April 24, 2020 Markus, Renungan 0 Comments

Yesus Guru Ajaib

Pembacaan Alkitab Dramatis

Markus 6:1-56

Ayat kunci

Markus 6:13 Mereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.

Ulasan

Siapakah guru yang anda paling suka semasa di bangku sekolah? Apakah ciri-cirinya yang menyebabkan anda begitu meminatinya? Yesus juga seorang guru, malahan ramai orang memanggil-Nya ‘Rabbi’ yang bermaksud ‘Guru’. Akan tetapi Yesus berbeza dengan guru-guru agama yang sezaman dengan-Nya.

Tiga soalan yang ditanya oleh pendengar-pendengarnya menonjolkan kelebihan Yesus ini.

“Dari manakah Dia memperoleh semua ini?”

ialah soalan pertama yang ditanya di ayat 2 dan soalan ini memberitahu kita bahawa apa yang diajar Yesus adalah baru dan belum pernah didengar mereka. Yesus tidak mengulang ajaran dan tafsiran lapuk yang sudah dihafal oleh pendengar-pendengarnya. Ajaran-ajaran-Nya mampu menyegarkan jiwa yang lesu dan dan menyedarkan hati yang tenggalam dalam lumpur dosa.

Soalan kedua dalam ayat 2 juga berbunyi demikian,

“Apakah kebijaksanaan yang ada pada-Nya?”.

Mereka kagum dengan kebijaksanaan yang ditunjukkan Yesus melalui ajaran-Nya, perumpamaan-perumpamaan-Nya dan juga jawapan-jawapan-Nya untuk setiap soalan yang diajukan. Dalam kata lain, mesej Tuhan Yesus begitu relevan kepada kehidupan sehingga ianya mampu menarik perhatian pendengar-pendengarnya untuk terus memberi perhatian mereka. Hikmat yang disampaikan-Nya mampu merubahkan kehidupan dan hala tuju pendengar-pendengar-Nya.

Akhirnya mereka bertanya dalam ayat 2,

“Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat?”.

Yesus tidak hanya mengajar prinsip-prinsip sahaja tetapi kata-kata-Nya dibuktikan benar melalui mukjizat yang dilakukannya. Perbuatan-Nya mengesahkan pengajaran-Nya. Ini adalah kombinasi yang hebat dan menyakinkan.

Jika anda seorang Kristian yang baru mengikut Yesus, sedarlah anda mempunyai seorang guru yang luar biasa dan ajaran-ajaran Yesus layak diketahui, difahami dan ditaati. Jangan jadi seperti penduduk di Nazaret yang enggan menerima Yesus dan tidak percaya kata-kata Yesus. Jika anda seorang pengajar, jadikanlah Yesus contoh anda –jadilah seorang guru yang selalu mengajar Firman Tuhan dengan mencari cara yang baru dan menarik untuk menyampaikan mesej lama dalam Alkitab. Mesej Berita Baik Injil tidak akan berubah tetapi kaedah penyampaian boleh dibezakan mengikut konteks dan budaya pendengar-pendengarnya. Seorang guru yang bijak dan berpengetahuan akan berusaha membuktikan ajaran-ajaran Yesus adalah betul dengan kuasa Roh Kudus.

Sebagai guru yang baik, Yesus tidak hanya mengajar murid-murid-Nya tetapi Dia juga memberi mereka peluang mengamalkan apa yang mereka telah dengar dan lihat. Oleh sebab itu, Yesus mengutus murid-murid-Nya untuk menyebarkan Injil bahawa manusia harus bertaubat dan memberi mereka kuasa untuk melakukan mukjizat. Dia juga menasihati mereka untuk bersandar kepada Tuhan dan memberkati sesiapa yang menerima mereka. Maka, Firman Tuhan mengatakan dalam ayat 12 bahawa mereka

“menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.”

Sebagai murid-murid Yesus hari ini, kita juga tidak seharusnya hanya mendengar ajaran-ajaran Alkitabiah yang baik dan melihat hamba-hamba Tuhan melayani dengan berkesan. Kita juga sepatutnya bersedia untuk diutus dan diberi apa yang perlu untuk melayani Allah. Carilah peluang untuk memberkati orang lain melalui doa bagi penyembuhan dan pelepasan serta menyampaikan Injil keselamatan. Tawarkan diri anda hari ini untuk terlibat dalam mana-mana usaha penginjilan atau misi dan jangan takut berdoa bagi mereka yang bermasalah. Selain itu, selalu bersedia untuk mengenal pasti keperluan mereka yang anda selalu temui di tempat kerja atau di mana-mana sahaja. Apabila peluang itu muncul, minta kebenaran untuk bertemu untuk mereka. Jarang ada orang yang akan menolak tawaran ini. Kemudian percaya bahawa Tuhan akan mendengar dan menjawab doa anda dalam cara yang terbaik. Anda tentu akan diberkati juga.

Yesus bukan hanya seorang guru yang hebat tetapi dia juga pelaku mukjizat yang luar biasa. Orang ramai mengikut Yesus kerana mereka mahu dilayani dan dalam bab ini dinyatakan bahawa hari sudah petang dan mereka yang mengikut Yesus memerlukan makanan. Murid-murid Yesus dikejutkan apabila Yesus menyuruh mereka memberi makan kepada orang ramai yang ada di sana. Yesus juga menyuruh mereka mencari roti yang ada di sana. Sesudah diperiksa, ternyata ada lima buku roti dan dua ekor ikan. Yesus mengucap syukur untuk makanan itu, memecah-mecahkannya dan menyuruh murid-murid-Nya mengedarkan makanan tersebut. Alkitab mengatakan mereka semua makan sehingga kenyang dan ada lebihan sebanyak dua belas bakul!

Apakah yang kita boleh pelajari daripada kisah ini? Pertama, apabila Yesus menyuruh kita melakukan sesuatu, yakin bahawa Dia akan mencukupkan dan membantu anda melakukannya. Kedua, Tuhan boleh menggunakan apa sahaja yang anda miliki, sedikit mana pun,untuk memuliakan nama-Nya dan memberkati orang lain. Bersedialah untuk memberi dan menggunakan apa yang anda ada.

Akhirnya, ketahuilah apabila Tuhan memberkati, Dia memberkati dengan melimpah. Segala yang Tuhan lakukan lebih daripada mencukupi untuk kita.

Sesudah melakukan mukjizat ini, murid-murid Yesus naik kapal ke seberang tasik iaitu ke Betsaida dan Yesus naik ke bukit untuk berdoa. Pada waktu malam, murid-murid Yesus dilanda angin kuat. Melihat keadaan itu, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka dan apabila murid-murid-Nya ternampak-Nya, mereka berteriak-teriak ketakutan. Yesus menenangkan mereka dan masuk ke dalam perahu lalu ribut itu terus reda. Berjalan atas air. Meredakan ribut. Manusia mana yang boleh melakukan ini? Murid-murid Yesus pun terkejut serta takut dengan apa yang dilihat dan dialami mereka kerana kesemua ini di luar jangkauan minda dan persepsi manusia.

Secara ringkas perbuatan Yesus luar biasa serta ajaib. Adakah anda sedar betapa ajaib Yesus dan betapa luar biasa kebolehan-Nya? Adakah anda takut mengetahui ini atau bersyukur anda mempunyai seorang Penyelamat yang boleh berjalan di atas air dan meredakan ribut dengan mudah sekali?

Doa Untuk Hari Ini

Mari kita berdoa,“Bapa syurgawi, bantulah kami menjadi murid-murid Yesus yang baik, selalu terbuka kepada ajaran-Nya dan taat kepada semua perintah-perintah-Nya. Bantu kami memahami semua yang sudah dinyatakan oleh Yesus dan berikan kami peluang mengalami kuasa Yesus dalam hidup kami. Utuslah kami untuk melayani dan berilah kami peluang mengusir roh iblis serta mendoakan mereka yang sakit. Ingatkan kami supaya selalu yakin akan bantuan Engkau setiap kali Engkau memanggil kami menggunakan apa yang kami ada untuk melayani orang lain dalam nama Mu. Kami sedia diajar dan dipakai, inilah kami. Dalam nama Yesus kami memohon. Amin.”

Lagu Rohani

Share: