Kasih Allah Untuk Semua
Pembacaan Alkitab Dramatis
Kisah Para Rasul 10:1-48
Ayat Kunci
Kisah Para Rasul 10:34
Ulasan
Sewaktu saya kecil, saya selalu berfikir adakah saya disayangi oleh orang tua saya. Kakak saya selalu mempermainkan saya dengan mengatakan bahawa ibu dan bapa saya hanya sayang padanya sahaja. Dan saya berasa terluka kerana saya takut tidak disayangi lagi. Bagi saya tindakan itu tidak adil dan pilih kasih. Kemudian saya akan berusaha mendekati atau bercakap kepada ibu atau bapa saya untuk memastikan bahawa kata-kata kakak sayaitu tidak benar sama sekali. Kemudian, setelah saya mempunyai lima orang anak, saya tidak dapat menggambarkan betapa saya mengasihi mereka semua. Walaupun mereka mempunyai karakter yang berbeza saya tetap menyayangi mereka dengan apa adanya mereka.Saya berusaha untuk tidak bersikap memilih kasih. Bagi saya mereka semua sama, anak-anak yang saya kasihi. Dan mereka mempunyai keperluan yang utama iaitu untuk dibimbing kepada Tuhan Yesus supaya mereka tahu siapa Allah yang mereka sembah. Dan Tuhan itu mengasihi semua manusia dan Dia tidak MEMILIH KASIH(ayat 34).
Sama seperti Allah mengasihi Kornelius tanpa memandang sama ada dia seorang Yahudi atau bukan, dan menyatakan diri-Nya supaya Kornelius dan seisi keluarganya mengenal Dia. Dan Tuhan mengasihi dan meredai Kornelius yang bertakwa dan takut akan Allah, tanpa mengira siapa mereka (ayat 35). Ketika Tuhan melihat hati tulus Kornelius, Dia mengutus malaikat-Nya dan menghantar Petrus untuk mengkhabarkan tentang Yesus Kristus, dan bahawa hanya melalui Dia sahaja kita mendapat penyelamatan daripada dosa-dosa kita (ayat 36-43). Tuhan tidak mengira siapa kita, dari mana dan apa bangsa kita. Dia menyatakan rancangan penyelamatan kepada seluruh bangsa. Malah Dia melarang kita memandang sesiapa pun sebagai haram atau najis (ayat 28). Kornelius mencari Allah dengan tulus hati, maka Allah menyatakan diri-Nya kepada Kornelius dengan cara-Nya yang tersendiri supaya dia dapat mengenal Tuhan Yesus Kristus yang daripada-Nya manusia diselamatkan. Apabila kita bersungguh-sungguh mencari Tuhan, kita pasti akan menemukan-Nya kerana Allah ialah Tuhan kepada semua manusia dan Dia tidak memilih kasih.
Bagaimanakah kita dapat mengasihi semua orang tanpa memilih kasih? Adakah kita dapat melakukan apa yang Tuhan kehendaki untuk mengkhabarkan Yesus kepada semua bangsa tanpa memandang siapa mereka? Pernahkah kita terfikir untuk memilih sesiapa yang mampu kita kasihi atau tidak? Pernahkah kita bersikap acuh tak acuh kepada orang tertentu kerana kita tidak menyenangi mereka dan oleh itu kita mahu mengkhabarkan berita penyelamatan tentang Yesus?
0 Comments on "Kasih Allah Untuk Semua"