Tanah Subur
Pembacaan Alkitab Dramatis
Markus 4:1-41
Ayat kunci
Markus 4:20 -Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda.
Ulasan
Pengumuman dibuat di atas kapal misi MV Doulos, “Kita sedang menuju ke taufan tahap 5. Semua anak kapal tidak dibenarkan keluar ke geladak kerana ombak mungkin menyapu anda ke dalam laut yang bergelora. Semua anak kapal digalakkan untuk berdoa dan bersedia.”
Namun begitu, perasaan ingin tahu saya menyebabkan saya buka pinta ke geladak kapal untuk lihat keadaan laut di luar. Hatiku menjadi begitu cemas apabila saya melihat ombak yang begitu besar dan tinggi –empat atau lima kali lebih tinggi daripada tiang kapal! Saya terus tutup pintu dan balik ke bilik saya untuk berdoa serta bertaubat!
Di dalam kehidupan ini, kita tentu akan menghadapi pelbagai ribut. Soalnya ialah bagaimanakah kita boleh mempersiapkan diri untuk menghadapi ribut yang pasti melanda kita ini? Tuhan Yesus memberi satu ibarat yang boleh membantu kita dalam hal ini–ibarat tentang pelbagai jenis tanah.
Seorang penyemai menaburkan benih di atas empat jenis tanah. Di dalam ibarat ini, tanah merupakan hati kita manakala benih merupakan Firman Tuhan.
Tanah yang pertama ialah jalan yang tidak tersedia untuk tanaman. Benih-benih yang ditaburkan dengan senang sekali di makan burung-burung di udara. Hati yang sebegini dengar tetapi tidak menerima Firman Tuhan. Maka, Iblis dengan senang sekali datang dan mencuri Firman yang ditanam dalam hati mereka sebelum ia berpeluang untuk bercambah.
Tanah yang kedua adalah tanah yang berbatu yang kurang tanah. Benih dapat bercambah tetapi tidak berakar dalam. Maka,apabila matahari naik, ia terus layu dan menjadi kering. Ini ialah hati yang imannya cetek sekali kerana Firman hanya menggaruk hati merekadi permukaan.Apabila kesusahan atau penganiayaan melanda hidup mereka, mereka terus berpaling daripada iman merekadi dalam Yesus Kristus.
Tanah yang ketiga adalah tanah yang penuh dengan semak duri. Benih yang ditabur tidak dapat bertanding dengan semak duri lalu mati kerana kekurangan khasiat. Hati yang sebegini biasanya berbelah bahagi antara dunia dan Allah. Malang sekali mereka senang digoda oleh dunia kerana fokus mereka tidak pada Tuhan. Dengan itu, sedikit demi sedikit mereka meninggalkan iman mereka dan menjadi sesat dalam dunia.
Tanah yang keempat adalah tanah yang subur yang menghasilkan buah yang banyak sekali –sehingga tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda. Bagaimanakah kita boleh mengasuh hati kita menjadi tanah yang subur begini? Hanya satu cara sahaja -ambil masa setiap hari untuk membaca dan merenungkan Firman Tuhan serta mengaplikasikannya dalam hidup kita. Kita perlu membajak hati kita setiap hari supaya apabila kita membaca Firman Tuhan ianya dapat menembus hati dan menerimanya.
Tiada yang lebih penting daripada mendengar suara Tuhan melalui Firman-Nya dan biarkan Roh Kudus menguatkan iman dalam hati kita. Maka, apabila ribut kehidupan melanda kita, kita akan menjadi seperti Tuhan Yesus yang tenang sekali di tengah-tengah angin ribut yang kencang dan ombak yang besar. Itulah buah iman yang menyediakan kita untuk menghadapi sebarang pencubaan dan cabaran yang datang melanda kita. Jadi, marilah kita menatap mata kita pada Tuhan Yesus dan berikhtiar untuk setia pada Dia yang mengasihi kita dengan kasih yang kekal abadi.
Doa Untuk Hari Ini
Lagu Rohani
Tuhan Melihat Hati – Citra Scholastika
0 Comments on "Tanah Subur"