Kebebasan hidup yang sesungguhnya
February 24, 2022 Galatia, Renungan 0 Comments

Kebebasan Hidup Yang Sesungguhnya

Pembacaan Alkitab Dramatis

Galatia 5:1-15

Ayat kunci

Galatia

Ulasan

Seorang pemudi bertengkar dengan ibubapanya kerana dia ingin keluar dengan kawan-kawannya untuk berparti. Tetapi ibubapanya tidak suka kumpulan pemuda-pemudi yang terkenal dengan parti yang tidak bermoral dan suka menggunakan dadah. Jadi, mereka melarang dengan tegas anak mereka daripada mengikuti kawan-kawan itu menghadiri parti pada hujung minggu itu. “Saya benci kamu dua,” pemudi itu meneriak, “Kamu mengongkong kebebasan saya. Saya sudah cukup umur! Saya bebas membuat keputusan sendiri!”

Pada hujung minggu, dia dengan senyap keluar rumah dan pergi ke parti itu. Di situ rakan sebayanya memaksa dia minum arak, cuba ambil dadah dan akhirnya dia pengsan di katil. Beberapa orang lelaki bergilir-gilir merogolnya. Pada keesokan pagi, bila parti sudah habis, dan mereka bangun daripada kemabukan dan kesan dadah mereka, mereka cuba membangunkan pemudi itu tetapi didapati bahawa dia telah mati. Kebebasan untuk membuat keputusan sendiri telah meragut nyawa pemudi itu.

Ramai orang salah faham tentang kebebasan atau kemerdekaan. Paulus dalam ayat 13 menerangkan:

13 Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih.

Menurut Paulus, terdapat dua jenis kebebasan: kebebasan untuk berdosa dan kebebasan untuk mengasihi. Mereka yang suka menikmati dosa dunia menganggap ajaran Kristian terlalu mengongkong. Mereka ingin melakukan apa yang mereka suka, bila mereka pilih – dan ini adalah maksud kebebasan bagi mereka. Tidak ada batasan kecuali batasan yang mereka letakkan untuk diri mereka sendiri. Inilah yang dikatakan oleh Paulus sebagai kebebasan untuk berdosa, iaitu menggunakan kebebasan sebagai kesempatan untuk memuaskan hawa nafsu.

Namun begitu, apa yang mereka tidak sedar ialah sebenarnya jika mereka lakukan mengikut hawa nafsu, akibatnya ialah mereka akan diperhambakan oleh dosa, Setan dan dunia. Contohnya, orang yang bebas mengambil dadah akhirnya akan diperhambakan oleh pengagihan kepada dadah. Kebebasan yang mereka rasa pada mulanya adalah untuk sementara sahaja. Akhirnya, mereka akan diperhambakan dan dibelenggu. Dosa pula adalah seronok pada awalnya tetapi kesannya akan membawa kesengsaraan dan kerugian pada penghujungnya. Dosa selalu ada harga yang perlu dibayar.

Sebaliknya, kebebasan untuk mengasihi adalah kemerdekaan yang datang melalui Yesus. Yesus membebaskan kita daripada belenggu dosa supaya kita tidak perlu selalu berpusat sendiri. Kita dibebaskan daripada genggaman kecenderungan mementingkan diri, iaitu ciri dosa yang paling ketara. Kasih Allah membebaskan kita untuk memikirkan tentang kemuliaan Allah dan kebaikan orang lain. Sebab itu dalam ayat 6, Paulus mengatakan,“Kerana dalam Kristus Yesus, sama ada bersunat atapun tidak taida ertinya, melainkan iman bekerja melalui kasih.” Iman yang kita letakkan di dalam Yesus memberi kita kuasa untuk memecahkan belenggu dosa yang mengikat kita kepada kepentingan diri.

Lebih-lebih lagi, Paulus mengatakan dalam ayat 14

14 Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”

Melakukan hukum Taurat bukan untuk memperolehi penyelamatan untuk diri sendiri dan menjadi pusat amalan kita. Sebaliknya, mengasihi melalui Roh akan membantu kita melaksanakan keperluan seluruh hukum Taurat kerana hukum Taurat direka bentuk oleh Allah supaya kita dapat memikirkan tentang kemuliaan-Nya dan kebaikan orang lain. Contohnya, kita tidak mencuri kerana itu adalah tindakan yang menguntungkan diri sendiri tetapi merugikan orang lain. Jadi, mencuri bukan suatu tindakan kasih tetapi mementingkan diri sendiri sahaja.

Setiap tahun beribu-ribu pemuda-pemudi keluar rumah dan kampung mereka untuk pergi ke bandar atau negeri lain di Malaysia untuk belajar atau bekerja. Kebebasan yang mereka kecapi daripada jagaan dan peraturan-peraturan ibubapa mereka pada mulanya rasa begitu baik. Mereka bebas untuk menikmati semua jenis perbuatan duniawi dan lama kelamaan iman mereka di dalam Yesus mula luntur. Semakin mereka mengecapi dosa dunia, semakin jauh Allah daripada hati mereka. Mereka mula mengabaikan pergi ke kebaktian hujung minggu dan persekutuan yang membina semakin pudar dalam kehidupan mereka. Dalam keadaan begini, kemungkinan mereka murtad kerana jatuh cinta dengan orang yang lain agama menjadi sangat tinggi. Mereka tidak sedar bahawa ini semua adalah jerat iblis. Kebebasan mereka untuk berdosa akhirnya memerangkap dan memperhambakan mereka. Apabila mereka gigit umpan godaan, mangsanya ialah iman mereka. Kesalahan besar meninggalkan iman mereka di dalam Yesus Kristus mengakibatkan mereka menuju ke penghakiman dan hukuman api neraka. Ini adalah cerita salah faham tentang apakah maksud kebebasan yang sebenar.

Saudar-saudari yang dikasihi Yesus, jangan membuat kesalahan ini. Jika anda bermain dengan api, anda akan terbakar. Hentikan perlakuan berdosa dan bertaubat. Kembali ke pangkuan jalan yang benar dan Allah akan membantu anda mengecapi kebebasan mengasihi yang terbaik.

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, sememangnya ada banyak godaan dalam dunia ini. Bantulah kami untuk memilih kebebasan untuk mengasihi dan bukan kebebasan untuk berdosa. Biarlah kehidupan kami menjadi sesuatu yang membawa kemuliaan kepada Tuhan dan menjadi berkat kepada orang lain yang kami mengasihi. Biarlah kita mengikut teladan Yesus dan Paulus yang dapat melayani dalam kasih yang tidak pernah pudar. Itulah keinginan hati kami. Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin.”

Lagu Rohani

Cintailah Sesamamu

Share: