Tenang dalam Dia

Pembacaan Alkitab Dramatis

Kisah Para Rasul 12:1–25

Ayat Kunci

Kisah Para Rasul 12:5, 9, 11

Ulasan

Hidup tidak selalunya mudah. Banyak perkara yang harus kita hadapi bagi meneruskan kehidupan dan pelayanan, dan berusaha untuk berjuang dalam apa jua keadaan. Dalam melalui liku-liku hidup ini, saya mengalami jatuh bangun kehidupan dan iman saya terhadap Tuhan. Saya berdoa tetapi tidak sedar dan tidak tahu bila masanya Tuhan datang menyelamatkan saya. Ada waktunya saya dapat melihat tangan Tuhan menolong saya. Namun, lebih banyak masa saya tidak sedar bahawa Allah sedang menyelamatkan saya. Setiap kali cabaran dan masalah lebih besar daripada Tuhan sendiri. Saya bertanya kepada diri sendiri, adakah saya benar-benar mengenal Tuhan yang saya sembah? Mengapakah timbul keraguan kepada-Nya?

Saya kagum dengan sikap Petrus. Ayat 6 memberitahu bahawa dia sedang tidur di antara dua orang askar, dan dia terikat dengan dua rantai. Petrus bahkan dikawal rapi oleh askar-askar Herodes. Walaupun dalam keadaan seperti itu, Petrus masih boleh tidur. Saya terfikir, adakah saya mampu setenang Petrus jika saya menghadapi situasi kehidupan yang tersepit dan terbelenggu? Bukan setakat itu sahaja, pintu-pintu juga dikawal rapi. Tiada jalan keluar. Namun Petrus bukan berseorangan. Ayat 5 mengatakan bahawa jemaah berdoa bersungguh-sungguh untuk dia. Mereka bersatu dalam doa sebagai jemaah Allah yang saling menyokong antara satu sama lain. Kemudian Allah mendengar doa mereka dan menghantar malaikat-Nya untuk menyelamatkan Petrus (ayat 7-10). Tetapi Petrus tidak mengetahui sama ada perkara itu benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan (ayat 6). Dia hanya mengikut sahaja dengan suatu kepercayaan dalam hati walaupun dia tidak mengerti sepenuhnya apa yang sedang berlaku. Sehinggalah malaikat itu meninggalkan dia bersendirian sesudah membawa Petrus ke suatu tempat yang selamat, selepas itu barulah Petrus sedar bahawa semua itu benar-benar berlaku.

Sekali lagi, Petrus meletakkan kepercayaannya kepada Allah. Walaupun dia tidak pasti apa yang sedang berlaku, dia tetap berjalan dan patuh kepada arahan (ayat 7-8), meletakkan imannya kepada Tuhan dan mengikut malaikat itu. Sememangnya, untuk mengarah kepada tujuan hidup kita yang telah ditentukan oleh Tuhan, terkadang kita tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Tetapi, itulah gunanya iman dan kepercayaan kepada Tuhan. Pada waktu kita menghadapi banyak perkara yang mustahil, dan kita terbelenggu, tersepit dalam keadaan yang melemahkan iman kita, iman dan pengharapan memberi kita ketenangan yang luar biasa, sama seperti Petrus yang boleh tidur di antara pengawal-pengawal, dirantai dan dikawal. Walaupun dia tahu nyawanya berada dalam keadaan berbahaya, dia tetap mahu meletakkan kepercayaannya kepada apa yang sedang berlaku (ayat 9) kerana Petrus mengenal dan yakin kepada Tuhan yang dia sembah.

Petrus tetap tenang semasa berada dalam kesusahan. Ketenangan itu hanya boleh kita perolehi daripada Allah ketika kita menyerahkan seluruh kehidupan kita ke dalam tangan-Nya. Walaupun banyak perkara yang tidak kita fahami, tetaplah berjalan bersama Tuhan dan percaya bahawa hanya Dia yang mampu membebaskan kita daripada semua belenggu dan penjara kehidupan.

Doa Untuk Hari Ini

” Bapa di Syurga, terima kasih kerana Engkau selalu mendengar doa kami. Dan Engkau tidak pernah terlewat memberi pertolongan. Ampuni saya jika saya ragu-ragu terhadap-Mu. Saya mohon kekuatan dan ketenangan daripada-Mu supaya saya tetap teguh menghadapi cabaran dan tentangan kehidupan ketika saya berjalan dalam panggilan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, amin. “

Lagu Rohani

Share: