Menyenangkan Hati Tuhan
Pembacaan Alkitab Dramatis
Kisah Para Rasul 21
Ayat Kunci
Kisah Para Rasul 21:13
Paulus menjawab, “Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Yerusalem demi nama Tuhan Yesus.”
Ulasan
Semua orang ingin disukai orang lain dan menjadi popular. Oleh sebab itu, di mana sahaja kita berada, sama ada di dalam keluarga, di sekolah, di tempat kerja, di gereja atau di tempat rekreasi kita sukaditerimadalam kelompok-kelompok orang. Kita suka makan bersama-sama orang lain dan rasa anih kalaukita terpaksa makan seorang diri, lebih-lebih lagi di tempat awam. Dalam Facebook kita gembira apabila posting yang kita buat mendapat “likes” yang banyak dan “kawan-kawan” atau “contact” kita memberi respon atau komen yang positif. Tetapi fikiran yang sebegini boleh menjadi satu jerat sebab kita mungkin ingin menyenangkan manusia sehingga kehendak mereka menjadi lebih penting daripada kehendak Allah. Selain itu, kita tidak mungkin dapat menyenangkan semua manusia. Fikiran yang sedemikian boleh mengongkong kita dan menyebabkan kita hidup dalam kesengsaraan dan perhambaan kepada orang lain. Dalam petikan hari ini, kita telah membaca bagaimana rasul Paulus meneruskan perjalanannya menuju ke Yerusalem. Di mana sahaja dia berada, nubuat telah disampaikan bahawa dia akan akan ditangkap dan dianiaya. Yang paling dramatis ialah apabila Agabus, seorang yang lima belas tahun yang lalu telah bernubuat dengan teapt bahawa kebuluran akan melanda penghuni-penghuni di Yerusalem, muncul di depan Paulus dan mengikat kaki dan tangan Paulus dengan seutas tali pinggan lalu berkata,
“”Demikianlah kata Roh Kudus, bahawa orang yang mempunyai tali pinggang ini akan diikat demikian di Yerusalem oleh orang Yahudi dan diserahkan ke tangan orang bangsa asing.”
Ini bukan kali pertama hidup Paulus diancam. Di mana sahaja dia pergi, dia menghadapi pelbagai tentangan daripada orang yang tidak suka pelayanan dan kerja penginjilannya. Adakah Paulus mahu menjadi popular? Adakah dia mahu disukai orang ramai? Kalau begitu, dia dalam kerja yang salah sekali. Tetapi Paulus mempunyai fikiran yang teguh dan luar biasa. Walau pun semua rakan-rakannya menggesanya dengan tangisan untuk tidak pergi ke Yerusalem kerana ancaman yang menunggunya di sana, namun Paulus tidak berganjak daripada pegangannya untuk meneruskan misinya walau apa jua penderitaan dan penganiayaan menunggunya. Bagaimanakah Paulus boleh menjadi begitu teguh sekali? Rahsianya terkandung dalam jawapannya kepada rakan-rakannya dalam ayat 13.
Paulus menjawab, “Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Yerusalem demi nama Tuhan Yesus.”
Paulus telah mengira kos untuk setia kepada Tuhan Yesus dan telah memutuskan bahawa dia bersedia menderita malahan mati untuk Tuhannya. Ini bukan satu keputusan atau penetapan yang senang untuk dibuat. Dia mesti memilih untuk dibenci oleh mereka yang menentang berita baik tentang Yesus. Dia mesti bersedia untuk menjadi sasaransemua pihak berkuasa agama yang tidak suka agama Kristian yang baharu itu. Yang pasti, dia akan menjadi tidak popular lagi.
Paulus dapat menerima segala ini kerana dia telah menyerah diri dengan sepenuhnya kepada Tuhan Yesus. Jika kita telah menetapkan bagaimana kita akan mati dalam Tuhan Yesus, barulah kita dapat hidup untuknya dengan sempurna. Seperti mana rasul Paulus telah menetapkan dalam fikiran dan hatinya untuk mati di dalam Yesus Kristus, maka dia dapat melayani Tuhannya dengan bebas, tanpa dikongkong oleh penerimaan, pendapat dan kehendak orang lain.
Adakah kita boleh mengatakan seperti rasul Paulus, “Aku bersedia…”?
- Aku bersedia untuk menjadi tidak popular kerana ingin bersaksi tentang Injil keselamatan Kristus.
- Aku bersedia untuk tidak mengambil rasuah demi mengekalkan nama yang baik untuk Tuhan Yesus.
- Aku bersedia melepaskan perhubungan itu kerana didesak untuk melibatkan diri dalam perhubungan seksyang tidak berkenan kepada Tuhan.
- Aku bersedia untuk memutuskan persahabatan itu kerana pengaruhnya yang sangat negative terhadap saya.
- Aku bersedia pergi ke gereja dan bersekutu dengan mereka yang seiman walau pun kawan-kawan saya mengejek saya.
- Aku bersedia untuk mengorbankan masa dan wang untuk membantu mereka yang perlu pertolongan dalam hidup mereka.
Adakah anda bersedia membuat keputusan demi kemuliaan nama Tuhan Yesusyang telah mengorbankan diri khusus untuk menebus semua dosa anda dan memberi hidup yang kekal dan berkelimpahan? Keputusan berada dalam tangan anda sekarang. Mari kita berdoa.
Doa Untuk Hari Ini
Lagu Rohani
Jeffry Rambing- Ku Tetap Cinta Ku Tetap Setia ( Maranatha Indonesia)
0 Comments on "Menyenangkan Hati Tuhan"