February 12, 2021 Markus, Renungan 0 Comments

Waspada

Pembacaan Alkitab dramatis

Markus 13:1-37

Ayat Kunci

Markus 13:35-37

Oleh itu berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu bila tuan rumah akan pulang-pada waktu petang atau tengah malam, ketika ayam berkokok, atau pada waktu pagi. Takut kalau-kalau dia datang tiba-tiba dan mendapatimu sedang tidur. Apa yang Kukatakan kepadamu, Kukatakan kepada semua; Berjagalah!

Ulasan

Apabila suatu wayang gambar yang sangat popular mula ditayangkan, ramai orang berebut-rebut pergi menontonnya dahulu. Ini ialah kerana mereka ingin mengetahui kesudahan cerita itu sebelum kawan-kawan mereka dedahkannya kepada mereka. Pengalaman menonton suatu wayang gambar yang kesudahannya telah diketahui tidaklah begitu menghairahkan.

Namun, dalam petikan kita hari ini, Tuhan Yesus memberi kesudahan kepada cerita besar Allah dan bagaimana rancangan-Nya akan berakhir. Dalam kata lain, Yesus mengajarkan murid-murid-Nya tentang Akhir Zaman dalam Markus 13 dan kita perlu mengetahui kesudahannya supaya kita bersiap-sedia untuk menghadapi pencubaan besar yang akan melanda umat Allah.

Dia mengingatkan murid-murid-Nya dalam ayat 9-13 supaya berhati-hati kerana mereka akan dianiaya pada akhir zaman. Orang yang percaya di dalam Yesus akan ditangkap kerana iman mereka, diheret dan dipukul dalam perbicaraan mereka dan terus dibenci. Kesemua ini pasti berlaku tetapi soalnya ialah adakah orang yang percaya berani memberitakan Injil semasa pengujian ini. Tuhan Yesus mengisyitharkan dalam ayat 10:

Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa.

Pemberitaan Injil mesti dilaksanakan walau pun ada tentangan yang sengit daripada musuh-musuh Allah. Orang yang percaya mesti menguatkan hati mereka untuk terus menjadi saksi Allah yang memberitakan Injil keselamatan Yesus.

Yesus juga mengingatkan pengikut-pengikut-Nya dalam ayat 21-22 agar berhati-hati dan tidak tersesat kerana akan muncul nabi-nabi palsu yang mengaku diri mereka Mesias. Ajaran-ajaran mereka akan memutarbelitkan Firman Allah, apatah lagi apabila mereka menunjukkan pelbagai tanda serta keajaiban untuk memperdayaorang. Oleh sebab itu, pengikut-pengikut Kristus mesti selalu berhati-hati dan jangan terlalu mudah percaya pemberita yang berkarisma terutama sekali apabila mendakwa mereka ada wahyu atau ajaran yang baru. Ujian utama untuk menilai setiap pengkhotbah ialah adakah ajaran mereka selaras dengan ajaran Alkitab yang sedia kala. Firman Tuhan memang tidak akan berubah.

Dalam ayat 24 dikatakan matahari akan menjadi gelap, demikian juga bulan tidak bercahaya, bintang-bintang jatuh dari langit, kuasa-kuasa di langit akan bergoncang. Pada masa itu, Anak Manusia, iaitu Yesus Kristus akan kembali ke dunia tetapi kali ini dalam kemuliaan dan kekuasaan-Nya.

Ini adalah seperti amaran dan peringatan kepada kitasemua. Tidak seorang pun, mahupun malaikat tahu akan masaDia akan datang untuk kali keduanya. Namun Markus 13 meninggalkan pesanan agar kita tetap berjaga-jaga setiap waktu.

Apakah seorang hamba harus berjaga-jaga? Berjaga untuk hanya melihat kepulangan tuan rumahkah? Inilah kebiasaan orang menterjemah ayat ini. Akan tetapi, itu bukan perkara keseluruhanyang dimaksudkan dalam ayat ini, kerana dia hanya akan mula berjaga-jaga sebaik sahaja tuan meninggalkan rumahnya, dan dia tahu bahawa tuannya tidak akan kembali dengan segera. Jika begitu, terhadap apakah dia harus berjaga-jaga? Dia harus mengawasi rumah tuannya supaya tidak ada yang dapat menipu dia dan masuk ke dalam rumah dan mencuri serta merosakkan harta milik tuannya.

Oleh itu, Yesus seakan-akan memberi amaran ini: “Berjaga-jagalah! Jangan tertidur! Terdapat godaan dan tekanan yang akan menyerang anda untuk membuat anda berfikir bahawa amaran tuan itu adalah dusta, untuk membuat anda berhenti hidup seperti seorang Kristian, berhenti berjalan dengan iman, dan berhenti mempercayai kebenaran Allah. Berhati-hati dan berjagalah tentang hal ini.”

Jangan membiarkan apa-apapun mengganggu anda daripada hidup dalam tujuan Tuhan sepanjang umurmu. Waspadalah sehingga kedatangan-Nya menjadi nyata. Waspadalah agar anda tidak digoda oleh tipu muslihat. Latih diri untuk menghadapi penganiayaan, pencubaan dan pengujian imanmu. Jangan tertidur! Jangan biarkan imanmu menjadi sejuk kerana itu akan menyebabkan anda menjadi lemah secara rohani.

Kuatkan diri anda dengan terus membaca Firman Allah yang merupakan makanan rohani anda. Selain itu, mengkaji Firman Tuhan akan memperlengkapi anda untuk mengenal pasti ajaran-ajaran yang sesat.

Berdoalah selalu supaya anda dekat dengan Allah dalam persekutuan yang membina iman anda.

Akhir sekali, terus memberitakan Injil kepada kawan-kawan anda di tempat kerja dan di mana-mana sahaja. Mereka perlu dengar berita baik yang ditawarkan oleh Yesus Kristus sekarang kerana pada akhir zaman mereka akan terpedaya oleh nabi-nabi palsu yang menghalang mereka daripada menerima kebenaran Injil keselamatan Kristus. Masanya sangat pendek untuk menghabiskan kerja memberitakan Injil. Jangan leka, jangan malas dan jangan bersikap tidak peduli. Kawan-kawan anda amat memerlukan keselamatan.

Doa untuk hari ini

Mari kita berdoa, “Bapa Syurgawi, hati kami gentar apabila kami mendengar semua penderitaan dan pengujian yang akan datang menguji iman kami. Jadi, kami pohon agar Tuhan akan menguatkan hati dan iman kami agar kami akan dipersiapkan menghadapi semua dugaan ini. Kamitidak berani bergantung kepada kekuatan sendiri tetapi kami mahu belajar bagaimana bersandar kepada Engkau. Seperti yang dikatakan oleh Allah dalam 2 Korintus 12:9, “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan.” Biarlah Tuhan yang terus kuatkan kami apabila kami berpaling kepada Tuhan dalam kelemahan kami. Juga kami pohon supaya Tuhan akan membuka pintu untuk kami memberitakan Injil kepada orang di sekeliling kami.Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin.”

Lagu Penutup

Kekuatan Hatiku -Citra feat Regina

Share: