April 18, 2020 1 Tesalonika, Renungan 0 Comments

Terus Dekat dan Beriman Kerana Kasih

Pembacaan Alkitab Dramatis

1 Tesalonika 3: 1-13

Ayat Kunci

1 Tesalonika 3:12 – “Semoga Tuhan menjadikanmu semakin kasih-mengasihi  dan semakin mengasihi sesama manusia sebagaimana kami mengasihimu.”

Ulasan

Apabila enam daripada kawan karibnya berpindah ke bandar lain, Nikita berasa sedih dan kesunyian. Walaupun dia tahu pilihan kawan-kawannya baik dan perlu, namun dia berasa tidak senang kerana merindui mereka. Lebih-lebih lagi apabila dia rasa seolah-olah dia tidak dapat melakukan apa-apa untuk melenyapkan perasaan itu. Akhirnya dia menemukan beberapa cara untuk merawat kerinduannya termasuklah mendengar muzik yang sesuai dengan keadaan emosinya, mencatat apa yang dirasainya dalam sebuah diari dan menulis surat kepada kawan-kawannya yang berada jauh daripadanya.

Rasul Paulus juga berada dalam situasi yang sama. Dia terpisah daripada jemaah di Tesalonika yang sangat dikasihinya dan apabila dia tidak tahan lagi, dia mengutus teman sepelayanannya, Timotius, untuk melawat dan melihat keadaan jemaah yang dirinduinya serta memberi mereka kata-kata dorongan yang dapat menguatkan iman mereka.

Apabila anda terpisah daripada jemaah di mana anda beribadah, adakah anda rindu mereka dan ingin sekali kembali berbakti bersama-sama mereka? Mungkin anda berhijrah dari kampung ke bandar atau berpindah ke negeri lain di Malaysia untuk belajar atau bekerja. Saya harap anda memang mempunyai kerinduan yang sebegitu kerana itu adalah satu tanda sihat dan bukti anda mengasihi jemaah tempat asal anda. Seperti Paulus, setiap kali anda jauh daripada jemaah anda, berusahalah bertanyakan khabar dan berhubung terus dengan mereka.

Satu sebab rasul Paulus susah hati dan sangat ingin tahu keadaan jemaah di Tesalonika ialah khabar bahawa orang percaya di Tesalonika sedang mengalami penganiayaan. Walaupun dia tahu penganiayaan akan datang dan dia sudah pun memberi amaran kepada jemaah di Tesalonika, sebagai seorang bapa rohani yang mengasihi mereka, dia khuatir penganiayaan itu menggoyahkan pendirian mereka dalam Tuhan. Dia bimbang si penggoda berjaya menggoda mereka sehingga mereka meninggalkan iman mereka dalam Tuhan dan semua usaha rasul Paulus sia-sia belaka.

Adakah anda sedang mengalami penganiayaan kerana anda seorang Kristian? Jangan terkejut atau hairan kerana penganiayaan ‘sudah ditentukan untuk kita’. Yang lebih penting ialah mempersiapkan diri untuk menghadapi penganiayaan supaya pendirian anda tidak goyah dan si penggoda tidak berjaya menggoda anda sehingga murtad. Apa yang perlu dilakukan ialah mendampingi orang Kristian lain yang matang dan mendengar kata-kata daripada hamba-hamba Tuhan yang akan menetapkan hati anda dan membangunkan iman anda. Penganiayaan adalah seruan untuk mendalami Firman Tuhan sehingga iman bertumbuh kukuh.

Saya yakin rasul Paulus menarik nafas lega apabila mendengar laporan Timotius sesudah dia kembali melawat jemaah di Tesalonika. Dua hal yang diceritakan oleh Timotius ialah pertama sekali, iman mereka yang masih kukuh dan kedua, kasih mereka yang sangat kuat bagi rasul Paulus. Iman mereka teguh dan semakin bertambah. Ini menghiburkan hati rasul Paulus dan sangat mengangkat semangatnya. Respon Paulus ialah bersyukur kepada Tuhan dan terus berdoa untuk peluang supaya dia boleh bertemu dengan mereka ‘dan melengkapkan apa yang masih kurang dalam iman’ mereka.

Jika anda di perantauan, satu cara yang paling senang untuk membangkitkan kesyukuran serta menghibur mereka yang ditinggal di kampung ialah memastikan iman anda tidak goyah atau luntur. Sebaliknya, berusahalah supaya iman anda diteguhkan dan dilengkapkan. Khabar kemajuan iman anda akan memberi kelegaan kepada semua yang mendengarnya lalu disusuli dengan ucapan syukur dan doa untuk peningkatan kemajuan rohani anda.

Hal kedua yang disampaikan Timotius mendedahkan betapa dalamnya kasih yang dikongsi antara rasul Paulus dan jemaah ini. Jemaah di Tesalonika mengenang dengan mesra bagaimana rasul Paulus telah melayani mereka. Mereka ingin sekali bertemu dengan rasul Paulus sebagaimana dia ingin bertemu dengan mereka. Lantaran ini, terlahir doa berikut daripada hati rasul Paulus:

“Semoga Allah dan Bapa kita, dan Yesus, Tuhan kita, melorongkan pertemuan kita.”

Saya yakin jika anda dalam situasi yang sama, dan sangat rindu bertemu dengan seseorang, doa ini akan diucapkan berulang-ulang kali dan diakhiri dengan amin yang lantang. Kasih mendorong kita untuk mendampingi dan meluangkan masa bersama-sama.

Untuk melihat ini berlaku dan memastikan kasih terus mekar, rasul Paulus kemudiannya berdoa supaya kasih yang ada akan semakin berkembang. Ini satu hal yang penting kerana kasih harus sentiasa berkembang dan ia tidak boleh berlaku tanpa campur tangan Allah. Sama ada anda dalam perhubungan kasih sebagai suami-isteri, sahabat-handai atau ahli sebuah komuniti Kristian, kasih anda perlu berkembang dan lebih nyata. Berdoalah doa rasul Paulus ini untuk anda serta mereka yang anda kasihi.

Doa Untuk Hari Ini

“Bapa syurgawi, semoga Engkau melakukan apa yang perlu dalam hati saya  supaya saya semakin mengasihi  saudara-saudara saya yang seiman dan semakin mengasihi sesama manusia sebagaimana Yesus mengasihi saya. Bantu saya memelihara dan membangun iman saya, apa lagi apabila saya berjauhan daripada jemaah Kristian yang dikasihi. Berikan saya kerinduan untuk selalu bersekutu dengan mereka yang seiman dan apabila saya berjauhan daripada mereka, biarlah rindu yang timbul mendorong saya mencari jalan untuk bertemu kembali dengan mereka. Dalam nama Yesus, amin!”

Lagu Rohani

Share: