April 24, 2020 Markus, Renungan 0 Comments

Bebas

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 5:1-43

Ayat kunci

Markus 5:19 Tetapi Yesus tidak membenarkan, sebaliknya berkata, “Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu, beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan pada kamu.”

Ulasan

Roh jahat. Penyakit. Kematian. Ini ialah tiga realiti hidup yang menakutkan ramai orang. Pelbagai cara dicari dan diamalkan oleh manusia di seluruh dunia supaya mereka bebas daripada tiga hal ini tetapi nyata mereka gagal. Mereka yang nampaknya berjaya sebenarnya dibebankan dengan masalah baru dan pengakhiran hidup mereka tidaklah semanis yang diharapkan. Yesus sebaliknya mempunyai kuasa mutlak atas ketiga-tiga hal ini dan anda boleh mengalami kuasa Yesus ini.

Seorang lelaki yang kerasukan roh jahat datang bertemu dengan Yesus. Kesan jelas daripada kerasukan ini ialah kekuatan yang luar biasa –dikatakan tidak ada seorang manusia yang dapat menguasai lelaki ini apatah lagi rantai dan belenggu. Satu lagi kesan kerasukan ini ialah penderitaan emosi dan amalan pencederaan kendiri. Walaupun lelaki ini mempunyai kekuatan luar biasa, tubuh dan jiwanya menderita. Hari ini masih ada orang yang dirasuk roh jahat; mereka mungkin memiliki kuasa-kuasa yang luar biasa tetapi mereka juga menderita secara fizikal dan emosi. Apakah anda kenal orang seperti ini? Mungkin mereka juga harus bertemu dengan Yesus.

Apabila Yesus melihat orang ini, Dia berkata, “Roh jahat, keluarlah kamu daripada orang ini!”. Orang ini bersujud dan berkata kepada Yesus tetapi jelas yang bersuara bukan lelaki itu tetapi roh jahat yang ada dalam orang itu. Roh jahat ini ada satu soalan untuk Yesus

“Apa urusan-Mu dengan aku” –dan satu permintaan –“Jangan seksa aku”.

Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Legion, roh ini memohon supaya dia dan semua roh jahat lain yang bersama-sama dia di dalam orang itu dibenarkan masuk ke dalam satu kawanan babi. Permintaan ini dipersetujui Yesus dan roh-roh jahat ini masuk ke dalam babi-babi itu. Tanpa disedari mereka, babi-babi itu lari secara beramai-ramai dan terjun ke dalam laut lalu mati lemas.

Daripada kisah ini kita dapat lihat kuasa Yesus atas roh-roh jahat yang takut akan Dia dan tahu bahawa Dia berkebolehan menyeksa mereka. Juga kita pelajari bahawa ada kemungkinan lebih daripada satu roh jahat merasuk seseorang. Akhirnya kita dapat lihat bahawa pelepasan daripada roh jahat ialah satu kepastian bagi sesiapa yang mencari dan memohon Yesus untuk diselamatkan. Bagi setiap orang yang dilepaskan Yesus kesannya tidak dapat dinafikan – dalam kes ini lelaki itu berpakaian dan nyata siuman. Adakah anda tahu sesiapa yang perlu dibebaskan daripada penguasaan roh-roh jahat melalui penyataan kuasa Yesus?

Yesus bukan hanya membebaskan orang yang dirasuk, Dia juga menyembuhkan mereka yang sakit tenat dan lama. Seorang wanita yang sakit teruk lebih 12 tahun menyentuh pakaian Yesus, dengan penuh kepercayaan dia akan sembuh, telah mengalami penyembuhan yang serta-merta. Yesus tahu Dia telah disentuh dan badan wanita itu sudah sembuh lalu Dia berkata kepada perempuan itu,

“Imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu. ”

Daripada kisah ini kita dapat menyimpulkan bahawa mereka yang percaya Yesus boleh menyembuhkan dan sesuai dengan keyakinan itu mencari dan memohon bantuan Yesus, mereka akan menerima penyembuhan. Yesus menekankan pentingnya mempunyai iman dalam Dia –yakin bahawa Dia berkuasa menyembuhkan –untuk mengalami penyembuhan. Adakah anda sakit hari ini dan yakin Yesus berkuasa menyembuhkan anda? Jika jawapan anda ‘ya’, panjatkan doa dan permintaan anda kepada Yesus dengan penuh iman, yakin bahawa kuasa Yesus akan mengalir ke dalam badan anda, membawa penyembuhan dan menghasilkan kesejahteraan.

Yesus bukan hanya berkuasa mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit, Dia juga berkuasa atas maut. Dia berupaya menghidupkan kembali manusia yang sudah meninggal dunia. Dalam bab ini kita diperkenalkan kepada Yairus dan anaknya yang sakit. Malangnya sebelum Yesus sampai ke rumah Yairus, anak perempuannya sudah meninggal dunia. Ketika mengetahui ini, apakah respons Yesus? Dia berkata kepada Yairus,

“Jangan takut, percaya sahaja.”

Sekali lagi Yesus menekankan pentingnya memiliki iman dalam diri-Nya dan tidak membenarkan rasa takut mengganggu kepercayaan itu. Di rumah Yairus, Yesus tidak senang hati melihat ramai orang kelam-kabut dan menangis kerana menurut-Nya anak itu hanya tidur. Saya yakin Yesus berkata begitu kerana Dia tahu Dia akan membangkitkan anak itu. Yesus memegang anak perempuan itu dan memerintahkannya bangun lalu ia segera bangkit lalu berjalan.

Peristiwa ini menunjukkan kuasa Yesus atas maut dan keupayaan-Nya memberi nafas kepada mereka yang sudah menghembus nafas terakhir. Kita mempunyai Penyelamat yang luar biasa, yang mempunyai kuasa atas roh jahat, penyakit dan maut. Sesungguhnya Yesus mengagumkan!

Doa Untuk Hari Ini

Mari kita berdoa: Bapa kami di syurga, terima kasih kerana Engkau berkuasa atas roh iblis, penyakit dan maut. Kami bersukacita kerana Yesus ialah Penyelamat yang agung, berkuasa melepaskan kami daripada penguasaan roh iblis, daripada penderitaan penyakit dan satu hari nanti, daripada cengkaman maut. Kami bersyukur juga belas kasihan Engkau tidak berkesudahan dan kebaikan Mu kepada kami sentiasa dialami. Bebaskan mereka yang dirasuk roh iblis, sembuhkan mereka yang sakit dan hiburkan mereka yang berada diambang maut. Dalam nama Yesus kami berdoa. Amin.

Lagu Rohani

Share: