
Menuai Semaian Memerlukan Kesabaran
Pembacaan Alkitab Dramatis
Galatia 6:1-18
Ayat kunci
Galatia
7 Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya. 8 Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal. 9 Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.
Ulasan
Pernahkah anda menyemai biji pokok di dalam tanah? Adakah anda keluar keesokan harinya dan cuba memetik buahnya? Atau adakah anda menabur biji betik dan harap memperolehi buah durian pula?
Itu adalah tindakan yang bodoh sekali, kan? Ini ialah kerana biji yang disemai mengambil masa untuk bercambah, bertumbuh dan akhirnya menghasilkan buah. Dalam kata lain, kita mesti tunggu musim buahnya. Itulah yang dikatakan oleh Paulus dalam ayat 9:
9 Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.
Ini bermaksud bahawa kita mesti sabar dan tabah hati jika kita hendak lihat buah Roh atau buah pelayanan kita. Semua hasil mengambil masa. Maka, jangan putus asa jika kita lihat perubahan yang pesat di dalam diri kita sendiri. Kita mesti tunduk kepada Roh dalam segala hal. Jika kita melayani, kita perlu mengerjakannya secara terus menerus.
Contohnya, jika kita bantu memuridkan orang lain, jangan kita cepat hilang sabar dengan mereka yang masih muda dalam iman mereka. Mungkin mereka masih mentah lagi iman mereka dan mereka lakukan hal yang tidak sesuai dengan ajaran Alkitab. Kita mesti sabar mengajar mereka sebagaimana Allah mengajar kita juga secara berterusan. Jangan kita jemu berbuat baik kerana pada musimnya nanti kita akan menuai –itulah kata-kata dorongan Paulus kepada kita. Syaratnya ialah kita tidak berputus asa. Seperti seorang pekebun yang terus menyiram benih, melonggarkan tanah di sekeliling pokok itu, membersihkannya daripada rumpai, dan meletakkan baja begitulah kita mesti berbuat demikian sehingga musim menuai tiba.
Saya pernah diberi amanah untuk membantu seorang Kristian yang baharu. Setiap kali saya buat temu janji dengannya, dia mempunyai banyak alasan. Apabila kami sempat berjumpa, dia berlagak seperti dia kurang berminat. Namun begitu, oleh kerana saya telah diberi tanggunjawab itu, saya teruskan sahaja dengan kerja itu. Selepas saya tinggalkan tempat itu, saya hilang perhubungan dengan orang itu. Selepas berpuluh-puluh tahun, saya jumpa dengan orang yang sepelayanan dengan saya pada waktu itu. Dia tanya saya sama ada saya masih ingat tentang orang yang saya bantu itu. Saya katakan sudah tentu kerana betapa susahnya memuridkannya. Dia memberitahu saya bahawa dia telah menemui orang itu dan dia kini menjadi seorang yang Kristian yang baik dan melayani dengan setia membuat kerja pemuridan juga. Saya begitu hairan tetapi sangat bersyukur kepada Allah. Itulah musim menuai selepas sekian lama menabur. Sudah tentu, orang itu tidak menjadi begitu hanya kerana pengaruh saya tetapi saya belajar bahawa apa yang Allah berikan kepada kita pada suatu musim, kita mesti setia lakukannya. Hasilnya adalah terpulang kepada Roh Allah.
Selain daripada itu, kita mesti menyemai biji rohani dengan cermat. Paulus mengatakan:
7 Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya. 8 Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal.
Kita tidak dapat menipu Allah. Apa yang kita semai daripada hati kita, itulah yang kita akan menuai. Jika kita menyemai gosip tentang orang lain, kita akan menuai keretakan perhubungan dengan mereka dan orang lain. Jika kita menyemai memenuhi hawa nafsu kita, kita akan menuai kesedihan dan kejahatan. Tetapi jika kita menyemai buah kerja baik, kita akan menuai damai sejahtera dan sukacita. Hidup yang kekal yang dimaksudkan oleh Paulus di sini ialah kehidupan yang berkenan kepada Allah dan diberkati.
Jadi, saudara-saudari yang dikasihi di dalam Yesus Kristus, semailah apa yang baik secara berterusan. Sama ada kita lihat hasilnya atau tidak, teruskan sahaja. Buatlah yang baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara yang seiman. Allah melihat dan akan memberkati kita pada musimnya buah untuk dituai. Inilah janji Allah yang tak akan mengecewakan. Tetap beriman dan bergantung kepada Roh Allah dalam segala hal yang kita lakukan. Nescaya kita akan mendapat hasil yang diingini dan berkenan kepada Allah.
Doa
Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, kami ingin menjadi orang yang diberkati dan yang memberkati. Oleh itu, bantulah kami untuk menyemai biji rohani yang baik supaya pada musimnya kami akan menuai buah yang baik. Kami betul-betul bergantung kepada Allah untuk melihat buah-buah yang baik menjadi kenyataan dalam kehidupan kami. Berilah kami kearifan untuk mengelak daripada menyemai apa yang tidak baik. Kami berdoa agar Tuhan akan membantu kami menjadi salurah berkat kepada orang lain juga dengan berbuat baik kepada mereka. Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin.”
Lagu Rohani
Menyenangkan Mu -Regina Pangkerego
0 Comments on "Menuai Semaian Memerlukan Kesabaran"