Datanglah Yesus

Pembacaan Alkitab Dramatis

1 Tesalonika 5:1-28

Ayat Kunci

1 Tesalonika 5:8 – “Tetapi kita anak-anak siang, hendaklah sentiasa waras dan waspada. Jadikan iman dan kasih perisai dada kita, serta harapan diselamatkan sebagai ketopong pelindung kepala.”

Ulasan

Ratusan tahun yang lalu, pada suatu malam, seorang isteri menunggu kepulangan suaminya. Biasanya, si-suami tidak selewat ini. Dengan hati yang cemas dan bingung, si isteri menunggu dengan setia. Rasa mengantuk dia tahan demi menunggu kepulangan suaminya. Si-isteri tidak mahu menunggu di dalam bilik tidur, jadi, dia menunggu di pintu depan. Tidak berapa lama kemudian, si-suami yang sejak tadi ditunggu pulang. Dia sangat lelah dan ingin tidur di bilik tidurnya, tetapi saat dia ingin mengetuk pintu rumah, dia teringat akan isterinya. Isterinya pasti sudah tidur, jika dia mengetuk, isterinya akan bangun. Si-suami tidak sampai hati membangunkan isterinya; jadi, dia tidak jadi mengetuk pintu. Akhirnya dia tidur di depan pintu rumahnya. Tanpa diketahui, kedua-dua insan tersebut saling tertidur di pintu yang sama, saling menunggu, saling setia. Mereka berdua sama-sama rela mengorbankan tempat tidur yang selesa demi cinta.

Menantikan kepulangan Yesus yang kedua ke dunia juga merupakan satu penantian untuk kembalinya orang yang dikasihi yang belum sampai. Rasul Paulus telah memberitahu jemaah di Tesalonika bahawa Yesus akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat dan mereka yang telah mati dalam Tuhan akan dibangkitkan manakala mereka yang percaya tetapi masih hidup akan diangkat bersama untuk bertemu dengan Tuhan. Lantas, kita yang percaya akan bersama Tuhan selama-lamanya. Saya pasti jemaah Tesalonika dan anda juga, sesudah mendengar maklumat ini akan bertanya, “Bilakah ini akan berlaku?”

Jawapan rasul Paulus mungkin akan mengejutkan anda. Dia berkata bahawa berkaitan dengan masa dan detik kepulangan Yesus tidak perlu dia beritahu! Sebaliknya dia berkata bahawa peristiwa menakjubkan ini boleh berlaku bila-bila masa, tanpa diduga dan membawa kesan kepada semua orang. Menggunakan metafora pencuri pada waktu malam dan wanita yang bersalin, dia cuba membantu kita faham bahawa kedatangan Yesus ialah sesuatu yang pasti tetapi tiada seorang pun boleh meneka dengan tepat masa dan detiknya. Ini baik diketahui dan diambil kira kerana sehingga hari ini terdapat orang yang mengisytiharkan masa spesifik Tuhan akan kembali tetapi sampai sekarang tiada seorang pun didapati benar. Oleh itu janganlah takjub dengan soal ‘Bila’ tetapi lebih baik bertanya, “Mengetahui ini, apakah yang harus saya lakukan?”

Penekanan rasul Paulus jelas –apabila Yesus kembali kita tidak seharusnya terkejut seperti mana seorang yang kembali ke rumahnya dan terkejut melihat semua isi rumahnya telah diambil pencuri. Mengapa? Kerana anggapan dia, kita sebagai anak-anak terang yang tahu Yesus akan kembali (tetapi tidak tahu bila), sudah menyiapkan diri dan menunggu dengan harapan bahawa kedatangan-Nya adalah pada zaman mereka. Frasa yang diguna pakai rasul Paulus ialah, “Janganlah tidur tetapi berjaga dan berkeadaan siuman. Pastikan anda sentiasa waras dan waspada.” Jika ini ialah posisi hidup kita dalam menantikan kepulangan Yesus, kita pasti tidak akan terkejut. Adakah anda setiap hari hidup seolah-olah hari ini Yesus akan kembali dan selalu bersedia untuk kemunculan-Nya?

Mengetahui Yesus akan pulang ke dunia pada suatu hari seharusnya membuat kita peka kepada apa yang sedang berlaku dalam dunia ini, khususnya yang ada kaitan dengan tanda-tanda kedatangan Yesus buat kali kedua. Kita juga mesti selalu awas dan memberi perhatian kepada amalan hidup kita sebagai anak-anak Tuhan. Kita perlu berusaha supaya kehidupan kita sesuai dengan prinsip-prinsip hidup yang diperintahkan Allah. Ini juga bererti kita dengan sengaja menghalang diri daripada hilang fokus atau kawalan atas hidup kita supaya apabila peristiwa agung ini berlaku, kita siap secara mental dan rohani. Dengan erti kata lain, kedatangan Yesus yang mungkin pada bila-bila masa harus mendorong kita hidup suci dan rindu melihat Dia kembali.

Satu sebab utama kita merindui kedatangan Yesus dan mengharapkan Dia kembali dengan cepat ialah supaya kita boleh menerima penyelamatan yang sudah dijanjikan dan mengalami perubahan lengkap yang dinanti-nantikan. Itulah sebabnya rasul Paulus mengingatkan jemaah di Tesalonika bahawa kita, orang percaya, telah dipilih untuk diselamatkan melalui Yesus dan apabila Dia datang nanti kita dapat hidup bersama dia selama-lamanya. Kita tidak akan terpisah daripada hadirat Allah oleh dosa atau maut. Ada orang Kristian yang takut Yesus akan kembali tetapi ini tidak seharusnya sikap anda. Rindukan kedatangan-Nya dan doakan kepulangan-Nya yang segera kerana apabila ini berlaku, keselamatan kita lengkap dan kita menjadi sempurna. Bukan ini sahaja, kita juga akan bersama Penyelamat kita selama-lamanya!

Oleh itu nasihat rasul Paulus ialah supaya kita saling menggalak dan meneguhkan. Pada penghujung bab 5 ini dia memberi beberapa contoh bagaimana ini dapat dilakukan. Menghormati dan menyokong mereka yang berjerih payah melayani, memberi amaran kepada mereka yang tidak mentaati Tuhan, menolong mereka yang lemah dan bersabar terhadap semua orang. Secara ringkas, kita digalakkan untuk berusaha ke arah kebaikan bagi diri kita dan semua orang.

Secara peribadi, setiap orang Kristian yang menantikan kedatangan Yesus diperintahkan untuk bersukacita, berdoa dan bersyukur; bekerjasama dengan Roh Kudus dan menjauhi diri daripada yang jahat. Akhirnya kita diseru untuk saling memberkati dan saling mengasihi. Inilah yang baik dijadikan fokus harian dalam kehidupan kita sambil menunggu kepulangan Penyelamat kita.

Doa Untuk Hari Ini

Allah, Bapa kami di syurga, bantulah saya untuk menantikan kedatangan Yesus dengan penuh kerinduan dan hati yang sudah siap sedia. Saya rindu mengalami perubahan yang sempurna dan bersama Yesus selama-lamanya. Buat masa ini, ketika menunggu kepulangan Yesus, tolonglah saya untuk saling menggalak dan meneguhkan. Biarlah saya hidup setiap hari berusaha ke arah kebaikan diri saya dan semua orang. Datanglah Yesus, datanglah dengan cepat. Amin.

Lagu Rohani

Share: