mencetus kesyukuran. Amin.”

Lagu Rohani

Share: