Sukacita Bukan Untuk Disimpan Sendiri
Pembacaan alkitab dramatis
Markus 16:1-20
Ayat Kunci
Markus 16:15 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke serata dunia dan sebarkanlah injil kepada setiap insan.
Ulasan
Alangkah baiknya Markus tidak berakhir dengan bab 15 kerana itu merupakan kesudahan yang kelam dan gelap. Segelap apa pun bab 15, ianya tidak dapat menandingi keterangan dalam bab 16. Bab 15 menceritakan kematian Yesus tetapi bab 16 menceritakan kebangkitan Yesus.
Orang yang pertama menerima berita kebangkitan Tuhan Yesus ialah tiga orang perempuan: Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Salome yang pergi ke kubur Yesus untuk melumuri jenazah Yesus. Mereka menerima berita bahawa Yesus telah bangkit daripada seorang pemuda yang berjubah putih di dalam makam Yesus. Pesanannya kepada mereka bertiga dalam ayat 7 ialah,
“…pergilah,beritahu…”
Berita tentang kebangkitan Yesus adalah berita yang terbaik tetapi pada masa yang sama amat menakjubkan –ianya memang sukar untuk dipercayai.
Yesus menampakkan diri kepada Maria Magdalena dan ayat 10 mengatakan bahawa Maria terus pergi dan memberitahu murid-murid-Nya yang sedang berkabung dan menangis. Apakah reaksi mereka? Ayat 11 memberitahu kita:
Ketika mendengar bahawa Yesus hidup dan telah dilihat oleh Maria, mereka tidak percaya.
Murid-murid Yesus yang begitu kecewa dan sedih tidak dapat mempercayai kesaksian Mary Magdalena. Perkara ini dapat difahami karena perempuan/wanita di dalam tradisi pada masa itu dianggap rendah dan tidak layak menjadi saksi yang sah, apatah lagi berita tentang Tuhan mereka yang telah mati tetapi kini bangkit daripada maut. Begitu juga yang dialami oleh dua orang murid Kristus yang nampak Yesus telah bangkit. Ayat 13 memberitahu kita:
Kedua-dua orang murid Yesus itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya.
Kesaksian mereka juga tidak dipercayai. Kita boleh mempelajari sesuatu yang amat penting daripada mereka. Apabila Mary Magdalena dan kedua-dua murid Kristus ini nampak Tuhan Yesus yang telah bangkit, mereka menjadi begitu teruja dan ghairah sehingga mereka terus “pergi dan memberitahu” orang lain. Ini ialah kerana kebangkitan Tuhan Yesus adalah berita baik yang tidak dapat disimpan untuk diri sendiri. Kebangkitan Yesus adalah tunggak harapan dan kemenangan Injil keselamatan.
Namun begitu menjadi saksi adalah perkara yang susah kerana orang belum tentu mahu mempercayai kesaksian kita. Begitulah yang dialami oleh Maria Magdalena dan dua orang murid Yesus. Mereka bertiga menjadi saksi kepada kebangkitan Yesus karena mereka mengalami pertemuan dengan Yesus yang bangkit. Namun tiada orang yang mahu mempercayai mereka. Walau bagaimanapun, mereka tidak berdiam diri tetapi terus menyampaikan berita gembira itu.
Oleh sebab ketidakpercayaan yang berleluasa dalam kalangan murid-murid Yesus, makaYesus menampakkan diri-Nya kepada mereka semua dan menegur ketidakpercayaan mereka. Setelah peristiwa itu,barulah murid-murid-Nya percaya tentang kebangkitan-Nya.
Pada waktu inilah Yesus memberikan amanah agung-Nya kepada mereka dalam ayat 15dan 16:
Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan. Sesiapa yang percaya dan dibaptiskan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum.
Sebagaimana Mary Magdalena dan kedua-dua murid Kristus yang menyaksikan Yesus yang telah bangkit pergi memberitahu orang lain, begitulah Yesus mengutus kita semua: “Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan.”Itulah amanah besar yang diberikan kepada kita semua. Skopnya cukup luas: seluruh dunia dan setiap insan.
Apakah yang mendorong kita untuk melaksanakan amanah yang begitu besar ini? Kebangkitan Yesus yang menewaskan semua keraguan. Seperti murid-murid Yesus, iman kita mungkin sangat kecil. Mungkin ada waktunya kita ragu-ragu tentang Dia sebagai Allah dalam kehidupan kita. Akan tetapi, Yesus tidak akan membiarkan kita berada dalam keraguan yang berterusan. Dia mungkin tidak menyatakan diri secara langsung seperti kepada para murid-murid-Nya, namun Dia mampu menggunakan banyak cara yang lain dalam hidup kita untuk membuktikan bahawa Dia adalah Allah yang boleh kita percayai.
Tetapi, kebangkitan Yesus dari kematian menjadi bukti yang paling kukuh kepada kita tentang harapan Injil keselamatan. Jika kita berpaut kepada peristiwa bersejarah ini, iman kita tidak mungkin luntur. Kebangkitan Yesus memberi kita keyakinan bahawa maut dapat dan sudah dikalahkan-Nya. Kerana itu, janganlah ragu-ragu lagi, saudara-saudari. Pergilah dan beritakanlah Injil keselamatan itu kepada semua orang. Inilah yang ditunjukkan oleh murid-murid Kristus dalam ayat 19-20:
Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah. Para murid-Nya pergi menyampaikan perkhabaran Injil di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.
Sebagaimana Allah setia kepada murid-murid-Nya yang pergi menyampaikan perkhabaran Injil di serata dunia dan mengesahkan firman-Nya dengan iringan tanda-tanda ajaib, begitulah juga Allah akan memberkati kita apabila kita pergi mengkhabarkan Injil di mana sahaja kita berada. Ayuh, mari kita berganding bahu dan terus memberitakan Injil keselamatan Kerajaan Allah ke seluruh dunia. Haleluya!
0 Comments on "Sukacita Bukan Untuk Disimpan Sendiri"