Berusahalah Memajukan Diri
Pembacaan Alkitab Dramatis
2 Tesalonika 3:1-18
Ayat Kunci
2 Tesalonika 3:12 – “Dengan nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintahkan dan menyeru orang begitu supaya bekerja sewajarnya, menjaga hal masing-masing dan mencari nafkah sendiri.”
Ulasan
Isteri saya pernah mengajar sekumpulan budak-budak di sebuah kampung yang berdekatan. Hampir setiap minggu dia akan pergi ke sana untuk mendidik mereka dalam Firman Tuhan. Ada seorang lelaki dalam kalangan mereka yang tiba-tiba berhenti datang ke kelasnya. Apabila disiasat, didapati dia telah berhenti sekolah dan mula melepak sahaja. Isteri saya sangat sedih dengan sikap budak ini dan cuba menasihatinya. Tetapi dia tetap berdegil. Satu hari, dia dengar budak itu telah berkahwin kerana pasangannya menjadi hamil. Tetapi mereka masih tinggal di rumah ibubapanya. Sekarang dia telah menyesal kerana dia terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarganya. Oleh sebab dia tidak mempunyai kelulusan yang asas, tidak banyak kerja yang boleh dipohon untuk mendapat gaji yang lumayan. Budak ini telah mengalami penyakit yang isteri katakan dengan mengeja perkataannya: M_A_L_A_S.
Sebagai orang Kristian, kita tidak seharusnya malas tetapi patut berusaha memajukan diri serta orang lain di sekeliling kita. Paulus menegaskan dengan keras bahawa tidak ada ruang dalam kalangan orang Kristian untuk mereka yang malas –malas bekerja untuk menyara hidup dan malas menyumbang kepada kemajuan orang lain. Dia mengatakan dengan tegas dalam ayat 6:
Tetapi, saudara-saudaraku, kami memerintahkan kamu dengan nama Tuhan Yesus Kristus supaya menjauhkan diri daripada setiap saudara yang hidup malas dan tidak menurut ajaran yang telah kami berikan.
Dia memerintahkan dengan menggunakan kewibawaan nama Tuhan Yesus untuk menjauhkan diri daripada orang-orang yang malas kerana penyakit mereka mungkin menjangkiti mereka. Sudah pasti, Paulus telah mengajar bahawa walaupun Tuhan Yesus boleh kembali bila-bila sahaja, namun itu tidak boleh dipakai sebagai alasan untuk hidup malas. Hakikatnya ialah kita masih hidup dalam dunia ini dan masih perlu menyara hidup kita dan keluarga kita sehingga Tuhan Yesus datang. Oleh itu, kita tidak boleh duduk melepak sepanjang hari dengan alasan sedang menunggu untuk kedatangan Yesus yang kedua.
Dia menarik perhatian kepada dirinya yang tidak hidup malas ketika bersama mereka. Dia berusaha menjadi teladan kepada mereka. Bukan itu sahaja, rasul Paulus mengatakan bahawa dia bekerja keras apabila bersama dengan mereka supaya menjadi teladan yang baik walaupun dia sebenarnya layak menuntut bantuan kewangan daripada mereka. Ini semua dilakukannya supaya gaya hidupnya boleh menjadi model yang baik bagi mereka.
Rasul Paulus kemudiannya menggulung hujahnya dengan memberi satu prinsip yang harus juga menjadi pegangan semua orang Kristian di setiap zaman. Prinsipnya? “Tidak kerja, tidak makan!” Adakah anda bekerja? Kalau jawapan anda ‘Ya,’ bagus–teruskan usaha anda. Tetapi kalau jawapan anda ‘Tidak,’ ambillah iktibar daripada kata-kata Paulus ini dan mula mencari kerja atau mulakan usaha sendiri untuk menjana dana.
Rasul Paulus seterusnya memberi beberapa amaran keras kepada orang Kristian di Tesalonika yang tidak bekerja. Pertama, dia menghalang mereka daripada mengambil makanan orang lain dengan percuma. Dia tidak mahu mereka makan percuma, kenyang kerana baik hati dan usaha orang lain. Dia juga mengarahkan mereka untuk bertungkus-lumus setiap hari mencari nafkah hidup supaya mereka tidak membebankan orang lain. Janganlah sama sekali menjadi beban kepada orang lain, dan bergantung atau menggunakan wang orang lain untuk hidup.
Kedua, mereka yang malas bekerja ini disuruh jangan campur urusan orang lain kerana mereka terlalu banyak masa lapang sehingga mereka mengisinya dengan meyibukkan diri dalam hal orang lain yang tiada kaitan dengan mereka.
Apabila saya melawat kampung-kampung di Sabah, ada kalanya saya memerhatikan orang muda yang duduk melepak bersama-sama. Ini bukan amalan buat seketika tetapi setiap hari. Mereka tidak bekerja tetapi tinggal di rumah ibubapa dan terus mensia-siakan kehidupan mereka. Mereka tidak membantu ibubapa di ladang dan tidak juga mempunyai cita-cita untuk meneruskan pelajaran di sekolah atau mencari kerja.
Sebagai anak Tuhan kita semua perlu menjadi saksi yang baik kepada orang lain yang belum mengenal Tuhan Yesus. Jadi, bekerja untuk menyara hidup ialah satu prinsip asas Kristian yang serius dan mesti dipatuhi.
Jangan biarkan orang lain menunjuk jari kepada kita dan mengatakan kita orang Kristian yang malas. Saya tidak bermaksud semua orang Kristian mesti memiliki pekerjaan yang bergaji besar atau memiliki perniagaan yang mendapat untung yang besar setiap tahun. Apa yang saya fikir Paulus maksudkan dalam surat ini ialah kita sebagai orang Kristian haruslah menjadi orang yang bertanggungjawab. Buatlah apa yang diberikan kepada kita dengan sebaik yang mungkin. Pengkhutbah 3:13 mengatakan:
“Juga, hakikat bahawa setiap orang dapat makan, minum dan menikmati kesenangan dalam segala usahanya dengan berjerih payah. Itu pun pemberian Allah.”
Orang yang dapat bekerja dan mendapat hasil serta kepuasan daripada kerjanya adalah orang yang diberkati oleh Allah dengan pemberian daripada-Nya. Ini ialah kerana ramai orang membuat kerja dengan sikap yang buruk. Ini menyebabkan mereka menjadi orang yang pahit dan tidak bahagia. Mereka tidak ada tujuan dalam hidup mereka dan Allah rasa begitu jauh daripada mereka. Tujuan hidup di dalam Yesus Kristus adalah amat penting dalam hidup ini. Jangan kita menjadi orang yang tiada tujuan hidup dan tambah lagi malas. Itu adalah kombinasi yang memudaratkan.
Jika anda masih di bangku sekolah, belajarlah dengan gigih supaya anda memperlengkapkan diri dengan semua kemahiran yang anda perlukan untuk memajukan diri pada masa depan kelak. Jika anda sedang mencari pekerjaan, percayalah bahawa Allah akan membuka pintu untuk anda. Jangan putus asa walaupun gagal beberapa kali. Jika anda sedang bekerja, lakukanlah sebaik yang anda mampu kerana kerja anda adalah korban yang kita naikkan kepada Allah –kerja untuk Allah bukan manusia. Tambahan lagi, selalulah berusaha untuk memajukan diri. Belajar sesuatu yang baru setiap minggu dan akhirnya anda menjadi seorang yang begitu arif dalam bidang anda sehingga orang lain datang meminta nasihat daripada anda. Paulus mungkin menggalakkan kita semua: “Sudah kerja keras maka makan sepuas-puasnya!”
0 Comments on "Berusahalah Memajukan Diri"