April 17, 2020 Markus, Renungan 0 Comments

Persekutuan dengan Allah

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 2:1-28

Ayat kunci

Markus 2:7b Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!

Ulasan

Saya ingat semasa saya baharu kahwin dengan isteri saya, kami telah bertengkar kerana sikap saya terhadapnya. Apabila itu berlaku, saya menjadi begitu gelisah. Beban perasaan terpisah daripada isteri yang saya sayangi begitu berat sekali. Kami masih mentah dalam perkahwinan dan tidak tahu bagaimana berdamai dengan baik. Selepas beberapa waktu, tembok emosi yang telah terbina antara saya dan isteri saya menyebabkan dia menjadi begitu kelam dalam hatinya sehingga dia ingin membunuh diri. Pada ketika itu, kami sedar bahawa sekiranya keadaan itu berterusan, perkahwinan kami akan retak sama sekali. Kami perlu menyelesaikan masalah perkahwinan kami dengan segera. Itulah titik permulaan untuk kami mencari dengan serius cara untuk berdamai. Jalannya memang panjang tetapi Tuhan telah betul-betul membantu kami untuk menyembuhkan perhubungan kami yang retak.

Tuhan Yesus juga sedar bahawa masalah manusia yang utama sekali ialah perpisahan antara manusia dengan Allah yang disebabkan oleh dosa. Oleh sebab itu, apabila empat orang menurunkan kawan mereka yang lumpuh dari bumbung rumah betul-betul di atas tempat Yesus berada, Yesus mengejutkan semua orang di sana dengan mengatakan,

“Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.”

Pada permukaannya, keperluan orang lumpuh itu yang paling ketara ialah untuk disembuhkan daripada keadaan fizikalnya yang menyebabkannya tidak dapat berjalan. Namun begitu, Yesus melihat lebih dalam lagi dan mengenal pasti akar keperluan orang itu, iaitu diperdamaikan dengan Allah Penciptanya.

Ahli-ahli Taurat yang duduk di situ begitu tersinggung dengan kata-kata Yesus yang mengisytiharkan pengampunan dosa untuk orang lumpuh itu, lalu berfikir dalam hati mereka bahawa Yesus mengkufuri Allah kerana tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah sendiri!

Yesus dengan segera menanggap dalam rohnya pemikiran mereka lalu mencabar mereka untuk menilai yang mana lebih sukar untuk dilaksanakan: mengisytiharkan pengampunan dosa untuk orang lumpuh itu atau menyembuhkannya. Sudah tentu untuk menyembuhkan orang lumpuh itu dengan serta merta pada ketika itu memerlukan kuasa dan kewibawaan yang luar biasa. Yesus membuktikan bahawa dia mempunyai kuasa yang ajaib itu dengan menyembuhkan orang itu di depan mata semua orang di situ. Dengan ini, dia membuktikan dia juga mempunyai kewibawaan untuk mengampuni dosa.

Inilah misi utama sekali Yesus datang ke dunia dalam bentuk manusia. Yesus mengatakan ini dengan jelas sekali dalam ayat 17,

“Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa.”

Adakah anda rasa terpisah daripada Allah kerana dosa-dosa anda? Datanglah kepada Yesus untuk disembuhkan secara rohani. Akuilah dosa-dosa anda dengan jujur dan rendah hati kepada-Nya sekarang juga dan kecapi pembebasan dan penyucian yang datang melalui Penyelamat kita yang mati di kayu salib untuk membayar semua hutang dosa kita. Dia menunggu anda untuk kembali ke pangkuan-Nya

Doa Untuk Hari Ini

Mari kita berdoa, “Tuhan Yesus, kami ketahui bahawa Engkau adalah Allah yang dapat mengampunkan semua dosa kami. Kami telah membawa beban dosa ini dalam hati kami begitu lama sekali. Hari ini, kami datang dengan rendah hati untuk mengakui dosa-dosa kami ini. Kami ingin diperdamaikan dengan Allah. Sucikan kami daripada segala dosa kamidan bebaskan kami daripada genggamannya. Beri kami kuasa untuk hidup dalam perbenaran. Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin”.

Lagu Rohani

Seperti Yang Kau Ingini

Share: